اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1342 : BOLEHKAH SEORANG DATUK MENGERJAKAN AKIKAH BUAT CUCUNYA ?

AK 1342

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah hukumnya seorang datuk yang melakukan sembelihan akikah bersempena kelahiran cucunya ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dari sudut bahasa akikah bermaksud rambut yang terdapat di kepala bayi semasa hari kelahirannya. Manakala dari sudut syarak ia bermaksud sembelihan yang dilakukan ketika dicukur rambut bayi tersebut. Rujuk Al-Minhaj al-Qawim, Ibn Hajar al-Haitami (Hlm. 482).

Dari sudut fekah, disunatkan untuk dicukur rambut bayi termasuklah bayi perempuan pada hari ketujuh kelahiran sesudah sembelihan akikah dilakukan. Ini bermaksud, sembelihan akikah itu dianjurkan untuk dibuat pada hari ketujuh kelahiran. Manakala haiwan yang dituntut untuk disembelih semasa akikah adalah sama seperti haiwan yang dituntut dalam sembelihan korban iaitu unta, lembu, dan juga kambing.

Anjuran melaksanakan sembelihan akikah disebabkan kelahiran bayi adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Samurah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.

Riwayat Abu Daud (1522)

Para ulama menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan kenyataan ‘’bayi tertebus dengan akikahnya’’ adalah apabila tidak dilakukan akikah bagi pihaknya (bayi yang baru dilahirkan) maka dia tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibubapanya pada hari kiamat kelak.

Dari sudut hukum, perlaksanaan akikah adalah sunat muakkad. Dan mukhatab (individu yang ditujukan khitab arahan melakukan akikah) adalah individu yang bertanggungjawab ke atas nafkah anak tersebut iaitu si bapa.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut: ‘’Tidak boleh bagi seorang wali itu melakukan akikah menggunakan harta anaknya. Ini kerana sembelihan akikah adalah bersifat tabarru’ (menggunakan wang sendiri). Namun sekiranya dia menggunakan juga harta anak tersebut, maka ia perlu digantikan semula. Dan sembelihan akikah tidak dituntut ke atas ibu melainkan ketika mana seorang bapa tidak berkemampuan untuk melakukannya’’. Rujuk Al-Minhaj Al-Qawim, Ibn Hajar al-Haitami (Hlm. 482-483).

Merujuk kepada persoalan di atas, adakah dibolehkah bagi seorang datuk mengerjakan sembelihan akikah untuk cucunya, maka berikut kami kongsikan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Buraidah dari bapanya beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melakukan sembelihan akikah ke atas Hasan dan juga Husin.

Riwayat Al-Nasaie (4213)

Maka berdasarkan kepada riwayat di atas, adalah dibolehkan bagi seorang datuk untuk melakukan sembelihan akikah dengan kelahiran cucunya. Ini kerana zahir hadis di atas menunjukkan bahawa baginda melakukan akikah ke atas dua cucu baginda iaitu Al-Hasan dan Al-Husin.

Oleh kerana itu kata Imam Syams al-Din Al-Ramli Rahimahullah:

وَعَقّهُ صلى الله عليه وآله وسلم عَنِ الْحَسَنِ وَأَخِيهِ لأَنَّهُمَا كَانَا فِي نَفَقَتِهِ لإِعْسَارِ وَالِدَيْهِمَا أَوْ كَانَ بِإِذْنِ أَبِيهِمَا

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melakukan akikah terhadap Al-Hasan dan saudara kandungnya (Al-Husin) kerana keduanya berada di bawah nafkah (tanggungan) baginda S.A.W. berikutan kesukaran (ketidakmampuan) kedua ibubapa mereka ataupun (akikah tersebut dilakukan) dengan keizinan bapa mereka berdua. Rujuk Nihayah al-Muhtaj, Syamsuddin al-Ramli (8/138).

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa adalah dibolehkan bagi seorang datuk untuk melakukan akikah bagi cucunya. Hal ini dibenarkan meskipun ayah kepada bayi tersebut masih hidup. Ini kerana boleh jadi bapa kepada bayi tersebut tidak berkemampuan dari sudut kewangan ataupun boleh jadi kerana kasih sayang seorang datuk kepada cucunya. Maka hukum seorang datuk melakukan sembelihan akikah terhadap cucunya adalah mustahab.

Bahkan sekiranya ayah kepada bayi tersebut mampu untuk melakukan akikah, namun datuk kepada bayi tersebut ingin melakukan akikah kepada cucunya itu, maka hal ini dibolehkan dengan keizinan dari ayah bayi tersebut. Sekiranya tidak ada keizinan dari bapa kepada bayi, maka akikah tersebut juga dianggap sebagai sah. Namun kami menyatakan bahawa yang afdhal adalah dengan meminta izin bapa kepada bayi tersebut sebagai cara keluar dari khilaf. Kerana ada sebahagian ulama yang mensyaratkan perlu kepada keizinan bapa bagi perlaksanaan akikah tersebut.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.