اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #837 : HUKUM MENERIMA WAKAF DARIPADA NON-MUSLIM

AK837.png

SOALAN

Apakah hukum menerima waqaf daripada non-Muslim?

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Agama Islam amat menggalakkan amalan wakaf dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Dari segi istilah, wakaf bermaksud menahan sesuatu harta yang tidak susut fizikalnya serta boleh digunakan dan diambil manfaat darinya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 2/376)

Menjawab kepada persoalan di atas, hukum menerima harta wakaf daripada non Muslim adalah dibolehkan dan sah penerimaan tersebut. Hal ini termasuklah wakaf yang diberikan kepada masjid-masjid walaupun perbuatan tersebut bukan berniat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. (Rujuk Hasyiah al-Baijuri, 2/80)

Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَظْلِمُ مُؤْمِنًا حَسَنَةً يُعْطَى بِهَا فِي الدُّنْيَا وَيُجْزَى بِهَا فِي الآخِرَةِ وَأَمَّا الْكَافِرُ فَيُطْعَمُ بِحَسَنَاتِ مَا عَمِلَ بِهَا لِلَّهِ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا أَفْضَى إِلَى الآخِرَةِ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَةٌ يُجْزَى بِهَا

Maksudnya: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan juga di akhirat. Orang kafir pula akan menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Adapun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya.”  

Riwayat Muslim (2808)

Berdasarkan kepada hadis di atas, seorang non Muslim akan mendapat ganjaran di dunia sesuai dengan wakaf atau kebaikan yang dilakukan tersebut. Namun begitu, dia tidak akan beroleh apa-apa kebaikan atau pahala di akhirat kelak. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 3/183)

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami melihat adalah dibolehkan untuk menerima harta wakaf daripada non Muslim sekalipun dalam perkara-perkara yang melibatkan masjid. Ini kerana non Muslim juga adalah termasuk dalam golongan yang berhak untuk bersedekah. Justeru, penerimaan harta wakaf daripada non Muslim ini adalah dibolehkan.

Semoga dengan penjelasan yang diberikan ini mampu memberi kefahaman kepada kita semua dalam menjalani kehidupan ke arah yang lebih baik. Amin.