اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1360: ADAKAH DENGAN PENYUSUAN AKAN MEMBERI KESAN KEPADA PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

ak1360

Soalan

Assalamualaikum Dato Mufti yang dirahmati Allah. Saya seorg ibu yang menyusukan anak dan bekerja sebagai seorang doktor. Jadi sejak dalam pantang lagi saya telah mula membuat stok susu simpanan di dalam peti sejuk beku. Saya bercadang utk berikan kepada seorang baby yg memerlukan susu badan dari kalangan anak kawan terdekat saya. Saya mahu bertanya Dato Mufti apakah hukum mengambil anak susuan? Apakah memberi kesan kepada nasab dan pembahagian harta dan sebagainya yang berkaitan?

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pengertian dan Hukum Penyusuan (al-Rada’)

Al-Rada’ (Penyusuan): Perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238).

Mengikut pengarang Fiqh al-Manhaji Penyusuan merupakan pengaliran susu seorang perempuan yang masuk ke dalam perut bayi (Lihat: al-Fiqh al- Manhaji, 3/119)

Hukum Penyusuan

Para Fuqaha’ bersepakat penyusuan bayi adalah perkara yang diwajibkan selagi mana ia berhajat kepadanya dan ketika berada di dalam jangka masa umur susuan (dua tahun). (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/239)

Firman Allah SWT:

وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya:  Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya

(Surah al-Talaq, 6)

Selain itu, terdapat pendapat sebahagian Ulama’ kotemporari menyatakan makruh sekiranya menyusukan bayi yang bukan anaknya tanpa hajat atau keperluan yang mendesak. Ini seperti yang didatangkan di dalam Fiqh al-Manhaji: “Ulama’ fiqh kebelakangan ini menyatakan bahawa seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak”. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/212)

Dari segi syarak seorang perempuan itu dibenarkan untuk menyusukan bayi yang bukan anaknya. Oleh itu, bagi seorang isteri seharusnya meminta kebenaran suaminya dan ayah kepada bayi tersebut untuk menyusukannya.

Ini sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah “Sekiranya seorang perempuan itu menyusukan bayi yang bukan anaknya mestilah mendapat kebenaran suaminya”. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/157)

Kesan Terhadap Penyusuan

Anak susuan akan menjadi mahram (tidak boleh dikahwini) sekiranya syarat-syarat penyusuan itu dipenuhi di antaranya ialah anak susuan itu belum mencapai usia dua tahun dan anak susuan itu mestilah kenyang sebanyak lima kali secara berasingan. Oleh sebab itu, kesan terhadap hubungan anak susuan dengan ibu susuan dan suaminya tertakhluk kepada dua hukum asas iaitu:

  • Diharamkan berkahwin di antara mereka (ibu susuan dan bapa susuan serta keturunannya)
  • Dihalalkan anak susuan pada keharusan untuk melihat (apa yang diharamkan ajnabi) kepada ibu susuan dan keturunannya serta dihalalkan tinggal bersama.

(Lihat: al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e, 4/326)

Selain itu, penyusuan tidak memberi kesan yang bersangkutan dengan hukum-hakam nasab yang selain daripada di atas seperti yang dinyatakan di dalam Mausu’ah al-Fiqhiyyah, “Adapun hal berkenaan dengan hukum-hakam nasab seperti pembahagian harta pusaka, nafkah, memerdekakan hamba, gugur hukum kisas dan lain-lain tidak sabit dalam hukum penyusuan. Dan ia merupakan sepakat para fuqaha’” (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/241)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan dalil yang diberikan, pada asalnya hukum memberi susuan kepada bayi yang bukan anaknya sendiri adalah diharuskan. Namun semestinya bagi seorang isteri itu berbincang dengan suaminya. ini seperti yang disarankan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖوَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

(Surah al-Talaq, 6)

Berkenaan dengan kesan anak susuan kepada nasab hanya berkaitan dengan dua hukum asas seperti yang dinyatakan di atas iaitu:

  • Diharamkan berkahwin di antara mereka (ibu susuan dan bapa susuan serta keturunannya)
  • Dihalalkan anak susuan pada keharusan untuk melihat (apa yang diharamkan ajnabi) kepada ibu susuan dan keturunannya serta dihalalkan tinggal bersama.

(Lihat: al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e, 4/326)

Oleh itu, dengan penyusuan tidak memberi kesan kepada hal berkenaan hukum-hakam nasab yang lain seperti pembahagian harta pusaka, nafkah dan lain-lain. Ini seperti mana yang dinyatakan Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya:

“Tidak disabitkan ke atas hukum nasab kepada anak susuan seperti hukum pembahagian harta pusaka, nafkah, wali, hak penjagaan dan lain-lain yang bersangkutan dengan hukum-hakam nasab dan ia tidak termasuk di dalam hukum hakam penyusuan”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/327)

Selain itu, sebaiknya merekodkan bilangan penyusuan serta syarat-syaratnya sebagai insiatif bagi mengelak berlakunya percampuran nasab dan keturunan.

Rujuk juga artikel yang berkenaan dengan nya:

BAYAN LINNAS SIRI KE-70: ISU BERKENAAN IBU SUSUAN & PELBAGAI HUKUM (KAD ATAU SIJIL SUSUAN)

IRSYAD AL-FATWA KE-53: HUKUM PENYUSUAN ANAK ANGKAT OLEH GADIS

AL-KAFI #1260: HUKUM ISTERI MENGAMBIL IBU SUSUAN BAGI ANAK TANPA PENGETAHUAN SUAMI

AL-KAFI # 510: HUKUM BERKAITAN BANK SUSU

AL-KAFI #1311: HUKUM ABANG SUSUAN MENJADI WALI KEPADA ADIK SUSUANNYA

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam memahami agama-Nya seterusnya mengamalkannya dengan sebaik mungkin mengikut neraca syariah. Amiin.