اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1001 : MENGGUNAKAN WANG HARAM UNTUK MEMBAIKPULIH SURAU

af1001 compressed

Soalan:

Assalamualaikum SS Tuan Mufti,

Seseorang telah “transfer” wang ke dalam akaun surau sejumlah 10k. Difahamkan daripada sumber yang syubhah (kasino). Apakah harus surau menggunakan wang itu untuk tujuan kos “rewiring” surau yang bermasalah dan kos “defect” bangunan surau yang sudah habis waranti seperti masalah “leaking”.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrt. wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ. Sebelum dijelaskan hukum bagi permasalahan ini, dibentangkan di sini terlebih dahulu takrif mahram.

Pada asalnya wang yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh Syarak, seperti perjudian dan pelacuran, adalah tidak boleh digunakan. Ini termasuklah wang yang diterima daripada aktiviti kasino. Kasino ditakrifkan oleh Kamus Dewan sebagai “bangunan atau dewan tempat hiburan (tari-menari dan sebagainya) dan selalunya tempat berjudi.” Jika pendapatan kasino tersebut semata-mata daripada akviti yang haram, maka jadilah wang itu adalah wang haram, manala jika bercampur antara halal dan haram, maka jadilah wang itu wang syubhah. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (3/67) oleh Muhammad al-Zuhaili. Ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ, daripada Abu Mas`ud al-Ansori RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Rasulullahmelarang daripada hasil jualan anjing, mahar (bayaran upah) pelacur, dan upah kahin (pawang yang menilik masa depan).”

Riwayat al-Bukhari (no.2237)

Isu yang ditimbulkan ialah bagaimana cara hendak menggunakan wang haram tersebut? Adakah ia boleh digunakan untuk membaikpulih surau? Jawapannya boleh, sekiranya pemberinya itu sudah bertaubat dan ingin berlepas diri daripada dosanya itu. Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut fatwa Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (9/351):

“Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam…

Al-Ghazali menyebut pendapat daripada Saiyiduna Mu`awiyah bin Abi Sufyan, dan selainnya daripada ulama Salaf seperti Imam Ahmad bin Hanbal, al-Harith al-Muhasibi dan ulama yang warak selain mereka berdua, kerana tidak dibenarkan untuk menghapuskan harta haram itu dan mencampakkannya ke dalam laut. Tiada pilihan melainkan digunakan untuk kepentingan atau maslahat umat Islam. Wallahu subhanahu wa ta`ala a`lam.

Kami bersetuju dengan pendapat Imam al-Ghazali di atas dan menyimpulkan beberapa ketetapan berikut:

  1. Diharuskan untuk menggunakan harta syubhat tersebut bagi tujuan membaikpulih surau bagi kerosakan yang dinyatakan. Ini kerana surau itu termasuk dalam kategori maslahat umat Islam seperti masjid jua. Cuma, kami lebih cenderung sekalipun diharuskan mengikut pendapat di ataskan agar penggunaan harta tersebut terhad pada perkara yang tidak kena mengena dengan ibadat seperti membaiki tandas masjid dan surau.
  2. Pendapat ini juga bukanlah “lesen” untuk menyuburkan lagi amalan maksiat dengan alasan hasilnya akan diberikan kepada masjid dan surau atas alasan maslahat, tetapi perlu diikat dengan syarat hendaklah bertaubat dan tidak mahu mengulangi perbuatan maksiat itu lagi.
  3. Sebaiknya urusan itu dibawa berbincang dengan pihak autoriti seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan supaya mereka mengambil maklum dan dapat memberikan bantuan dan keperluan secukupnya.
  4. Sekiranya harta haram atau syubhah itu melibatkan aktiviti jenayah dalam undang-undang negara seperti aktiviti pengubahan wang haram yang melibatkan unsur pemerdagangan orang, penyalahgunaan dadah dan rasuah, maka hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua.