Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh jelaskan berkenaan siapakah Uwais al-Qarani dan apakah keistimewaannya sehingga disebut oleh Baginda Nabi SAW?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Uwais al-Qarani berasal dari kaum Qaran, termasuk dari kabilah Yaman Bani Murad. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibnu Sa’ad, 6/161)
Dalam satu riwayat di dalam Sahih Muslim, dicatatkan berkenaan kisah pertemuan Saidina ‘Umar al-Khattab R.A dengan beliau. Riwayat tersebut adalah daripada Usair bin Jabir, katanya: ‘Umar bin al-Khattab ketika didatangi oleh serombongan pasukan dari Yaman, beliau bertanya, “Apakah dalam kalangan kamu ada yang bernama Uwais bin ‘Amir?” Sehinggalah ‘Umar menemui ‘Uwais lalu bertanya, “Benarkah engkau adalah Uwais bin ‘Amir?” Uwais menjawab, “Ya, benar.” Umar bertanya lagi, “Benar engkau dari Murad, dari Qaran?” Uwais menjawab, “Ya.”
Umar bertanya lagi, “Benarkah engkau dahulu menghidap penyakit kulit, kemudian sembuh kecuali sebesar satu dirham.” Uwais menjawab, “Ya.” Umar bertanya lagi, “Benarkah engkau memiliki seorang ibu?” Uwais menjawab, “Ya.” Umar berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
يَأْتِى عَلَيْكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ مَعَ أَمْدَادِ أَهْلِ الْيَمَنِ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ كَانَ بِهِ بَرَصٌ فَبَرَأَ مِنْهُ إِلاَّ مَوْضِعَ دِرْهَمٍ لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لأَبَرَّهُ فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ
Maksudnya: “Nanti akan datang kepada kamu seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan pasukan dari Yaman. Dia berasal dari Murad, dari Qaran. Dia menghidap penyakit kulit, kemudian dia sembuh daripadanya kecuali sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada Allah, maka akan diperkenankan yang dia pinta. Jika kamu mampu agar dia memohon pada Allah keampunan bagimu, maka lakukanlah.”
Riwayat Muslim (2542)
Umar pun berkata, “Mohonlah kepada Allah agar Dia mengampuniku.” Kemudian Uwais mendoakan Umar dengan meminta ampunan kepada Allah. Umar pun bertanya kepada Uwais, “Engkau hendak ke mana?” Uwais menjawab, “Ke Kufah.” Umar pun berkata kepada Uwais, “Bagaimana jika aku menulis surat kepada Gabenor di negeri Kufah (supaya membantumu)?” Uwais menjawab, “Aku lebih suka menjadi orang yang lemah (miskin).”
Tahun berikutnya, ada seorang dari kalangan terhormat daripada mereka pergi menunaikan haji dan dia bertemu ‘Umar. ‘Umar pun bertanya tentang Uwais. Orang tersebut menjawab, “Aku tinggalkan Uwais dalam keadaan rumahnya miskin dan barang-barangnya sedikit.”
Umar pun menyebut sabda Rasulullah SAW: “Nanti akan datang kepada kamu seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan pasukan dari Yaman. Ia berasal dari Murad, dari Qaran. Dia menghidap penyakit kulit, kemudian dia sembuh daripadanya kecuali sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada Allah, maka akan diperkenankan yang dia pinta. Jika kamu mampu agar dia memohon pada Allah keampunan bagimu, maka lakukanlah.”
Orang tersebut pun datang menemui Uwais. Dia lalu meminta kepada Uwais, “Mohonlah keampunan Allah untukku.” Uwais menjawab, “Bukankah engkau baru sahaja pulang dari safar yang baik (iaitu haji), maka mintalah keampunan Allah untukku.”
Orang tersebut berkata kepada Uwais, “Bukankah engkau telah bertemu ‘Umar.” Uwais menjawab, “Ya, benar.” Uwais pun memohon keampunan Allah untuknya. Orang lain lalu mengetahui akan keistimewaan Uwais. Lantaran itu, dia mengasingkan diri dan menjauh daripada manusia.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2542)
Imam al-Nawawi menyebut bahawa Uwais adalah seorang yang sangat menyembunyikan keadaan dirinya. Rahsia yang beliau miliki cukup dirinya dan Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Tidak ada sesuatu yang kelihatan di mata orang ramai tentang dia. Itulah yang biasa diperlihatkan oleh orang-orang yang bijak dan wali Allah yang mulia. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/323)
Maksud ini diisyaratkan dalam riwayat lain:
أَنَّ أَهْلَ الْكُوفَةِ وَفَدُوا إِلَى عُمَرَ وَفِيهِمْ رَجُلٌ مِمَّنْ كَانَ يَسْخَرُ بِأُوَيْسٍ
Maksudnya: “Penduduk Kufah ada yang datang menemui ‘Umar. Ketika itu terdapat bersama mereka seseorang yang meremehkan atau merendahkan Uwais.”
Riwayat Muslim (6654)
Uwais termasuk dari kalangan tabi’in yang utama. Ini berdasarkan nas yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ خَيْرَ التَّابِعِينَ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ أُوَيْسٌ وَلَهُ وَالِدَةٌ وَكَانَ بِهِ بَيَاضٌ فَمُرُوهُ فَلْيَسْتَغْفِرْ لَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya tabi’in yang terbaik ialah seorang lelaki yang bernama Uwais. Dia memiliki seorang ibu dan dahulu dia berpenyakit kulit (tubuhnya ada putih-putih). Suruhlah dia untuk memohon ampun untuk kamu semua.”
Riwayat Muslim (2542)
Semua riwayat yang berkenaan dengan Uwais al-Qarani terdapat satu perkara yang sama iaitu beliau adalah teladan dalam hal zuhud dan takwa di antara kalangan kaum Muslimin. Nama beliau juga tercatat sebagai salah seorang daripada lapan tabi’in yang zahid. (Lihat Hilyah al-‘Auliya, 2/87)
Imam al-Zahabi menyebut: “Uwais al-Qarani adalah seorang teladan yang zuhud, penghulu para tabi’in di zamannya, termasuk di antara wali-wali Allah yang soleh lagi bertaqwa dan hamba-hambanya yang ikhlas.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 4/19)
Uwais tidak berpeluang menziarahi Nabi SAW di Madinah disebabkan beliau menjaga serta berkhidmat kepada ibu beliau yang sudah tua dan uzur. (Lihat Hilyah al-‘Auliya 2/87)
Dicatatkan bahawa setelah kembalinya Uwais daripada perjalanannya dari Madinah, beliau datang ke Kufah dan tinggal di sana.
Uwais al-Qarani meninggal syahid pada tahun ke-37 H pada usia 67 tahun dalam Peperangan Siffin. (Lihat al-Muntakhab min Kitab Zail al-Muzayyal oleh al-Tabari, 11/628)