SOALAN
Assalamualaikum Tuan Mufti. Saya ingin bertanya tentang hukum seorang muslim terlibat dalam poll (undian) di Facebook yang bertanyakan; “Kepada para penganut Islam, kalau anda ada peluang untuk tukar agama, anda akan pilih agama mana?”, dengan disertai dengan pilihan jawapan agama seperti Hindu, Kristian, Taoism dan lain-lain. Soalan saya, adakah ia dibolehkan atau dilarang?
Mohon pencerahan daripada Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT telah menjadikan agama Islam sebagai satu-satunya agama yang benar dan diredhai oleh-Nya. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّـهِ فَإِنَّ اللَّـهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.
(Surah Ali Imran: 19)
Ibn Kathir dalam menafsirkan bahawa di dalam ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa tiada agama yang diterima dan diakui disisi-NYA daripada seseorang itu selain daripada agama Islam, iaitu dengan mengikuti setiap daripada rasul yang diutuskan oleh Allah SWT setiap zaman yang sehinggalah diakhiri dengan Nabi Muhammad SAW. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 2:25)
Dalam satu ayat yang lain, Allah SWT menyatakan bahawa sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka ia tidak akan diterima oleh Allah SWT dan dia di hari Akhirat termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Allah SWT berfirman:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
(Surah Ali Imran: 85)
Berbalik kepada soalan yang ditanya berkaitan hukum seorang muslim terlibat dalam poll (undian) untuk pilihan menukar agama sekiranya berpeluang berbuat demikian, kami menyatakan dengan tegas bahawa perbuatan tersebut adalah haram sama sekali dari sudut syarak. Hal ini kerana ia seolah-olah menunjukkan keinginan seseorang itu untuk memeluk agama selain daripada agama Islam dan mempunyai keazaman untuk menjadi kufur.
Berkenaan hal ini, para ulama’ telah menyebutkan bahawa sesiapa yang berazam untuk menjadi kufur di masa yang akan datang, maka dia telah pun menjadi kufur pada ketika dia berazam tersebut. Imam Syihabuddin al-Ramli di dalam kitab Nihayat al-Muhtaj menyebut:
أَوْ عَزَمَ عَلَى الكُفْرِ غَدًا –مَثَلًا- أَوْ تَرَدَّدَ فِيهِ أَيَفْعَلَهُ أوْ لَا, كَفَرَ حَالًا لِمُنَافَاتِهِ الإسْلَامِ
Maksudnya: Atau, sekiranya dia berazam untuk menjadi kufur pada keesokan harinya –sebagai contoh-, atau dia masih dalam keadaan ragu-ragu untuk melakukannya ataupun tidak, maka ia telahpun melakukan kekufuran kerana penafiannya terhadap kebenaran Islam. (Rujuk Nihayat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj: 7:416)
Begitu juga dalam Hasyiah Jamal ‘ala Minhaj al-Tullab menyebutkan:
فَإِذَا عَزَمَ عَلَى الكُفْرِ كَفَرَ حَالًا بِخِلَافِ مَا عَزَمَ عَلَى فِعْلِ المُكَفِّرِ فَلَا يَكْفُرْ إِلَّا بِفِعْلِهِ
Maksudnya: Jika sekiranya seseorang itu berazam untuk kufur, maka dia telah menjadi kufur pada ketika tersebut serta-merta. Berbeza pula jika sekiranya dia berazam untuk melakukan perbuatan kufur, maka seseorang itu tidak menjadi kufur kecuali setelah dia melakukan perbuatan tersebut.(Rujuk Hasyiah Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 5:122)
Selain itu, Imam Badruddin al-Zarkasyi pula berkata dalam kitabnya al-Manthur:
لَوْ نَوَى قَطْعَ الإِسْلامِ كَفَرَ بِمُجَرَّدِ النِيَّةِ وَ كَذَا لَوْ عَزَمَ عَلَى الكُفْرِ غَدًا كَفَرَ فِي الحَالِ
Maksudnya: Jika sekiranya seseorang berniat untuk keluar daripada Islam, maka dia telah menjadi kufur hanya kerana dengan niat tersebut. Begitu juga, jika sekiranya dia berazam untuk menjadi kufur pada keesokan harinya, maka dia sudahpun menjadi kufur pada ketika dia berazam tersebut. (Rujuk al-Manthur lil Zarkasyi, 3:298)
Bahkan jika sekalipun dia berazam untuk menjadi kufur seratus tahun yang akan datang, ia turut menjadi kufur serta-merta. Ini seperti yang disebut oleh al-Tarabulisi bahawa:
إِذَا عَزَمَ عَلَى الكُفْرِ وَلَوْ بَعْدَ مِائَةِ سَنَةٍ يَكْفُرْ فِي الحَالِ
Maksudnya: Jika sekiranya seseorang itu berazam untuk menjadi kufur walaupun selepas seratus tahun, maka dia telah menjadi kufur secara serta-merta. (Rujuk Mu’in al-Hukkam, 1:165)
Oleh itu, sesiapa yang telah terlanjur melakukan perbuatan tersebut dengan terlibat dengan undian memilih agama untuk ditukar walaupun tanpa keazaman dan sekadar bermain-main, hendaklah dia segera beristighfar, bertaubat dan mengucapkan kembali dua kalimah syahadah, serta berazam untuk tidak mengulanginya di masa yang akan datang. Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّـهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّـهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
(Surah Ali Imran: 135)
Justeru itu, kami menasihati seluruh umat Islam supaya perkara ini janganlah diambil ringan dan dibuat main-main kerana ia melibatkan akidah kita sebagai seorang muslim yang mempunyai keimanan bahawa hanya agama Islam merupakan agama yang benar dan diredhai di sisi Allah SWT.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menegaskan sekali lagi bahawa hukum seorang muslim terlibat dalam poll (undian) berkaitan pilihan untuk menukar agama adalah haram sama sekali. Ini kerana, hal ini jelas bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 19 dan 89 yang menerangkan bahawa agama yang diredhai oleh Allah SWT hanyalah agama Islam dan larangan untuk umat Islam mencari agama selain daripada agama Islam.
Selain itu, orang Islam yang terlibat di dalam undian tersebut seolah-olah menunjukkan keazaman untuk menukar agama kepada agama yang dipilih dalam undian walaupun sekadar bermain-main. Hal ini boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kufur sepertimana yang sudah disebutkan di atas. Oleh itu, hendaklah dia bertaubat, mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengulangi perbuatannya tersebut.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang betul terhadap agama Islam dan memberi taufiq untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya. Amin.
WaAllahu a’lam.