اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1267 : MAKMUM MENYANGKA IMAM TERKURANG RAKAAT

AF 1267 compressed

Soalan :

Assalamualaikum AF ustaz. Saya ingin dapatkan kepastian dan pencerahan dari pihak AF ustaz. Pernah terjadi di surau saya selepas solat fardhu Isyak ketika orang ramai mula nak bangun untuk buat solat tarawih ada orang yang mengatakan bahawa solat imam tidak sah kerana imam buat 3 rakaat bukan 4 rakaat. Apabila ditanya kepada imam, dia yakin yang dia buat 4 rakaat. Hampir separuh jemaah surau yakin yang imam tadi buat 4 rakaat. Cuma ada yang tidak berpuas hati mengatakan imam buat 3 rakaat bukan 4 sehinggakan mereka marah-marah dan membentak. Perkara ini menimbulkan kekacauan di dalam kalangan jemaah surau. Adakah imam perlu mengulangi semula solatnya?. Apa pandangan ustaz berkenaan isu ini?. Terima kasih ustaz.

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, makmum wajib untuk mengikut imam di dalam setiap pergerakan ketika solat berjemaah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Sabda Nabi SAW :

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya :” Imam (di dalam solat) itu dijadikan untuk diikuti. Jangan kalian bercanggahan dengan imam. Apabila dia rukuk maka rukuklah. Apabila dia menyebut سمع الله لمن حمده (Allah Maha Mendengar sesiapa yang memuji-Nya) maka katakanlah ربنا لك الحمد (Tuhan kami bagi Engkau segala pujian). Apabila dia sujud maka bersujudlah. Apabila dia solat secara duduk maka solatlah kalian semua secara duduk”

Riwayat Al-Bukhari (722) & Muslim (962)

Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut bahawa makmum wajib untuk mengikut imam ketika takbir, qiyam,rukuk, sujud dan lain-lain.Makmum perlu mengangkat takbir sejurus selepas imam melakukannya. Jika makmum melakukan apa-apa pergerakan solat sebelum imam selesai maka tidak sah solatnya.(Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 4/131).

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, imam tidak perlu untuk mengulangi solatnya jika dia meyakini dia telah menyempurnakan rakaat.Ini ditambah lagi dengan pengakuan dari sebahagian besar jemaah yang mengatakan bahawa imam telah menyempurnakan rakaatnya dengan sempurna tanpa ada pengurangan. Perkara ini berdasarkan kepada kefahaman daripada peristiwa yang pernah berlaku di zaman Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah R.A. Beliau berkata :

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ أَوْ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَيْنِ الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَقَصَتْ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَحَقٌّ مَا يَقُولُ قَالُوا نَعَمْ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ

Maksudnya :”Nabi SAW pernah solat zohor atau asar bersama kami. Kemudian Baginda memberi salam. Lantas Zul Yadaini (yang mempunya dua tangan yang panjang)[1] berkata : Wahai Rasulullah, adakah solat telah berkurang (rakaatnya). Maka Nabi SAW berkata kepada para sahabat Baginda : adakah benar apa yang dikatakan oleh Zul Yadain. Para sahabat menjawab : ya, benar. Lalu Rasulullah menyambung dua rakaat yang berbaki kemudian sujud dua kali.”

Riwayat Al-Bukhari (1151)

Daripada hadis ini, dapat kita fahami jika ramai yang bersetuju bahawa imam terkurang rakaatnya dan imam meyakini bahawa memang dia meninggalkan rakaat maka wajib bagi imam untuk menyempurnakan rakaat yang berbaki dan kemudian melakukan sujud sahwi. Adapun jika imam sudah meyakini bahawa dia telah melakukan rakaat dengan sempurna tanpa ada pengurangan dan jumlah yang syak terhadap solatnya itu sedikit maka imam perlu beramal dengan apa yang dia diyakini. (Rujuk Al-Bayan Fi Mazhab Al-Imam Al-Syafi’i, 2/388).

Ini dikuatkan lagi dengan pernyataan daripada Imam Al-Nawawi. Beliau berkata jika imam bangun dan dia meyakini bahawa ketika itu adalah rakaat yang keempat sedangkan ada yang menyangka bahawa imam terlebih rakaat dan dia menegur imam. maka pada ketika itu imam tidak perlu untuk mengikut kata mereka. Dia beramal dengan apa yang dia yakini. (Rujuk Raudhah Al-Tolibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, 1/308).

Abu Al-Fath Muhammad Al-Aqfahsi menyatakan bahawa jika imam sudah meyakini bahawa dia telah menyempurnakan rakaat, makmum tidak boleh menganggunya. Diab oleh bertasbih untuk menegur namun tidak wajib bagi imam untuk mengikutnya. Ini kerana imam telah meyakini apa yang telah dia lakukan. Maka makmum yang syak itu apabila imam memberi salam dia perlu mufaraqah dan bangun menyempurnakan rakaat yang dirasakan kurang. (Rujuk Al-Qaul Al-Tamm Fi Ahkam Al-Ma’mum Wa Al-Imam, hlm 80).

Bagi makmum yang syak terhadap jumlah rakaat yang telah dilakukan oleh imam dan syaknya itu berterusan sehinggalah imam selesai solat. Dalam keadaan dia tidak mufaraqah dan menambah rakaat, maka tidak sah solatnya dan dia perlu mengulangi semula solatnya.

Kesimpulannya, imam tidak perlu mengulangi solat jika dia telah meyakini jumlah rakaat yang telah dilakukan. Ditambah pula dengan pangkuan sebahagian besar jemaah yang mengatakan bahawa imam telah menyempurnakan jumlah rakaat. Bagi makmum yang syak, jika dia berterusan syak sehingga imam selesai solat dalam keadaan dia tidak mufaraqah dan menambah rakaat maka solatnya tidak sah. Dia perlu mengulangi semula solatnya.

Wallahu’alam.

[1] Nama sebenar beliau Al-Khirbaq Al-Sulami (Rujuk Irsyad Al-Sari Li Syarh Sohih Al-Bukhari , 2/365)