اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1023: NON MUSLIM MEMBACA AL-QURAN: APA HUKUMNYA?

non muslim baca quran.JPG

Soalan

Pada pagi Jumaat, 4 Januari 2019, satu pesanan whatsapp yang mengandungi video telah dihantar kepada saya. Dalam video tersebut menunjukkan seorang lelaki yang berpakaian keagamaan Hindu sedang melakukan miming terhadap sebahagian daripada Surah al-Kafirun yang terkandung dalam al-Quran. Apa pandangan SS Dato’ Seri Mufti dalam isu ini?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Suka kami nyatakan, bahawa Isu non-Muslim membaca al-Quran telah dijawab oleh kami pada siri yang berikut:

Sila lihat pada pautan berikut: http://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/2313-irsyad-al-fatwa-memberi-hadiah-al-quran-dan-terjemahan-kepada-non-muslim

 

Kelebihan al-Qur’an

Al-Qur’an merupakan sebuah kitab hidayah yang membawa manusia kepada jalan yang benar. Al-Qur’an juga merupakan sebuah kitab samawi yang mudah dihafaz, berbeza dengan kitab-kitab samawi yang lain. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Surah al-Qamar (22)

Dalam meneliti isu ini, kami bahagikan kepada beberapa sisi pandang:

Pertama: Orang kafir yang membaca al-Quran dengan niat menghina (istihza’) atau bermain-main (sukhriyyah). Isu ini disepakati oleh para ulama sebagai haram, dan wajib dihalang.

Kedua: Orang kafir yang membaca al-Quran dengan tujuan mencari kebenaran (ihtida') dan petunjuk.

Nabi SAW telah mengutuskan sepucuk surat kepada Hercules yang mengandungi ayat-ayat al-Quran. Hal ini dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

‏بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ، وَ‏{"‏يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ ‏‏‏"‏

Makksudnya: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Daripada Muhammad bin Abdullah dan pesuruh-Nya kepada Hercules; Hai Ahli al-Kitab, marilah sama-sama kita menuju kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu.

Kami nyatakan di sini hukum bagi seseorang yang kafir yang membaca al-Quran dalam mencari kebenaran atau ihtida’ adalah harus. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَـٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

Surah al-Fussilat (26)

Imam al-Nawawi ada menyebutkan akan keharusan mengajar al-Qur’an kepada non-Muslim jika kita mengharapkan dia memeluk Islam, atau mempunyai harapan untuk memeluk Islam. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/71)

Berdasarkan kepada adab bacaan al-Quran jelas menunjukkan hendaklah yang membaca dengan meraikan adab dan memeliharanya, termasuklah yang membacanya dari kalangan orang Islam. Hal ini dinukilkan oleh ramai ulama’. Inilah pada asal hukumnya.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, berdasarkan pemerhatian dan penelitian kami, video tersebut sekadar gerakan mulut (miming) dan tidak diketahui apa niat sebenar perbuatan itu. Jika sekiranya pelaku tersebut bertujuan menghina dan memperlekehkan al-Qur’an, maka ia satu perbuatan yang tidak bermoral dan boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Perkara ini perlu dielakkan bagi memelihara keharmonian antara agama dan kaum di negara ini.

Kami mengambil sikap positif terhadap perbuatan yang dilakukan. Antaranya memahami dan sewajarnya umat Islam perlu menekuni serta tadabbur isi kandungan surah al-Kafirun dengan sebaiknya. Mungkin dengan merujuk kepada tafsir, kita akan menemukan jawapan. Cukup kami nukilkan sebahagian kenyataan guru kami Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili antara lain menyebut: “Surah Makkiyyah ini merupakan surah pembebasan dari perbuatan kaum Musyrikin dan ikhlas beramal hanya untuk Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Munir, 15/698)

Kami juga berpendapat, amat wajar masyarakat Malaysia membudayakan fiqh al-ta’ayush dalam suasana kita berada dengan sifat kemajmukan. Saling meraikan dan menghormati pegangan agama masing-masing amat penting dan perlu dijunjung oleh khalayak masyarakat. Semoga keamanan bumi Malaysia akan kekal dan rakyatnya hidup dengan penuh keharmonian serta berada di puncak toleransi.

Wallahu a’lam.