اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI 1421: SAMBUT MAULID DAN CINTA RASUL

cinta nabi saw.JPG

Soalan:

Apa pandangan ustaz mengenai fenomena menyambut Maulidur Rasul yang dipenuhi dengan nasyid, qasidah dan lain-lain seperti yang diamalkan sekarang?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama sekali, kita bersyukur kerana mutakhir ini kesedaran umat Islam untuk menganjurkan majlis-majlis memperingati Rasulullah SAW amat menakjubkan. Lebih-lebih lagi pada setiap 12 Rabi’ul Awwal, sambutan hari kelahiran Rasulullah SAW atau Maulidur Rasul diadakan dengan begitu meriah. Pelbagai program diadakan termasuk membaca qasidah, barzanji, bernasyid dan lain-lain. Namun begitu, seperkara yang perlu diperhatikan, sejauh mana program-program seperti ini boleh menjadi satu penghayatan bagi membuktikan ketulusan cinta kita terhadap Rasulullah SAW. Kita bimbang jika ia sekadar menjadi majlis bersuka ria semata-mata walaupun zahirnya diselang seli dengan ungkapan-ungkapan zikir yang mempesonakan halwa telinga.

Dalam hal ini, kita mengatakan tidak salah untuk mengagungkan Rasulullah SAW semahunya, selagi mana ia tidak melampaui batas sehingga berdusta atas nama Baginda SAW. Ini seperti mana kata-kata al-Busiri dalam Burdah-nya:

دع ما ادعته النصاري في نبيهم ... واحكم بما شئت مدحا فيه واحتكم

وانسب إلى ذاته ما شئت من شرف ... وانسب إلى قدرة ما شئت من عظم

فان فضل رسول الله ليس له ... حد فيعرب عنه ناطق بفم

Maksudnya: “Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hatimu. Kerana hakikatnya keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, sehingga mampu lidah mengungkapkannya secara sempurna”. Lihat Diwan al-Busiri, 241

Dalam pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, kita dituntut beriman sepenuhnya dengan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Keimanan itu pula hendaklah berada pertengahan antara golongan yang mendewakan para nabi dan rasul sehingga menganggap mereka sebagai tuhan yang disembah, dengan golongan yang mendustakan para nabi sehingga menolak adanya kenabian dan kerasulan. Kedua-dua fahaman yang melampau terhadap kenabian dan kerasulan ini tersasar daripada landasan wasatiyyah dan boleh membawa kepada ketergelinciran aqidah.

Justeru, amat wajar sekali kita memuhasabah diri, sejauh manakah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW benar-benar menepati maksud beriman kepada para nabi dan rasul. Dari segi aqidah, kita dijelaskan bahawa para nabi dan rasul juga adalah manusia biasa yang makan, berjalan ke pasar, berumah tangga dan beranak-pinak, pun begitu mereka adalah manusia-manusia istimewa yang dipilih Allah SWT, dikurniakan wahyu dan disokong dengan mukjizat. Lihat Fiqh al-Wasatiyyah al-Islamiyyah wa al-Tajdid, 34. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 11:

قَالَتْ لَهُمْ رُسُلُهُمْ إِن نَّحْنُ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَمُنُّ عَلَىٰ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَمَا كَانَ لَنَا أَن نَّأْتِيَكُم بِسُلْطَانٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: "Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurnia-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya; dan Kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri”.

Walaupun mereka adalah manusia biasa, para nabi seperti Rasulullah SAW memiliki kelebihan yang tidak dimiliki oleh manusia lain, seumpama keturunan yang mulia, penghulu segala kejadian, kecantikan paras rupa, kekuatan rohani dan jasmani, keluhuran akhlak dan lain-lain sebagaimana yang termaktub dalam kitab-kitab sunnah dan sirah seperti al-Syama'il al-Muhammadiyyah karangan al-Tirmizi dan al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Mubarakfuri.

