اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1381 : SUKA MEMAKI HAMUN ORANG DI JALAN RAYA

af1381 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Apakah boleh saya maki hamun orang yang bawa kereta seperti tiada akal. Bawa kereta macam jalanraya dia punya, masuk lane orang lain tanpa beri isyarat. Kadang-kadang saya rasa geram dengan orang yang berperangai seperti ini. Adakah boleh saya ‘sound’ orang yang macam ini. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di antara tujuan Nabi SAW diutuskan adalah memperbaiki akhlak dan perangai serta menyempurnakannya agar ianya sejajar dengan perintah Allah SWT. Ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاَقِ

Maksudnya : “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak perangai yang baik.”

Riwayat Al-Baihaqi (7609) di dalam Syu’ab Al-Iman

Al-Tahawi menyebut bahwa makna hadis tersebut ialah Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk melengkapkan agama ini. Ini termasuk juga di dalam firman Allah SWT :

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Maksudnya : “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu..”

Perkataan أكملت di dalam ayat ini boleh difahami juga dengan maksud أتممت iaitu menyempurnakan. Maka sabda Nabi SAW “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak perangai yang baik” bermaksud aku diutuskan untuk menyempurnakan agama. (Rujuk Syarh Musykil Al-Athar, 11/262)

Ini bermakna akhlak yang sempurna merupakan sebahagian daripada ajaran agama. Jika seseorang berakhlak dan berperangai dengan perangai yang buruk maka ia menunjukkan kekurangan penghayatan di dalam agama.

Prof Falih Muhammad Bin Falih Al-Soghir, professor kuliah sunnah dan ulum di Universiti Imam Muhammad Bin Saud di Riyadh menyebut bahawa hadis ini menunjukkan di antara tujuan dakwah Nabi SAW adalah menyeru kepada akhlak yang mulia dan melakukan amalan yang terbaik.

Tambahan pula, akhlak yang baik merupakan terjemahan daripada iman yang berada di dalam hati. Bahkan akhlak yang baik adalah buah daripada amal ibadat yang dilakukan.

Nabi SAW pernah mengingatkan setiap orang muslim agar memelihara lidahnya daripada menyebutkan perkataan-perkataan yang buruk. Daripada Abu Hurairah, Abu Ayub Al-Ansari dan lain-lain bahawa Nabi SAW bersabda :

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَسْكُتْ

Maksudnya : “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka katakanlah yang baik ataupun hendaklah dia diam.”

Riwayat Al-Bukhari (6476) & Muslim (4610)

Sheikh Badruddin Al-‘Aini menyebut bahawa hadis ini merupakan satu penjelasan berkenaan dengan kewajipan menjaga lidah daripada bercakap perkara yang tidak harus di sisi syarak. Kebanyakan manusia diheret ke dalam neraka disebabkan oleh lidah-lidah mereka. Adapun kebenaran adalah wajib untuk mengatakannya. Tidak boleh diam pada perkara kebenaran. (Rujuk ‘Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari, 23/70).

Beliau berkata lagi bahawa di dalam hadis ini Nabi menyebut tentang beriman dengan Allah dan hari akhirat tanpa disebutkan rukun iman yang lain. Ini membawa makna sesiapa yang beriman dengan Allah dan beriman bahawa setiap apa yang dilakukan di dunia akan dibalas pada hari akhirat kelak sama ada balasan yang baik atau buruk. Jika dia beriman dengan dua perkara itu, maka dia tidak akan menyakiti jirannya, tidak akan berkata dengan perkataan yang buruk dan lain-lain. (Rujuk ‘Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhari, 22/110).

Inilah perintah Nabi SAW agar setiap muslim menjaga lidahnya daripada bercakap perkara yang tidak mendatangkan manfaat apatahlagi yang mendatangkan dosa. Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW pernah menjelaskan tentang sifat orang muslim. Iaitu mereka yang menjaga lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain. Nabi SAW bersabda :

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya : “ Orang muslim adalah yang menyelamatkan orang muslim yang lain daripada (keburukan) lidah dan tangannya.

Riwayat Al-Bukhari (6484) & Muslim (170,171,172)

Ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan pandangan dari Al-Khattabi tentang maksud hadis ini. Beliau menyebut yang dimaksudkan ialah sebaik-baik orang muslim adalah yang menjalankan tanggungjawab terhadap Allah dan pada masa yang sama menunaikan juga tanggungjawab sesama hamba. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 1/53).

Alangkah ruginya kita jika banyak melakukan amal ibadat akan tetapi banyak menghamburkan kata-kata yang buruk dan nista. Lidah boleh menambahkan pahala dan lidah juga boleh menghapuskan segala amalan yang kita lakukan.

