اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1263 : HUKUM MENYELAM KE DALAM AIR YANG KURANG DARIPADA DUA KOLAH

http://muftiwp.gov.my/images/ALKAFI_1263.jpg

SOALAN

Assalamualaikum, saya nak bertanya pendapat S.S. Datuk Seri Mufti. Adakah mandi wajib saya sah jika saya menyelam ke dalam air yang kurang daripada dua kolah?

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Mandi menurut bahasa ialah mengalirkan air ke atas apa-apa sahaja. Manakala pada syara’ pula adalah mengalirkan air ke atas badan dengan niat yang tertentu.

Mandi telah disyariatkan oleh Allah SWT sama ada untuk kebersihan ataupun mengangkat hadas dan sama ada ia menjadi syarat sah ibadat ataupun tidak.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Dalam fiqh ertinya, Allah suka kepada orang yang bersih daripada hadas dan kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau batin.

Terdapat banyak hadith tentang mandi. Antaranya ialah, daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلَ فِى كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَوْمًا يَغْسِلُ فِيهِ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ، وَعِنْدَ مُسْلِمٍ: حَقُّ اللَّهِ

Maksudnya:Sepatutnya setiap muslim mandi sekali dalam tujuh hari dengan membasuh kepala dan tubuh badannya.Menurut riwayat Muslim:Sebagai kewajipan terhadap Allah.

Riwayat al-Bukhari (85) dan Muslim (849)

Ulama’ menyatakan bahawa mandi sekali dalam seminggu itu adalah pada hari Jumaat. Ulama’ mujtahid sepakat menghukumkan mandi kerana kebersihan adalah sunat, manakala mandi yang menjadi syarat sah ibadat adalah wajib. Tiada perbezaan pendapat ulama’ dalam hal ini.

Imam Nawawi menyebut, terdapat tiga perkara mewajibkan seseorang itu mandi iaitu tenggelamnya hasyafah (kepala zakar) ke dalam faraj, keluar air mani, keluar darah haid atau nifas (Lihat Al-Majmu’ Syarah Muhazzab, 2/213).

Jika sekiranya seseorang melakukan atau mengalami salah satu perkara di atas, maka wajib ke atasnya untuk mandi sebelum menunaikan ibadah. Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا 

Maksudnya: "Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib."

(Surah al-Maidah: 6)

Syarat fardu mandi junub ada tiga iaitu:

  1. Hendaklah seseorang itu berniat mandi wajib bagi membolehkannya melaksanakan ibadah yang haram dilakukan kerana junub.
  2. Membersihkan najis dan kotoran yang melekat pada badan dan menghalang air daripada sampai ke kulit.
  3. Meratakan air ke seluruh anggota badan termasuk kulit dan bulu-bulu yang ada di badan. (Lihat al-Majmu’ Syarah Muhazzab2/213)

Selain itu, disunatkan bagi seseorang itu ketika mandi junub untuk menggosok keseluruhan badannya. Bahkan disisi Imam Malik, beliau mewajibkannya kerana meratakan air sahaja tidak mencukupi dan tidak sempurna (Lihat Syarah al-Yaqut al-Nafishlm. 86).

Perkara Makruh Ketika Mandi

Pertama: Menggunakan air secara berlebih-lebihan sebagaimana yang diterangkan dalam perkara-perkara makruh ketika berwudhu’. Ini kerana perbuatan tersebut tidak mengikut perbuatan Nabi SAW sebagaimana hadith daripada Anas RA katanya:

كَانَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ َوَسَلَّمَ يَغْسِلُ أَوْ كَانَ يَغْتَسِلُ بِالصَّاعِ إِلَى خَمْسَةِ أَمْدَادٍ، وَيَتَوَضَّأُ بِالْمُدِّ

Maksudnya: Nabi SAW mandi dengan segantang hingga lima cupak air dan berwudhu' dengan secupak air.”

Riwayat al-Bukhari (198) dan Muslim (325)

Hadith seterusnya daripada Jabir RA yang ditanya tentang mandi, katanya:

فَقَالَ: يَكْفِيكَ صَاعٌ. فَقَالَ رَجُلٌ مَا يَكْفِينِى. فَقَالَ جَابِرٌ كَانَ يَكْفِى مَنْ هُوَ أَوْفَى مِنْكَ شَعَرًا، وَخَيْرٌ مِنْكَ

Maksudnya: “Cukuplah engkau mandi dengan segantang air. Lalu seorang lelaki berkata, ini tidak mencukupi bagiku. Jabir menjawab: Ia telah pun mencukupi bagi orang yang lebih baik dan rambutnya lebih lebat daripada engkau (yakni Rasulullah SAW).”

Riwayat al-Bukhari (249) dan Muslim (327)

Kedua: Mandi di air yang tenang

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

لاَ يَغْتَسِلُ أَحَدُكُمْ فِى الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ. فَقَالَ كَيْفَ يَفْعَلُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ يَتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلاً

Maksudnya: “Janganlah seseorang daripada kamu yang junub mandi di dalam air yang tenang. Orang ramai bertanya, wahai Abu Hurairah, bagaimanakah sepatutnya dia lakukan? Abu Hurairah menjawab: Ambil air. (Dengan tangan atau bekas kecil beserta niat mencedok sekiranya air itu sedikit, supaya tidak menjadi musta'mal disebabkan bersentuh dengan tangan, atau ambil sedikit air daripada bekas sebelum berniat mengangkat janabah. Kemudian berniat, membasuh tangan dan ambillah air seterusnya dengan tangannya itu).”

