اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1444: BOLEHKAH MELANGSAIKAN FIDYAH DENGAN MEMBAYARNYA KEPADA ADIK SENDIRI

ak1444

Soalan

Assalamualaikum Dato’. Saya ada seorang adik yang susah kerana suaminya tidak dapat bekerja atas faktor kesihatan. Adakah boleh sekiranya saya ingin memberi atau membayar fidyah puasa saya kepada adik saya yang susah itu?

Jawapan

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Fidyah

Hukum membayar fidyah adalah diwajibkan ke atas individu yang melakukan perkara yang dikenakan fidyah. Syeikh Hasan al-Khaf menyatakan di dalam kitabnya bahawa terdapat dua perkara yang dikenakan findyah di antara adalah tidak menggantikan puasa Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang akan datang tanpa mengalami keuzuran. (Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 456)

Firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

(Surah al-Baqarah, 184)

Kewajipan membayar fidyah, nazar umum, kaffarah dan sedekah yang wajib (zakat) pembayarannya berpandukan cara pembayaran zakat. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 3/1744)

Kadar Membayar Fidyah

Kadar bayaran fidyah yang dikenakan adalah seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:

“Kadar fidyah yang perlu dibayar adalah sebanyak satu Mud bersamaan satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkannya daripada makanan kebiasaan masyarakat sesebuah negara”. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 3/1744)

Begitu juga apa yang terdapat di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan mengikut mazhab Malikiyyah dan Syafi’eyyah kadar fidyah adalah satu Mud bagi setiap hari. (Lihat: al-Mausua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/67)

Dan sekiranya seseorang itu lambat menggantikan puasanya sehingga tiba ramadhan berikutnya maka ia dikenakan fidyah dan bilangan mengikut tahun yang ditinggalkan. Ini seperti yang dinyatakan Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:

“Dan mengikut pandangan yang asoh Mazhab Syafi’e menggandakan kiraan membayar fidyah dengan gandaan tahun yang ditiggalkan. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 3/1746)

Mengikut kadar fidyah yang ditetapkan oleh PPZ MAIWP:

Berdasarkan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-102 Pada 30 Mei 2017 yang telah membincangkan tentang penambahbaikan pelaksanaan fidyah dan kaffarah di Bahagian baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kadar bayaran fidyah adalah sebanyak RM4.00[1] bersamaan dengan satu Mud.

Pengagihan Fidyah

Pengagihan Fidyah hanya dikhususkan kepada golongan fakir dan miskin sahaja. Firman Allah SWT:

يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

(Surah al-Baqarah, 184)

Berkenaan dengan pengagihan fidyah, ia juga berdasarkan hukum pengagihan zakat, kaffarah dan nazar umum, oleh itu seseorang itu tidak boleh membayar fidyah kepada orang yang di bawah tanggungannya. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan:

“Sesungguhnya sesiapa yang diwajibkan ke atasnya membayar zakat, tidak sah sekiranya ia menunaikan zakat dengan memberikan zakat kepada sesiapa yang di bawah tanggungan nafkahnya. Sama ada Ia daripada Isteri, Usul dan Furu’nya walaupun keadaan mereka itu fakir atau miskin.”

Selain itu, pemberian zakat kepada saudara-mara yang bukan di bawah tanggungannya adalah diharuskan. Ini seperti mana yang disebut di dalam al-Fiqh al-Manhaji:

“Dan sekiranya pemilik harta yang diwajibkan mengeluarkan zakat, ingin menunaikan zakatnya kepada saudara yang bukan di bawah tanggungannya seperti saudara lelaki dan perempuan, bapa dan ibu saudara sebelah bapa, bapa dan ibu saudara sebelah ibu serta anak-anak mereka (anak saudara) dan lain-lainnya. Dan mereka ini termasuk di dalam golongan fakir dan miskin atau termasuk di dalam golongan asnaf zakat, maka diharuskan untuk membayar zakat kepada mereka.”

(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/65-66)

Imam Syafi’e di dalam kitabnya menyatakan tidak boleh memberi makanan (melangsaikan kaffarah perjanjian) kepada orang yang dibawah tanggungan nafkahnya, kemudian ia mengetahuinya (bahawa perkara itu tidak dibolehkan) maka wajib diulanginya. (Lihat: al-Umm li al-Syafi’e, 7/68)

Imam al-Syirazi di dalam kitabnya menyatakan tidak diharuskan seseorang itu untuk membayar kepada kaum kerabat dan isterinya yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Ini kerana mereka tidak memerlukan kepadanya (zakat) dan mereka mendapatkan keperluan itu daripada nafkah yang wajib diberikan kepada mereka. (Lihat: al-Muhazzab li al-Syirazi, 1/320)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas dan penelitian pandangan serta dalil yang diberikan dapat disimpulkan bahawa:

  • Sekiranya membayar fidyah atau zakat kepada kaum kerabat dibawah tanggungan nafkah seperti, ibu, bapa dan ke atas atau anak, cucu dan ke bawah adalah tidak sah memberi fidyah dan zakat kepada mereka dan diwajibkan membayarnya semula.
  • Dan sekiranya menunaikan fidyah atau zakat dengan membayar kepada kaum kerabat yang bukan dibawah tanggungannya seperti adik beradik, ibu dan bapa saudara, dan selainnya maka harus memberi fidyah dan zakat kepada mereka. Dan hal ini adalah lebih afdhal dan diutamakan.

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir R.A, Nabi SAW telah bersabda:

‏الصَّدَقَة عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةْ، وَعَلَى ذِي الْرحم ثنتان‏:‏ صَدَقَةْ وَصِلَةْ

Maksudnya: “Zakat kepada orang miskin adalah dikira zakat, dan kepada saudara mara dikira dua kelebihan, iaitu zakat dan silaturrahim.”

Riwayat al-Nasai’e (2582) dan Ibn Majah (1844)

Berbalik kepada persoalan di atas, menunaikan fidyah dengan membayar kepada adik yang fakir atau miskin adalah dibenarkan. Ini kerana adik bukanlah daripada kaum kerabat dibawah tanggungan nafkahnya.

Namun, suka kami tegaskan bahawa fidyah hendaklah dibayar kepada amil yang dilantik oleh pihak berkuasa seperti PPZ Wilayah persekutuan. Ini kerana, di sana terdapat bahagian yang boleh dituntut untuk pengagihan sendiri.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya mengamalkan syariahnya dengan sebaik mungkin.

 

[1] https://www.zakat.com.my/info-zakat/fidyah/