اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1432 : TERLUPA BASUH TANGAN KETIKA WUDUK; ADAKAH WAJIB ULANG SEMULA?

af1432 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt,

Tuan saya ingin bertanya. Waktu ambil wuduk tengah sapu telinga teringat dah sapu lengan ke belum? Adakah perlu ulang dari awal atau boleh terus sapu lengan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam Wrm. Wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Soalan di atas sebenarnya berkaitan dengan Rukun Tertib dalam tatacara wuduk. Secara asas, melaksanakan rukun-rukun wuduk secara tertib, atau mengikut susunan tertentu, adalah kewajiban dalam wuduk. Jika seseorang itu gagal menurutinya maka wuduknya adalah tidak sah. Ini berdalilkan firman Allah ﷻ:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali;”

(Surah al-Maidah: 6)

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili: “Maka ayat ini memberitahu bahawa fardhu-fardhu wuduk itu adalah tersusun, dimasukkan sapuan (yakni sapu kepala) antara dua basuhan, lalu menunjukkan tujuan (Syarak) untuk mewajibkan tertib, dan kerana dilaksanakan Nabisebegitu caranya, sesungguhnya Baginda tidak pernah berwuduk melainkan dalam keadaan tertib, seperti mana yang datang dalam ayat itu, dan seperti mana yang disabdakan ketika haji wida’:

ابْدَؤُوا بِمَا بَدَأَ اللهُ بِهِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu mulakan dengan apa yang Allah mulakan dengannya.”

Riwayat al-Nasaie (3968)

Hadis ini diambil ibrah (hukum) daripada keumuman lafaznya. Justeru jika ditinggalkan tertib secara sengaja maka tidak sah wudhuknya.”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/81-82)

Namun begitu, perbuatan sedikit atau banyak, sekejap atau lama, yang berlaku di antara-antara fardhu-fardhu wuduk tidak membatalkan wuduk itu secara keseluruhan. Ini dibincangkan dalam perkara-perkara sunat dalam wuduk yakni al-muwalah atau berturut-turut. Disebut dalam kitab al-Mu`tamad (1/81-82):

“al-Muwalat itu ialah berturut-turut antara perbuatan-perbuatan wuduk, dari segi tidak berlaku antara keduanya apa yang dianggap sebagai pemisah pada pandangan uruf, yakni dengan kadar yang boleh mengeringkan air pada anggota wuduk dengan cuaca yang sederhana. Berturut-turut dalam wuduk adalah digalakkan kerana mengikut Sunnah Nabi ketika berwuduk. Al-tafriq (perkara-perkara yang menyelangi) yang sedikit, atau tidak ketara, antara anggota wuduk tidak memudaratkan, berdasarkan ijmal, dan tidak membatalkan wuduk (mengikut mazhab Syafie) dengan tafriq yang banyak, kerana wuduk adalah ibadah yang tidak batal dengan tafriq yang sedikit mahupun banyak seperti pembahagian zakat, amalan-amalan dalam haji (tidak seperti solat yang batal dengan perbuatan yang banyak, dengan sengaja dan tanpa keperluan). Ini juga kerana Allah memerintahkan membasuh anggota-anggota wuduk tanpa mewajibkan berturut-turut. Nafi` (bekas hamba Ibn Umar) meriwayatkan: “bahawa Ibn Umar (R.Anhuma) berwuduk dalam sebuah pasar. Dia membasuh muka, kedua-dua tangannya dan menyapu kepalanya, kemudian dia mendapat seruan untuk solat jenazah. Lalu dia masuk ke dalam masjid, kemudian menyapu khufnya setelah air wuduknya tadi sudah kering lalu dia bersolat. [Riwayat al-Baihaqi (397) dengan sanad yang sahih]”. Ibn Umar melakukan perkara itu dengan kehadiran orang yang menguruskan jenazah dan tiada siapa yang mengingkari beliau. Begitu juga jika tafriq itu lama sekalipun kerana suatu uzur maka tidak memudaratkan jua.”

Perkara ini dihuraikan dengan lebih terperinci oleh Imam al-Nawawi:

إذَا تَوَضَّأَ مُنَكِّسًا فَبَدَأَ بِرِجْلَيْهِ ثُمَّ رَأْسِهِ ثُمَّ يَدَيْهِ ثُمَّ وَجْهِهِ لَمْ يَحْصُلْ لَهُ إلَّا الْوَجْهُ إنْ قَارَنَتْهُ النِّيَّةُ فَإِنْ تَوَضَّأَ منكسا ثانيا وثالثا ورابعا ثم وضؤه وَلَوْ تَوَضَّأَ وَنَسِيَ أَحَدَ أَعْضَائِهِ وَلَمْ يَعْرِفْهُ اسْتَأْنَفَ الْوُضُوءَ لِاحْتِمَالِ أَنَّهُ الْوَجْهُ وَلَوْ تَرَكَ مَوْضِعًا مِنْ وَجْهِهِ غَسَلَ ذَلِكَ الْمَوْضِعَ وَأَعَادَ مَا بَعْدَ الْوَجْهِ فَإِنْ لَمْ يَعْرِفْ مَوْضِعَهُ اسْتَأْنَفَ الْجَمِيعَ

Maksudnya: “Jika seseorang berwuduk secara terbalik, yakni dia memulakan dengan (membasuh) dua-dua kakinya, kemudian (menyapu) kepalanya, kemudian dua-dua tangannya, kemudian mukanya, maka tidak berhasil (tidak sah fardhu-fardhunya) melainkan mukanya sahaja jika dia menyertakan niat ketika membasuh muka. Jika dia berwuduk secara terbalik dua, tiga dan empat kali, maka sempurnalah wuduknya. Jika dia berwuduk dan terlupa salah satu daripada anggota wuduk dalam keadaan dia tidak ingat bahagian mana, maka hendaklah diulangi semula wuduk (daripada awal).”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (1/448)

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami menyimpulkan seperti berikut:

  • Mengambil wuduk dengan menyapu air di lengan adalah tidak memadai. Wajib membasuh anggota wuduk seumpama lengan dengan mengalirkan air ke atasnya sehingga meliputi kawasan yang wajib dibasuh. Perbezaan antara “basuh” dan “sapu” ialah basuh mewajibkan air yang mengalir sedangkan sapu memadai dengan sapuan dengan tapak tangan yang basah atau lembab dengan air sekalipun tidak mengalir dengan syarat berpindah air itu ke ke sebahagian rambut atau kepala. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (1/410)
  • Sekiranya seseorang yang sedang menyapu telinga teringat ataupun syak sama ada di sudah basuh lengan atau belum, sedangkan tiada bukti seperti kebasahan pada lengannya, maka dia tidak wajib memulakan semula wuduknya daripada muka, sebaliknya hanya perlu membasuh lengan dan tangannya yang wajib dibasuh, kemudian mengulangi semula sapuan kepala dan seterusnya.
  • Seseorang itu tidak perlu mengulang daripada awal kerana kesilapan tersebut. Ini kerana:
    • Pertama, ia tidak membatalkan Rukun Tertib.
    • Kedua, berturut-turut antara anggota wuduk atau al-muwalah juga adalah sunat wuduk dan bukan wajib. Jika seseorang meninggalkannya maka tidak merosakkan kesahihan wuduk apatahlagi jika dilakukan kerana terlupa.
    • Ketiga, perbuatan yang banyak dan masa yang lama, yang berlaku antara fardhu-fardhu wuduk tidak membatalkan secara mutlak wuduk tersebut.

Wallahua’lam.

Semoga penjelasan di atas memberikan manfaat kepada kita semua.