اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #989: BENARKAH KITA MASUK SYURGA LEBIH DAHULU BERBANDING UMAT LAIN?

syurga.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Benarkah tidak akan masuk syurga umat lain selagi umat Rasulullah SAW belum masuk?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Maksudnya: “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.”

Riwayat al-Bukhari (836) dan Muslim (855)

Hadis di atas menunjukkan bahawa umat Nabi Muhammad lah yang akan memasuki syurga terdahulu daripada umat lain. Ia dikuatkan dengan sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْجَنَّةَ حُرِّمَتْ عَلَى الأَنْبِيَاءِ كُلِّهِمْ حَتَّى أَدْخُلَهَا ، وَحُرِّمَتْ عَلَى الأُمَمِ حَتَّى تَدْخُلَهَا أُمَّتِي

Maksudnya: Sesungguhnya, syurga diharamkan ke atas para nabi semuanya sehingga aku memasukinya. Begitu juga diharamkan ke atas umat-umat terdahulu syurga sehingga umat aku memasuki terlebih dahulu.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (942)

Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadis pertama di atas berkata: Adalah bagi orang Yahudi, acara ibadatnya pada hari Sabtu, sedangkan bagi orang Kristian pada hari Ahad. Kemudian Allah datangkan kita, lantas diberi petunjuk kepada kita untuk hari Jumaat, maka dijadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Demikian mereka mengikut bagi kita pada hari Kiamat. Kita adalah umat yang terakhir dibangkitkan di dunia sedangkan kita adalah umat yang terdahulu pada hari Kiamat yang diputuskan hukuman sebelum yang lain.

Tafsiran ulama’ berkenaan dengan yang terakhir dengan maksud masa dan wujudnya di dunia sedangkan yang terdahulu dengan maksud kurniaan dan masuk syurga. Justeru, umat ini akan memasuki syurga sebelum semua umat yang lain. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/19-20)

Imam al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah berkata: Kita adalah golongan yang terakhir yang keluar dari dunia sedangkan yang terdahulu dengan kurniaan dan karamah daripada Allah pada hari Kiamat kelak. (Lihat Syarh al-Sunnah, 4/201)

Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih berkata: Kita adalah umat yang terakhir dari sudut kejadian dan awal dari sudut kehidupan dan kedudukan pada hari Kiamat. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al Masabih, 3/1008)

Justeru, nikmat Allah kurniakan kepada kita umat Muhammad SAW adalah amat banyak dan cukup istimewa. Makanya lafaz syukur Alhamdulillah hendaklah sentiasa membasahi lidah kita dan menjadikan hadis seperti di atas sebagai inspirasi untuk mendekatkan kita kepada Allah SWT yang akhirnya melayakkan kita menghuni syurga Allah SWT.

Kami menutup perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah:

اللَّهُمْ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قُرِّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَعُوذُّ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قُرِّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan. Aku mohon berlindung dengan-Mu daripada neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan. Amin.