اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1009: SEMASA SOLAT, DATANG SYAK TENTANG NIAT SOLAT

SYAK.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Kalau seseorang solat Zohor, sampai rakaat kedua, timbul syak sama ada Zohor atau Asar yang dia niatkan. Dan kemudian datang pula yakin bahawa dia niat Zohor. Adakah sah solatnya?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Saya mulakan dengan hadis daripada Umar bin al-Khattab R.A katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ".

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Antara faedah hadis ini ialah:

  • Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira daripada sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Hal ini juga sepakat oleh Ibn Hajar alAsqalani yang berkata: “Amalan menepati syara’.”

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (العبادة المقصودة) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat. Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wudhu’ dan mandi, maka ulama mazhab Hanaf berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafie dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat.

  • Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.
  • Imam al-Ghazali berkata: “Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Rabb al-Alamin lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan pada niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang diterima oleh Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan membuat maksiat. Daripada perbuatan maksiat, orang tidak akan memperolehi apapun selain kekecewaan dan kerugian. Justeru, keikhlasan merupakan kemuncak dalam penerimaan amalan walau apa jua sekalipun bidang yang diceburi kerana ia akan menentukan dan menjadi neraca sama ada diterima atau tidak di sisi Allah.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, 8)

Menjawab persoalan di atas, keyakinan yang sudah wujud sebelum itu tidak mungkin dihapuskan dengan syak yang datang kemudian. Ini berbetulan dengan kaedah:

الْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: Keyakinan tidak hilang dengan syak.

Ibn Nujaim berkata: “Syak tidak mungkin mengangkat keyakinan yang sebelumnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza'ir oleh Ibn Nujaim, hlm 56)

Justeru, sembahyang yang datang kemudiannya syak adalah tidak dikira dan solatnya sah.

Syeikh Daud al-Fatani dalam kitabnya menyebut: “Tidak memudarat terhadap solatnya apabila timbul syak di pertengahan solat dan datang pula yakin selepasnya. (Lihat Furu’ al-Masa’il tahqiq oleh Datuk Seri Abu Hasan Din al-Hafiz, hlm. 321)

Kami mengharapkan agar solat kita diterima Allah dengan menepati syariat dan juga mengikhlaskan hanya kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya,

(Surah al-Bayyinah: 5)

Imam Nawawi Rahimahullah dalam keterangannya mengenai amal yang disertai dengan niat yang baik berkata: Sesungguhnya amal ini ada tiga bahagian, iaitu:

  • Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah SWT. Amal ini dinamakan ibadat hamba.
  • Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadat saudagar.
  • Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah SWT dan kerana dilaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seseorang yang masih dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka. (Lihat Soal Jawab A – Z tentang Tasawwuf, hlm. 98)

Semoga dengan pencerahan ini membawa kepada kita untuk menekuni fiqah sebelum solat agar ia menepati syariat. Amin.