Soalan:
Assalamu’alaikum S.S Mufti, yang manakah lebih utama bagi seseorang itu sama ada hadir ke masjid dengan berjalan kaki ataupun dengan menaiki kenderaan ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat ?
Dalam isu ini, terdapat beberapa dalil yang menjadi sumber perbahasan hukum. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
Maksudnya: Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.
Riwayat al-Bukhari (908)
Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita tentang perintah dan galakan untuk menghadiri solat dalam keadaan berjalan dan juga tenang. Dalam masa yang sama juga menunjukkan bahawa kita tidak digalakkan untuk bergopoh-gapah dalam menghadiri solat.
Ini kerana berjalan kaki dengan tenang-tenang dan tidak tergopoh-gapah dalam berjalan atau dengan cara berlari akan memberi kesan negatif terhadap kekhusyukan di dalam solat. Sebahagian ulama mengatakan: ‘’Sesungguhnya dilarang untuk berlari-lari menuju solat adalah kerana ia akan menghilangkan kekhusyukan (di dalam solat) disebabkan kepenatan dan juga terputus nafas yang disebabkan perbuatan berlari tersebut’’. Rujuk al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (1/165).
Selain itu terdapat juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً
Maksudnya: Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefardhuan dari kefardhuan-kefardhuan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya.
Riwayat Muslim (666)
Imam al-Nawawi menyatakan kelebihan berjalan kaki menuju ke masjid dengan menyatakan bahawa ia akan menghapuskan dosa-dosa kecil seseorang itu dan juga mengangkat darjatnya di sisi Allah S.W.T.
Dalam sebuah riwayat daripada Ubai bin Ka’ab R.A beliau berkata:
كَانَ رَجُلٌ لاَ أَعْلَمُ أَحَدًا مِنَ النَّاسِ مِمَّنْ يُصَلِّي الْقِبْلَةَ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ أَبْعَدَ مَنْزِلاً مِنَ الْمَسْجِدِ مِنْ ذَلِكَ الرَّجُلِ وَكَانَ لاَ تُخْطِئُهُ صَلاَةٌ فِي الْمَسْجِدِ فَقُلْتُ لَوِ اشْتَرَيْتَ حِمَارًا تَرْكَبُهُ فِي الرَّمْضَاءِ وَالظُّلْمَةِ فَقَالَ مَا أُحِبُّ أَنَّ مَنْزِلِي إِلَى جَنْبِ الْمَسْجِدِ فَنُمِيَ الْحَدِيثُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلَهُ عَنْ قَوْلِهِ ذَلِكَ فَقَالَ أَرَدْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْ يُكْتَبَ لِي إِقْبَالِي إِلَى الْمَسْجِدِ وَرُجُوعِي إِلَى أَهْلِي إِذَا رَجَعْتُ فَقَالَ أَعْطَاكَ اللَّهُ ذَلِكَ كُلَّهُ
Maksudnya: Ada seorang lelaki yang mana aku tidak ketahui seorang pun dari kalangan manusia yang menunaikan solat menghadap ke arah kiblat dari kalangan penduduk Madinah yang lebih jauh rumahnya dengan masjid berbanding lelaki tersebut. Meskipun begitu dia tidak pernah terlepas menunaikan solat berjamaah di masjid. Aku berkata kepadanya: ‘’Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor himar (keldai) yang dapat kamu naikinya pada musim panas dan juga pada waktu gelap’’. Lalu beliau berkata: ‘’Aku tidak suka rumahku bersebelahan dengan masjid’’. Lalu hal tersebut diketahui oleh Rasulullah S.A.W maka baginda pun bertanya kepada lelaki tesebut terhadap kenyataannya itu. Maka lelaki itu menjawab: ‘’Yang aku mahukan wahai Rasulullah adalah dituliskan ganjaran pahala terhadap datangnya aku ke masjid dan pulangnya aku kepada keluargaku’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: ‘’Semoga Allah memberikan kepada kamu kesemua perkara tersebut’’.
Riwayat Abu Daud (557)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Jabr R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَا اغْبَرَّتْ قَدَمَا عَبْدٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَمَسَّهُ النَّارُ
Maksudnya: Tidak akan disentuh oleh api neraka kedua kaki hamba yang berdebu menuju ke jalan Allah.
Riwayat al-Bukhari (2811)
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa dengan melihat kepada dalil-dalil yang disebutkan jelas menunjukkan bahawa berjalan kaki menuju ke masjid adalah lebih afdhal berbanding menaiki kenderaan sama ada motor ataupun kereta.
Ini lebih-lebih lagi apabila seseorang itu dapat memastikan berjalan kakinya dia menuju ke masjid membolehkan dia mendapat saf yang pertama, muwafiq dalam solat berjemaah, dan selainnya.
Meskipun begitu kami menyatakan bahawa antara maqasid dan roh solat adalah untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat. Justeru sekiranya dengan berjalan kaki dalam jarak yang jauh akan menyebabkan keletihan dan kepenatan atau menghasilkan bau-bauan yang tidak enak pada anggota badan, yang mana hal-hal sebegini akan mengganggu kekhusyukan di dalam solat, adalah lebih utama untuk hadir ke masjid dengan menaiki kenderaan berbanding berjalan kaki.
Akhir kalam, semoga pencerahan ini memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.