اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1036 : HUKUM BERNIKAH DUA KALI TANPA TALAK

af1036 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.

Ke hadapan ustaz Dr. Zul, saya ada soalan berkenaan status perkahwinan seseorang yang bernikah dua kali, yang pertama secara senyap-senyap dan kemudian yang betul-betul, macam mana tu Dr? Thanks.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Kami memahami soalan di atas dengan maksud seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita secara rahsia, seperti berkahwin di luar negara menggunakan wali hakim, kemudian berkahwin semula di Malaysia untuk pendaftaran.

Isu pendaftaran pernikahan adalah isu yang sangat penting dalam pentadbiran undang-undang keluarga Islam di Malaysia, khususnya di Wilayah Persekutuan. Ini bagi memastikan pasangan yang berkahwin memiliki dokumen yang sah dan diiktiraf oleh Mahkamah Syariah khususnya apabila timbul isu yang berkait dengan perkahwinan, seperti perceraian, hak hadhanah, harta pusaka dan lain-lain. Justeru, menjadi tanggungjawab orang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka supaya tidak berlaku mudarat kepada mana-mana pihak. Ini selaras dengan peruntukan dalam Seksyen 12(2) dan Seksyen 25 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Walau apa pun sebab yang digunakan oleh pasangan berkenaan untuk bernikah dua kali, hukum pernikahan yang kedua itu tidak memberi kesan apa-apa kepada kesahihan nikah yang pertama. Nikah di negeri-negeri di Malaysia hanya boleh dibubarkan dengan cara berikut:

  • Perceraian dengan lafaz talaq
  • Pengesahan lafaz talaq
  • Fasakh
  • Cerai Ta’liq
  • Tebus Talak/Khulu’
  • Anggapan mati[1]

Ini termasuk juga hukum li`an. Tiada satu pun perkara tersebut yang merujuk kepada nikah kali kedua yang dilakukan individu-individu sebagai membatalkan pernikahan kali pertama. 

Justeru, pasangan yang dimaksudkan dalam soalan itu adalah pasangan suami isteri yang sah dan pernikahan kali kedua itu tidak membatalkan pernikahan yang pertama. Wallahua’lam.

[1] http://www.esyariah.gov.my/images/esyariah/Document/RisalahJKSM/Pamplet%20JKSM%20Penceraian.PDF