Menjawab persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan seelok-eloknya tidak memaki hamun walaupun perbuatannya memandu kereta tanpa menghiraukan keselamatan orang lain adalah salah di sisi undang-undang. Ini kerana kita sebagai seorang muslim diajar untuk berkata dengan perkataan yang baik bukan perkataan yang kotor. Nabi SAW pernah bersabda :

مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya : “ Sesiapa yang boleh menjamin kepada aku (untuk menjaga) apa yang ada di antara dua rahangnya (lidah) dan juga di antara dua kakinya (kemaluan) maka aku akan jamin baginya syurga.”

Riwayat Al-Bukhari (6474)

Sheikh Mustafa Al-Bugha, Sheikh Mustafa Khin, Sheikh Muhyiddin Misto dan lain-lain lagi menyebut bahawa hadis ini memberi faedah agar menjaga lisan daripada menyebut perkara-perkara yang haram dan dilarang. Ianya boleh jadi sebab kita masuk ke dalam syurga dan diselamatkan daripada api neraka. (Rujuk Nuzhah Al-Muttaqin Syarh Riyadh Al-Salihin, 1/1036).

Jauhilah daripada menyebut atau menggunakan perkataan yang kasar. Berusaha untuk menasihati dengan cara yang baik. Ingatlah bahawa setiap apa yang kita ucapkan kesemuanya akan dicatitkan. Jika kita ucapkan perkara yang baik maka pahalalah bagi kita. Jika kita ucapkan perkara yang buruk dan kesat maka dosalah yang akan kita peroleh. Ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT :

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya : “ Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

(Surah Qof : 18)

Nabi SAW juga pernah mengingatkan di dalam sebuah hadis tentang kesan daripada kata-kata yang kita tuturkan. Nabi SAW pernah mengingatkan di dalam hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Muaz Bin Jabal ketika mana beliau bermusafir bersama Baginda Nabi SAW. Beliau berkata :

يَا رَسُولَ اللهِ ، أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ ، وَيُبَاعِدُنِي مِنَ النَّارِ ، قَالَ : لَقَدْ سَأَلْتَ عَظِيمًا ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ ، تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ ثُمَّ أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ النَّارَ الْمَاءُ ، وَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ ، ثُمَّ قَرَأَ {تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ} حَتَّى بَلَغَ {جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ}.

ثُمَّ قَالَ : أَلاَ أُخْبِرُكَ بِرَأْسِ الأَمْرِ ، وَعَمُودِهِ ، وَذُرْوَةِ سَنَامِهِ ؟ الْجِهَادُ ثُمَّ قَالَ : أَلاَ أُخْبِرُكَ بِمِلاَكِ ذَلِكَ كُلِّهِ ؟ قُلْتُ : بَلَى ، فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ ، فَقَالَ : تَكُفُّ عَلَيْكَ هَذَا قُلْتُ : يَا نَبِيَّ اللهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ ؟ قَالَ : ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا مُعَاذُ هَلْ يُكِبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ فِي النَّارِ ، إِلاَّ حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ ؟.

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, khabarkan kepada ku amalan yang membolehkan aku masuk ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka. Baginda bersabda : Engkau telah bertanya perkara yang penting. Ia amat mudah bagi mereka yang dipermudahkan oleh Allah. (Amalan tersebut ialah) menyembah Allah jangan syirikkan Dia dengan sesuatu, dirikan solat, tunaikan zakat, puasa di bulan Ramadhan dan pergi mengerjakan haji. Kemudian Baginda bersabda : Adakah mahu aku tunjukkan kepada engkau pintu-pintu kebaikan?. Puasa itu perisai, sedekah itu memadamkan dosa seperti mana api dipadamkan oleh air. Solat seorang lelaki di malam hari. Kemudian Baginda membaca ayat تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ sehingga sampai kepada ayat جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ}[1]. Kemudian Baginda bersabda lagi : Mahukah engkau kalau aku tunjukkan amal yang utama dan tiangnya?. Ia adalah jihad. Kemudian Baginda bersabda : Adakah mahu aku beritahu kepada engkau asas semua ini?. Aku (Muaz) berkata : Ya, aku mahu. Maka Nabi mengambil lidahnya seraya berkata : Tahanlah lidah ini. Aku berkata : Wahai Nabi, kami bertanggungjawab atas apa yang kami cakap. Nabi SAW bersabda :Malang sungguh, bukankah manusia diheret ke neraka disebabkan ucapan-ucapan buruk lidah mereka.?”

Riwayat Ibnu Majah (3973)

Oleh itu, cuba tahan diri daripada mengucapkan perkataan yang tidak elok walaupun sedang marah dengan perbuatan orang tersebut. Semoga Allah kurniakan kebaikan kepada kita semua. Wallahu’alam.                                                  

[1] Surah Al-Sajadah : 16-17