اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1415: HUKUM LEWAT HADIRI JUMAAT SEHINGGA HAMPIR KETINGGALAN MENDENGAR KHUTBAH

lewat hadiri jumaat.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum seseorang yang lewat datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat sehingga hampir ketinggalan khutbah jumaat? Mohon penjelasan dan nasihat.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Surah al-Jumu’ah (9)

Menurut Syeikh al-Sa’di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/863)

Maksud ‘فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ’ (segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah), para ulama mentafsirkannya dengan maksud segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat Jumaat selepasnya. (Lihat Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Ali al-Sobuni, 2/362)

Imam Syaukani pula menyatakan: Allah SWT memerintahkan di dalam kitab-Nya yang mulia supaya bersegera zikrullah. Dan khutbah adalah salah satu bentuk dari zikrullah. Sekiranya khutbah tidak termasuk dalam maksud zikrullah pun, maka khutbah itu hukumnya fardhu. (Lihat al-Sail al-Jarrar al-Mutadafiq 'ala Hadaiq al-Azhar hlm. 182)

Islam melarang segala bentuk aktiviti melalaikan apabila muazin telah mengumandangkan azan kedua berdasarkan firman Allah SWT di atas. Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan: “Haram bagi mereka yang wajib Jumaat menyibukkan diri dengan jual beli dan selainnya selepas muazzin mula mengumandangkan azan yang kedua di hadapan khatib. Allah berfirman:Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu)

Perkataan perintah dalam ayat tersebut menunjukkan kepada kewajiban, dalam konteks ini dengan cara meninggalkan jual beli, maka haram melakukannya. Diqiyaskan dengan jual beli, iaitu segala aktiviti yang telah kami jelaskan, kerana secara maknanya sama dengan jual beli dalam isu melalaikan Jumaat.” (Lihat Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Thalibin, 1/ 334)

Syeikh ‘Umairah pula menjelaskan: Ini memberi petunjuk kepadamu bahawa seseorang yang rumahnya sangat dekat dengan masjid jami’ dan dia meyakini dapat memperoleh Jumaat sekiranya dia menyusul di pertengahan khutbah, (tetap) haram baginya menetap di rumah kerana kesibukannya bersama keluarga atau lainnya, bahkan wajib baginya untuk bergegas menuju masjid jami’, kerana mengamalkan firman Allah SWT, “إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ...” (Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang)” (Lihat Hasyiyah Umairah ‘ala al-Mahalli, 1/ 334)

 

Kesimpulan

Perbuatan lewat menghadiri solat Jumaat sehingga ketinggalan khutbah Jumaat adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Allah SWT di dalam al-Quran. Walaubagaimanapun, solat Jumaatnya adalah sah namun perbuatan dengan sengaja meninggalkan kehadiran mendengar khutbah Jumaat adalah dikira berdosa.

Marilah sama-sama kita menginsafi untuk hadir ke masjid khususnya pada hari Jumaat, pada awal waktu semampu yang mungkin kerana fadilatnya yang besar. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah).”

Riwayat al-Bukhari (881) dan Muslim (850)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman yang tepat dalam mengamalkan titah perintah-Nya.