اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1118 ADAKAH BATAL WUDUK SEKIRANYA SUAMI BERSENTUHAN DENGAN ISTERI

ak1118

Soalan

Assalamualaikum Dato. Adalah batal wuduk sekiranya suami sentuh isteri. Seperti bersalaman ketika hendak pergi kerja dan sebagainya. Ada yang kata tidak batal.

Jawapan

Waalaikumsalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Pengenalan

Wuduk diambil dari perkataan (الوضاءة) iaitu kebersihan dan kesegaran. Dari segi syarak: wuduk merupakan penggunaan air bagi membasuh anggota-anggota yang dikhususkan. Dinamakan wuduk kerana menyucikan dan menyegarkan. Terdapat juga syarat, fardhu serta sunatnya yang harus disempurnakan. (Rujuk: Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafie: 1/69)

Pensyariatan wuduk

Perintah Allah S.W.T di dalam Al-Quran

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali

(Rujuk: Surah Al-Maidah: 6)

Perkara-perkara yang membatalkan wuduk

Dalam menyimpulkan permasalahan ini di dalam kitab Al-Taqrirat Al-Sadidah menyatakan perkara yang membatalkan wuduk ada empat iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan keluar mani. Ini kerana keluarnya mani diwajibkan mandi dan ia merupakan perkara yang lebih utama dilakukannya dahulu.
  2. Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya. Melainkan (tidak membatalkan wuduk) sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.
  3. Bersentuhan (kulit) di antara lelaki dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) secara langsung iaitu tanpa berlapik.
  4. Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan

(Rujuk: Al-Taqrirat Al-Sadidah: 103)

Dalam keadaan bersentuhan di antara lelaki dan perempuan (Ajnabi) Allah S.W.T berfirman di dalam Al-Quran:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا

Maksudnya: Jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih.

(Rujuk: Surah Al-Maidah: 6)

Imam Al-Nawawi di dalam kitab beliau menyatakan:

أَنَّ الْتِقَاءَ بَشَرَتَيْ الْأَجْنَبِيِّ وَالْأَجْنَبِيَّةِ ينتقض سواء كان بشهوة وبقصد أم لا ولا ينتقص مَعَ وُجُودِ حَائِلٍ وَإِنْ كَانَ رَقِيقًا

Maksudnya: Sesungguhnya menyentuh kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah perkara yang membatalkan wuduk sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Dan tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) walaupun nipis. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab: 2/30)

Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitab beliau menyatakan: “Dimaksudkan dengan perempuan ajnabi ini adalah perempuan yang boleh dikahwini. Dan Mahram ini adalah perempuan yang haram untuk dikahwini. Tidak membatalkan wuduk jika menyentuh kanak-kanak perempuan (sekiranya tidak mendatangkan syahwat) serta menyentuh rambut, kuku atau gigi. Batal wuduk sekiranya menyentuh orang tua walaupun tidak bebrnafsu.” (Rujuk: Al-Mu’tamad Fi Fiqh Al-Syafie: 1/87)

Pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie menyatakan batal wuduk isteri dan suami sekiranya bersentuhan sama ada bernafsu ataupun tidak. Ini kerana suami atau isteri itu merupakan ajnabi diantara keduanya. (Rujuk: Al-Taqrirat Al-Sadidah:102)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas suami dan isteri bersentuhan kulit adalah membatalkan wuduk kedua-duanya. Tidak batal wuduk sekiranya bersentuhan dengan berlapik. Dan ini merupakan pendapat yang muktamad di dalam mazhab imam syafie dan ia diamalkan di dalam negara kita.

Wallahualam.