اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1266: PERLUKAH MAKMUM MENYEBUT “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” SEWAKTU BANGUN DARI RUKU’

SEBUT MASA BANGUN RUKUK.JPG

Soalan

Saya pernah mendengar seorang ustaz mengajar, bahawa bagi makmum, apabila bangun daripada rukuk, tidak perlu menyebut “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” (tasmi’), tapi cukup sekadar menyebut “رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ” (tahmid). Sedangkan saya belajar sejak kecil, makmum perlu menyebut kedua-duanya. Boleh SS Mufti berikan pencerahan?

 

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Para ulama bersepakat bahawa bagi yang solat sendirian, mereka perlu menyebut lafaz tasmi’ ketika bangun dari rukuk, dan tahmid ketika berdiri untuk i’tidal. Kesepakatan ini dinukilkan oleh Imam al-Tahawi dan Imam Ibnu Abd al-Barr (Rujuk Syarh Ma’ani al-Athar 1/240 dan Al-Istizkar 2/178)

Namun para ulama berselisih bagi makmum dan imam. Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’e, disunatkan bagi imam, makmum dan yang solat sendirian untuk menyebut “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” ketika bangun dari rukuk, dan menyebut “رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ” ketika berdiri tegak untuk i’tidal. (Rujuk Raudhah al-Tolibin 1/252)

Dalilnya ialah hadith daripada Abu Hurairah RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَالَ :‏ ‏سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ‏‏‏.‏ قَالَ :‏ ‏اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ‏‏‏

Maksudnya: Nabi SAW apabila menyebut “Allah SWT Maha Mendengar sesiapa yang memuji-Nya”, Baginda akan menyebut “Wahai Tuhan, bagi-Mu lah segala pujian”.

Sahih al-Bukhari (795)

Adapun bagi jumhur ulama’, iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, makmum hanya perlu menyebut tahmid sahaja, dan tidak perlu menyebut lafaz tasmi’. (Rujuk Al-Hawi li al-Fatawi 1/35)

Ibn al-Munzir menyatakan bahawa pandangan Imam Syafi’e yang menghimpunkan kedua-dua lafaz ini untuk makmum adalah menyanggahi ijma’ ulama’. Namun menurut Imam al-Ramli, kenyataan ini tertolak, kerana pandangan Imam al-Syafi’e ini turut dipegang oleh Ata’, Ibn Sirin, Ishaq, Abu Burdah dan lain-lain. (Rujuk Nihayah al-Muhtaj 1/502)

Dalil jumhur ialah hadith daripada Abu Hurairah RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ‏.‏ فَقُولُوا اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Maksudnya: Imam dijadikan untuk diikuti, maka bertakbirlah ketika dia bertakbir, dan rukuk apabila dia rukuk, dan apabila dia menyebut ‘sami’a Allah liman hamidah’, hendaklah kamu menyebut ‘Allahumma Rabbana laka al-Hamd’.

Riwayat Muslim (417)

Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW menambah:

فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ قَوْلُهُ قَوْلَ الْمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya barangsiapa yang perkataannya berbetulan dengan perkataan para malaikat, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan.

Riwayat al-Tirmizi (267)

Berkenaan hadith ini, Syeikh Zakariyya al-Ansari menyatakan bahawa menyebut tasmi’ memang telah diketahui oleh para sahabat, maka hadith ini difahami dengan erti kata: “Apabila imam bertasmi’, maka hendaklah kalian bertasmi’ seperti yang telah kalian ketahui sebelum ini, dan hendaklah menambah dengan tahmid”. Nabi SAW menyuruh menyebut tahmid kerana kebiasaannya para sahabat tidak mendengarnya kerana Nabi SAW menyebutnya secara perlahan (sirr), dan mereka hanya mendengar kalimah tasmi’ yang dibaca secara kuah (jahar). (Rujuk Asna al-Matolib 1/158)

 

Tarjih dan kesimpulan

Tuntasnya, kami berpegang kepada pandangan mazhab Syafi’e yang mensunatkan bagi imam, makmum dan yang solat sendirian untuk menyebut “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” ketika bangun dari rukuk, dan menyebut “رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ” ketika berdiri tegak untuk i’tidal, sebagaimana yang tsabit melalui hadith Baginda SAW dan yang dinaskan dalam karangan para ulama mazhab Syafi’e.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam melaksanakan acara ibadat seperti solat dengan sempurnanya. Kekhilafan ulama’ seperti dalam hal ini menjadi khazanah ilmiyah untuk Islam. Betapa sifat keluasan dan tasamuh Islami ketika mengamalinya adalah diizinkan selama mana ia dalam isu cabang atau furu’ dan khilaf tersebut berserta dengan dalil-dalil serta hujah masing-masing.

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.