Riwayat Muslim (283)

Hikmah tegahan tersebut adalah kerana perasaan seseorang berasa jijik menggunakan air yang telah dibuat mandi dengan apa cara sekalipun. Perbuatan itu juga membazirkan air disebabkan ia tidak sesuai lagi dibuat bersuci sekiranya kurang daripada dua qullah, kerana telah jadi air musta'mal dengan perbuatan mandi tersebut. Orang ramai pada kebiasaannya memang sentiasa perlu menggunakan air tersebut. Disebabkan itulah dilarang mandi di dalamnya.

Takrif Dua Kolah

Dua Kolah ataupun dalam istilah arabnya, qullah (قُلَّة) ialah 500 kati Baghdad, bersamaan 192.857 kg atau 1 ¼ hasta padu.

Sebenarnya sukatan atau kadar air yang dikemukakan oleh ulama’ berkenaan dengan dua qullah bersifat taqribi bukan tahdidi atau tepat. Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut nilainya seperti berikut:

  1. Dari segi timbangan iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam (1 kati Syam bersamaan 2.5 kg. justeru, 2 qullah bersamaah 195.113 kg).
  2. Dari segi sukatan 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).
  3. Dari segi ukuran 1 ¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pandapat ulama’ Hanbali, ukurannya ialah 2 ½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/273)

Menjawab persoalan di atas, Ibn Qudamah telah berkata,”Jika seseorang yang berjunub atau berhadas menyelamkan badannya pada kolah yang tidak mencukupi kadar dua kolah dengan niat untuk mengangkat hadas, air tersebut menjadi musta'mal, dan tidak terangkat hadasnya. Manakala imam al-syafi'e mengatakan bahawa air tersebut menjadi musta'mal dan terangkat hadasnya, kerana air tersebut menjadi musta'mal disebabkan dia mengangkat hadas menggunakan air tersebut.

Dalil bagi kami adalah berdasarkan (hadis daripada Abu Hurairah RA), sabda Rasulullah SAW:

لَا يَغْتَسِلْ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ

Maksudnya: “Janganlah seseorang daripada kamu yang junub mandi di dalam air yang tenang”

Riwayat Muslim (283)

Larangan tersebut (perbuatan) menyebabkan kerosakan kepada apa yang dilarang daripadanya (air), kerana awal juzuk daripada air yang berpisah daripada badan menjadikan air tersebut musta'mal, maka tidak terangkat hadas untuk seluruh badan, sepertimana jikalau orang lain mandi di dalamnya. jika sekiranya air tersebut mencukupi kadar dua kolah dan ke atas, maka ianya tidak memberikan kesan kepada air, kerana ianya (air tersebut) tidak memikul hadas" (Lihat al-Mughni, Ibn Qudamah, 1/18)

Imam al-Nawawi berkata: Tiada masalah khilaf sekiranya air itu kekal dua kolah, namun jika dia turun menyelam pada air yang tidak mencapai dua kolah, maka harus dilihat:

  1. Sekiranya dia turun tanpa niat, dan kemudian dia berniat ketika berada di dalam air untuk mengangkat hadas, maka terangkatlah hadasnya, jikalau dia bukan di dalam situasi ini, maka air itu akan terus menjadi musta'mal berdasarkan pendapat sahih yang diputuskan oleh jumhur.
  2. Sekiranya dia turun ke dalam air dalam keadaan berniat, maka air tersebut akan menjadi musta'mal kepada orang lain berdasarkan pandangan yang sahih, dan padanya terdapat pandangan al-Baghawi, iaitu terangkat junubnya berdasarkan kadar air yang terkena ketika awal penurunannya ke dalam air, dan adakah terangkat junub pada badannya yang berbaki?, pandangan yang sahih dan disepakati oleh ahli kami, adalah terangkat hadasnya, kerana air tersebut menjadi musta'mal jika ianya terpisah daripada badan. Sekiranya air itu masih lekat dengan badannya, maka air tersebut belum menjadi musta'mal sehingga air tersebut terpisah daripada badannya. (Lihat al-Majmu’ Syarah Muhazzab, 1/165)

Namun mazhab Syafi’e mengatakan, walaupun hadasnya terangkat dengan air yang bertakung, namun perbuatan tersebut makruh sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Nawawi: Imam al-Syafi'e rahimahullah telah berkata di dalam al-Buwaithiyy, "Aku tidak suka orang yang berjunub mandi di telaga ataupun air yang kekal (tenang), kerana air yang bertakung ini tidak mengalir sama ada sedikit ataupun banyak, aku tidak suka mandi dengannya dan kencing dengannya." Ini adalah kata sepakat daripada mazhab kami bahawa ianya makruh sebagaimana disebutkan di dalam al-Bayan dan situasi berwudhu' juga sama seperti mandi (iaitu mengangkat hadas). (Lihat al-Majmu’ Syarah Muhazzab, 2/196).

Justeru, pandangan dalam mazhab Syafi’e, bahawa perbuatan mandi dengan menyelam di dalam air yang kurang daripada dua kolah, mandinya tersebut sah tetapi hukumnya makruh, namun air tersebut akan bertukar menjadi air musta’mal dan tidak boleh digunakan lagi untuk bersuci.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan dan penerangan di atas, kami menyimpulkan hukum menyelam pada air yang kurang daripada dua kolah adalah makruh tetapi mandian tersebut sah.

Namun, kami nasihatkan supaya meninggalkan perbuatan menyelam dengan kadar air tersebut dengan memilih mandi dengan air yang lebih daripada dua kolah sama ada melalui jirusan ataupun menyelam sebagai langkah untuk keluar daripada khilaf dan memastikan kesahihan mandi wajib serta kesahihan ibadah kita. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama agar kita dapat beramal sesuai dengan kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

Wallahu a’lam.