Soalan :
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang solat jamak qasar. Jarak tempat tinggal iaitu rumah saya dengan pejabat saya adalah lebih kurang 140 km. Hampir setiap hari iaitu pada hari Isnin hingga Jumaat saya berulang-alik. Di sini saya ingin bertanya boleh ke saya melakukan solat jamak qasar terutamanya pada waktu zohor dan asar pada hari saya bekerja.
Jawapan :
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya :
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ
Maksudnya :” Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’ :101)
Jalaluddin al-Mahalli dan al-Sayuti menyatakan yang dimaksudkan dengan ayat ini apabila kalian bermusafir boleh untuk memendekkan solat iaitu daripada empat jadikan dia dua rakaat.
Rujuk Tafsir al-Jalalain (2/101)
Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat qasar dan jamak dilakukan. Antara yang disebutkan oleh para fuqaha :
- Solat yang diqasarkan adalah solat fardu yang empat rakaat.
- Ada tujuan walaupun dengan mana-mana arah
- Permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan bukan kerana maksiat
- Mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain.
- Jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer.
- Melepasi negeri atau kawasan tempat bermukim.
- Ada pengetahuan berkenaan hukum hakam solat qasar dan jamak
Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah (hlm 314-315)
Al-Khatib Al-Syarbini ketika menjelaskan berkenaan dengan syarat yang membolehkan untuk qasar dan jamak, beliau mengatakan permusafiran tersebut mestilah bukan dengan tujuan maksiat. Sama ada yang wajib seperti bermusafir untik menunaikan haji ataupun yang mandub seperti menziarahi kubur Nabi SAW ataupun yang harus seperti bermusafir untuk perniagaan.
Rujuk al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’(2/384)
Imam Al-Ramli menyatakan permusafiran itu mestilah sama ada yang wajib atau mandub ataupun yang harus. Boleh jadi permusafiran itu adalah yang makruh seperti bermusafir sendirian terutamanya pada waktu malam.
Rujuk Nihayah Al-Muhtaj Syarh Al-Minhaj(2/248)
Berdasarkan pernyataan di atas, kami melihat bahawa boleh untuk menqasarkan dan menjamakkan solat pada hari bekerja kerana telah memenuhi syarat-syarat utama qasar dan jamak iaitu perjalanan melebihi 2 marhalah dan tujuan perjalanan adalah tujuan yang harus. Harus diingatkan, solat jamak dan qasar hanya boleh dilakukan di tempat kerja ataupun ketika dalam perjalanan. Adapun ketika sampai di kawasan permukiman tidak boleh untuk mengambil rukhsah tersebut dan perlu dilakukan solat secara sempurna.