اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1151: MENUNAIKAN SOLAT FARDHU SEBELUM AZAN BERKUMANDANG

 

 H

 

SOALAN

Apakah hukumnya kita menunaikan solat fardhu tanpa menunggu azan?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Ibadah solat merupakan satu ibadah yang telah ditetapkan waktu permulaan dan perakhirannya, firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu kewajipan ke atas orang-orang yang beriman yang telah ditetapkan waktunya”

Surah an-Nisa’: 103

 Nabi SAW telah menerangkan dengan terperinci waktu solat lima waktu didalam hadith-hadith Baginda, antaranya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ"

Maksudnya: Daripada Abdullah ibn Amru, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Waktu Zohor adalah apabila tergelincir matahari sehingga panjang bayang-bayang sesuatu objek adalah sama panjang dengan objek tersebut. Waktu Asar pula apabila panjang bayang-bayang sesuatu objek sama panjang dengan objek tersebut sehingga selagi mana matahari belum kekuningan. Waktu Maghrib bermula apabila matahari kekuningan dan berakhir apabila hilangnya cahaya mega merah (syafak ahmar). Waktu Isyak bermula apabila hilangnya syafak ahmar sehingga tiga perempat malam. Waktu Subuh bermula dari terbitnya fajar dan berakhir apabila terbitnya matahari”

Riwayat Muslim (612)

Solat yang dilakukan sebelum masuk waktunya adalah tidak sah dan perlu diulangi solat itu jika masih didalam waktu solat tersebut dan perlu diqadha’ solat itu jika sudah keluar daripada waktu solat tersebut. Rujuk al-Muktamad fi Fiqh asy-Syafie (1/206)

Ibn Qudamah telah berkata: “Sesiapa yang menunaikan solat sebelum masuknya waktu, maka solatnya tidak sah mengikut pendapat kebanyakan para ulama’, sama ada melakukannya secara sengaja ataupun tidak, keseluruhan solat atau sebahagiannya sahaja. Ini adalah pendapat az-Zuhri, al-Auzai’e, asy-Syafie dan Ashab ar-Ra’yi. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA dan Abu Musa RA bahawa kedua-duanya mengulangi solat fardhu Subuh yang telah mereka tunaikan kerana kedua-duanya telah menunaikan solat Subuh sebelum masuknya waktu”. Rujuk al-Mughni (2/45).

Jika seseorang itu menunaikan solat fardhu tanpa berijtihad dengan yakin bahawa telah masuknya waktu solat, kemudian diketahui selepasnya bahawa dia telah menunaikan solat sebelum masuknya waktu solat, maka solatnya tidak sah, dan tidak dikira seperti menunaikan solat fardhu mahupun solat sunat. Rujuk Nihayah al-Muhtaj (2/5)

Ini berbeza keadaanya jika seseorang itu telah berijtihad dengan yakin bahawa telah masuknya waktu solat, kemudian diketahui selepasnya bahawa dia telah tersilap (menunaikan solat sebelum masuknya waktu), maka solat yang telah dilaksanakan tersebut dikira sebagai solat sunat mutlak atau ganti (qadha’) kepada mana-mana solat yang pernah ditinggalkannya jika waktu solat kedua-duanya adalah sama. Rujuk Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Minhaj (2/110), Nihayah al-Muhtaj (2/5)

Keadaan ini adalah seperti apa yang dinukilkan oleh Imam Muzani daripada Imam asy-Syafi’e:

فَلَا يَجُوزُ لِأَحَدٍ أَنْ يَحُجَّ قَبْلَ أَشْهُرِ الْحَجِّ فَإِنْ فَعَلَ فَإِنَّهَا تَكُونُ عُمْرَةً كَرَجُلٍ دَخَلَ فِي صَلَاةٍ قَبْلَ وَقْتِهَا فَتَكُونُ نَافِلَةً

Maksudnya: “Maka tidak boleh seseorang itu mengerjakan ibadah haji sebelum masuknya bulan-bulan haji, jika ia melakukannya, ia dikira sebagai mengerjakan ibadah umrah seperti seseorang yang mengerjakan solat sebelum masuk waktunya, maka ia akan dikira sebagai menunaikan solat sunat” Rujuk Mukhtasar al-Muzani (hlm. 159)

 

Kesimpulan

Solat yang dilakukan sebelum azan dilaungkan boleh dibahagikan kepada dua keadaan:

  • Jika seseorang itu solat sebelum masuknya waktu solat dan sebelum azan dilaungkan, maka solatnya tidak sah serta perlu mengulanginya apabila masuknya waktu solat tersebut.
  • Jika seseorang itu solat selepas masuknya waktu solat dengan yakin tetapi sebelum azan berkumandang, maka solatnya sah dan tidak perlu mengulanginya.

Namun begitu, kami menasihati agar tidak tergesa-gesa menunaikan solat sebelum azan berkumandang kerana pada kebiasaannya azan akan dilaungkan oleh muazzin diawal awal waktu solat kecuali jika menjadi kebiasaan di tempat tersebut azan dilaungkan terlalu lewat daripada masa masuknya waktu atau dalam keadaan tertentu yang mana seseorang itu perlu untuk menunaikan solat dengan cepat atas urusan-urusan penting yang tidak dapat dielakkan.

Menunaikan solat selepas masuknya waktu dan sebelum azan berkumandang tanpa keperluan yang mendesak merupakan satu perbuatan yang bertentangan dengan perkara yang lebih utama daripada itu (khilaf aula) iaitu solat berjemaah di masjid atau surau yang merupakan satu amalan yang sangat-sangat dituntut.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.