اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1122: SOLAT DENGAN MENGIKAT RAMBUT

solat ikat rambut.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukumnya jemaah mengikat rambutnya ketika menunaikan solat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma menyebut:

أَنَّهُ رَأَى عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْحَارِثِ يُصَلِّي وَرَأْسُهُ مَعْقُوصٌ مِنْ وَرَائِهِ ، فَقَامَ فَجَعَلَ يَحُلُّهُ ، فَلَمَّا انْصَرَفَ أَقْبَلَ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ : مَا لَكَ وَرَأْسِي ؟ فَقَالَ : إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : إِنَّمَا مَثَلُ هَذَا مَثَلُ الَّذِي يُصَلِّي وَهُوَ مَكْتُوفٌ

Maksudnya: Bahawa beliau melihat Abdullah bin al-Harith solat dalam keadaan rambutnya diikat di belakang. Beliau (Ibn Abbas) lantas bangkit dan melepaskan ikatan tersebut. Apabila dia selesai (solat), lantas dia menghadap Ibn Abbas dan berkata: “Mengapa kamu lakukan pada rambutku demikian?” Lalu Ibn Abbas menjawab: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang.”

Riwayat Muslim (1129)

Ibn al-Athir Rahimahullah berkata:“Makna hadis ini adalah apabila orang yang solat rambutnya diuraikan (tidak diikat), maka rambut tersebut akan jatuh ke tanah ketika sujud sehingga pemiliknya akan diberikan pahala sujud dengan rambutnya. Namun, apabila rambutnya diikat, jadilah ia termasuk dalam makna orang yang tidak sujud. Ia diumpamakan dengan orang yang terikat kedua tangannya, kerana kedua tangan tersebut tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud (sepertimana rambut yang diikat ke belakang tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud).” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 3/275)

Di dalam kitab Nail al-Authar disebut: “Hukum ini (larangan mengikat rambut ketika solat) adalah khusus bagi lelaki, tidak bagi wanita. Kerana rambut mereka (para wanita) adalah aurat, wajib ditutup di dalam solat. Apabila mereka melepaskan ikatan rambut, boleh jadi rambutnya terurai dan sukar untuk menutupnya sehingga membatalkan solat. Dan juga, ia akan menyulitkannya apabila perlu melepaskan rambut ketika hendak solat.

Nabi SAW sendiri telah memberikan keringanan kepada kaum wanita untuk tidak melepaskan ikatan rambut mereka ketika mandi wajib, sedangkan (hal ini) sangat perlu untuk membasahkan seluruh rambut mereka ketika mandi tersebut.” (Lihat Nail al-Authar, 2/440)

Oleh itu, jika jemaah perempuan mengikatnya dalam sanggul, maka dibolehkan. Dalam permasalahan lelaki mengikat rambut, perlu dilihat, adakah sampai kepada tahap tasyabbuh (penyerupaan) kepada wanita atau tidak. Jika tasyabbuh dengan perempuan, maka seeloknya, hendaklah ditinggalkan. Panjang yang dihadkan yang tidak sampai kepada had keperempuanan.

Solat mereka tetap sah tetapi hukumnya makruh tanzihi bagi lelaki. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam melaksanakan agama-Nya. Amin.