اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1356: ADAKAH MUSHAF AL-QURAN BRAILLE DIHUKUM SEPERTI MUSHAF BIASA

MUSHAF BRAILLE HUKUM.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah hukum mushaf al-Quran dalam bentuk Braille dihukumkan seperti mushaf biasa? 

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Takrif Braille dan Mushaf al-Quran Braille

Braille merupakan sistem tulisan berasaskan sentuhan yang paling meluas digunakan oleh masyarakat dunia pada hari ini. (Lihat Braille al-Quran: Sejarah dan Kaedah oleh Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, hlm. 16)

Istilah Braille diambil sempena nama Louis Braille, seorang warga Perancis yang mengalami masalah penglihatan, pengasas tulisan berasaskan penggunaan titik timbul bagi menggantikan huruf dan nombor sekitar abad ke sembilan belas yang dipanggil sebagai sel (cell) yang mempunyai enam titik dan dikenali juga sebagai kod Braille. (Lihat Pengajaran Al-Quran Braille: Isu Dan Cabaran Semasa oleh Hj. Norakyairee Hj. Mohd Raus et. al dalam International Journal on Quranic Research (IJQR), hlm. 82-83)

Al-Qur’an Braille ialah mushaf al-Qur’an Braille yang menggunakan asas kod Braille Bahasa Arab yang mewakili huruf-huruf hija’iyyah, tanda baris seperti fathah, dammah, dan kasrah serta simbol-simbol seperti shaddah, sukun dan mad. (Lihat Metode Pengajian Braille Al-Quran oleh Ahmad Kamel et al. 2009)

Di Malaysia, al-Qur’an Braille akan disemak dan diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merangkumi 30 juzuk al-Qur’an dalam Mashaf Usmani. Ia ditulis dalam tulisan jawi Braille dan mampu difahami oleh golongan cacat penglihatan Islam di seluruh dunia. Lujnah al-Qur’an Jawatankuasa Penyemakan di JAKIM akan melakukan semakan bagi memastikan tidak terdapat kesilapan di dalam penyusunan ayat-ayat al-Qur’an, huruf-huruf, tanda-tanda bacaan dan sebagainya. (Lihat Pengajian al-Qur’an dalam Kalangan Ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu oleh Rumiza Binti Abdul Rahman, hlm. 46)

Asas Kod Braille Wasilah al-Quran adalah berdasarkan kepada enam titik timbul di mana susunannya ialah dua titik dari kiri ke kanan dan tiga titik dari atas ke bawah merupakan asas utama. Susunan titik-titik timbul dimanipulasi bagi membentuk huruf-huruf tertentu. Ini membolehkan pelajar mengenali huruf-huruf tertentu berdasarkan titik-titik tersebut bagi menggantikan huruf-huruf Hijaiyah sebagaimana yang digunakan oleh orang biasa. Oleh itu, pembacaan dimulakan daripada kiri ke kanan berbeza dengan tulisan Arab yang dibaca dari kanan ke kiri. (Lihat Pengajian al-Qur’an dalam Kalangan Ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), hlm. 57)

 

Hukum Mushaf Braille

Mushaf al-Quran dalam bentuk Braille adalah tetap dihukumkan sebagai mushaf. Disebut dalam Hasyiyah al-Jamal: Al-Syihab al-Ramli ditanya, adakah haram penulisan al-Quran yang mulia dengan tulisan Hindi atau selainnya. Maka beliau menjawab bahawa ia tidak diharamkan kerana ia menunjukkan kepada lafaznya yang mulia, serta tidak ada perubahan padanya. Ini berlainan dengan terjemahan dengan selain Arab, kerana ada padanya perubahan. 

Ibarat Imam al-Suyuti dalam kitab al-Itqan, berkenaan adakah diharamkan penulisannya dengan tulisan selain Arab, al-Zarkasyi berkata aku tidak menjumpai satu pandangan pun (yang menyebut tentang pengharamannya) dari kalangan ulama’, dan ia boleh jadi membawa kepada hukum harus. Ini kerana ia (membantu) mengelokkan bagi yang membacanya. Pendapat yang paling hampir adalah ditegah. Sedangkan yang muktamad adalah yang pertama (yakni harus). Inilah juga pendapat Imam Birmawi.(Lihat Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh al-Manhaj, 1/676)

Imam Qalyubi berpendapat, harus penulisannya dan tidak harus pembacaannya dengan selain bahasa Arab. Dan bagi yang ditulis, hukumnya adalah seperti hukum mushaf dari segi membawa dan memegangnya. (Lihat Hasyiyah al-Jamal Syarh al-Manhaj, 1/7676)

Disebut dalam kitab al-Ghurar al-Bahiyyah oleh Syeikh Zakariyya al-Ansari: Dibolehkan menulis al-Qur’an dengan selain bahasa Arab dan berlaku baginya hukum mushaf dalam menyentuh dan membawanya. (Lihat al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 1/148)

 

Kesimpulan

Daripada penjelasan di atas, dapat difahami bahawa mushaf al-Quran yang ditulis dengan tulisan Braille turut dikira sepertimana hukum mushaf al-Quran biasa.

Keduanya, walaupun hurufnya berbeza berdasarkan titik-titik, tetapi apabila dibaca oleh golongan yang cacat penglihatan, maka bacaannya sama seperti orang yang dapat melihat dengan membaca mushaf seperti yang kita miliki. Justeru, kami cenderung kepada pendapat bahawa ia adalah mushaf al-Quran yang wajib diberi penghormatan sebagaimana tulisan biasa dalam bahasa Arab yang makruf.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman dalam mengamalkan setiap titah perintah-Nya. Amin.