Dalam konteks kecintaan terhadap nabi kita Muhammad SAW, manhaj wasatiyyah mengambil pendekatan mengutamakan penegakan risalah dan sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW berbanding sekadar mengagung-agungkan jasad dan keturunan Baginda SAW. Adalah tidak salah untuk memuji dan mengenang Rasulullah SAW dengan membaca pelbagai qasidah dan syair berkenaan jasad dan keturunan Baginda SAW, namun apa yang lebih penting adalah melaksanakan risalah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)”.

Demikian juga firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 157:

فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Ia juga merupakan wasiat Rasulullah SAW supaya kita berpegang teguh dengan sunnahnya. Sabda Rasulullah SAW:

أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ، تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Maksudnya: “Saya wasiatkan kepada kalian agar bertaqwa kepada Allah SWT, taat dan tunduk kepada-Nya, walaupun yang menyampaikannya hanyalah seorang hamba habsyi. Dan sesungguhnya, barang siapa di antara kalian yang akan hidup sepeninggalku akan mendapati perselisihan yang banyak, maka berpeganglah dengan sunnah-ku dan sunnah para Khulafa' Rasyidin yang telah mendapat petunjuk, berpegang eratlah dengannya. Dan berwaspadalah kalian daripada setiap perkara yang diada-adakan,kesemuanya itu adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah sesat”. (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Darimi, Abu Daud, Ibn Majah, al-Tirmizi, Ibn Hibban dan al-Hakim. Al-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan sahih)

Dalam hal ini, kami mengambil kesempatan memberi teguran ke atas segelintir golongan yang mengaku pencinta Rasulullah SAW. Namun, kecintaan itu dilihat tidak diseimbangkan antara cinta kepada jasad Baginda dengan cinta kepada sunnah Baginda. Hal ini dibimbangi akan membawa kepada ketidakseimbangan dalam penghayatan syariah. Sebagai contoh, terdapat sesetengah orang yang bersemangat dalam menghadiri majlis-majlis maulid Nabi SAW dengan membaca qasidah atau syair atau nasyid dan sebagainya, tetapi apabila dilihat pada gaya hidupnya, masih tidak menghayati syariat yang diwariskan oleh Rasulullah SAW seperti mengabaikan solat berjemaah, mendedahkan aurat, pecah amanah, mengamalkan rasuah, makan riba', melakukan syirik, percaya kepada perkara khurafat dan pelbagai lagi. Semua ini akan mencacatkan kecintaan kita kepada Nabi SAW kerana ia bukan berlandaskan kepada kefahaman tetapi lebih kepada emosi semata-mata.

Akhirnya, kami nukilkan nasihat al-Marhum Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi yang amat baik untuk diamati. Beliau menegaskan apa yang penting dalam menyambut maulid adalah kita melaksanakan apa yang disukai oleh empunya maulid dan pencipta empunya maulid serta berpegang teguh kepada manhaj yang dibawa oleh Nabi SAW. Sesungguhnya Islam tidaklah berhajat untuk dipakaikan dengan hiasan-hiasan yang menarik, kerana itu hanyalah syahwat yang bisa menipu manusia. Hiasan dan tarikan itu mungkin sesuai untuk menjadi perhatian buat anak-anak kecil yang belum mengenali apa itu manhaj. Namun, apabila dewasa ia tidak lagi sesuai kerana akal fitrah manusia perlu ditanam dengan manhaj tanpa dikelabui oleh syahwat yang memperdayakan. Rujuk Fatawa al-Sya'rawi berkenaan maulid, 601.

Oleh itu, cinta kepada Rasulullah SAW hendaklah disemai dan dibajai dengan cinta kepada sunnah atau risalah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW, bukan sekadar cinta kepada jasad dan keturunan Baginda. Ini kerana cinta kepada Nabi SAW adalah cabang kepada cinta kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Ali 'Imran ayat 31:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. Wallahu a’lam.