اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1460 : BENARKAH ZIKIR SEMASA RUKUK DAN SUJUD ADALAH WAJIB?

 

af1460 compressed

Soalan:

Adakah batal solat jika seseorang itu tidak membaca zikir semasa rukuk dan sujud?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Di dalam mazhab Syafie, hukum membaca zikir semasa rukuk dan sujud adalah sunat hai’ah. Hukum meninggalkan sunat hai’ah tidaklah berdosa dan tidaklah menyebabkan seseorang itu perlu menampungnya dengan sujud sahwi, seperti halnya pada meninggalkan sunat ab`adh. Justeru, solat seseorang yang meninggalkan zikir ketika rukuk dan sujud tidak membatalkan solat. Ia juga bukan perkara rukun atau fardu yang menyebabkan solat seseorang itu tidak sah jika ditinggalkan. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/154-155).

Ini berdasarkan hadis Rasulullah ﷺ daripada Abdullah bin Mas’ud RA:

إِذَا رَكَعَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَذَلِكَ أَدْنَاهُ وَإِذَا سَجَدَ فَلْيَقُلْ سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى ثَلاَثًا وَذَلِكَ أَدْنَاهُ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian rukuk maka ucapkanlah tiga kali Subhana rabbiyal a`zhim dan itulah sekurang-kurang ucapannya. Jika dia sujud maka ucaplah Subhana rabbiyal a`la sebanyak tiga kali dan itulah sekurang-kurang ucapannya.”

Riwayat Abu Daud (886)

Berkata Imam al-Nawawi dalam Majmu’ Syarh al-Muhadzdab (3/411-414):

“Makna daripada wa dzalika adnahu ialah sekurang-kurang ucapan pada nisbah itu adalah kamal al-fard (perkara kesempurnaan rukun) dan ikhtiyar (perkara sunat yang utama dilaksanakan) bukan kesempurnaan rukun semata-mata.”

“Semua itu (bacaan zikir semasa rukuk, sujud, i`tidal, dan takbir perpindahan) ialah sunat dan bukan wajib sekalipun seseorang meninggalkannya maka tidak berdosa dan solatnya sahih, sama ada ditinggalkan kerana sengaja atau lupa, tetapi makruh meninggalkannya secara sengaja. Itulah mazhab kami, dan pendapat malik, Abu Hanifah dan majoriti ulama.”

“berkata Ahmad: tasbih dalam rukuk, sujud dan ucapan Sami’a Allahu li man hamidah dan Rabbana wa laka al-hamd, bacaan antara dua sujud dan sekalian takbir adalah wajib, jika dia meninggalkan satu daripadanya secara sengaja maka batal solatnya, jika lupa maka tidak batal dan sujud sahwi untuk menggantikannya.”

Berkata Imam al-Imrani dalam al-Bayan fi al-Fiqh al-Syafie (2/211):

“dan tidak wajib bertasbih dalam rukuk dan sujud, inilah pendapat kebanyakan ahli ilmu. Sebahagian ahli zahir berkata: “hukum bertasbih dalam kedua-duanya adalah wajib.”

Berkata al-Imrani, hujah mazhab al-Syafie ialah firman Allah ﷻ:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ۩

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

(Surah al-Hajj:77)

Menurut beliau, ayat di atas tidak menyebut tasbih yang akan merosakkan solat tanpanya, dan Nabi ﷺ tidak menyuruh bertasbih dalam kedua-duanya.

Berlainan halnya dalam mazhab Hanbali. Di sisi mereka, membaca tasbih semasa rukuk dan sujud adalah perkara yang wajib, tetapi bukan rukun atau fardu. Menurut istilah mereka, perkara wajib dalam solat ialah perkara yang jika ditinggalkan secara sengaja akan membatalkan solat, tetapi jika ditinggalkan kerana lupa atau jahil, maka diwajibkan untuk ditampung dengan sujud sahwi. Rujuk Kasysyaf al-Qina’ (1/390) oleh Imam al-Buhuti.

Mereka berdalilkan hadis berikut. Daripada Uqbah bin `Amir al-juhani berkata: bahawa apabila turun ayat ‏{فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ} maka bersabda kepada kami Rasulullah ﷺ:

اجْعَلُوهَا فِي رُكُوعِكُمْ

Maksudnya: “hendaklah kalian baca demikian ketika rukuk.”

Apabila turun ayat ‏{سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى}‏maka sabda kepada kami Rasulullah ﷺ:

‏ اجْعَلُوهَا فِي سُجُودِكُمْ ‏

Maksudnya: “hendaklah kalian baca demikian ketika sujud.”

Riwayat Abu Daud (887)

Berkata Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi: “dan memadai tasbih sekali sahaja, kerana Nabimemerintahkan dengan tasbih daripada hadis `Uqbah dan tidak menyebut bilangan maka menunjukkan bahawa cukup dengan sekurang-kurang sekali.”

Rujuk al-Mughni (1/297)

Berdasarkan fakta keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum bertasbih ketika rukuk dan sujud adalah sunat di sisi mazhab Syafie, dan tidak wajib, tetapi makruh jika ditinggalkan secara sengaja. Manakala dalam mazhab Hanbali, hukumnya adalah wajib, tetapi bukan rukun. Justeru, sekiranya seseorang meninggalkannya kerana sengaja maka batal solatnya, adapun jika kerana terlupa maka tidak membatalkan solat dan hendaklah sujud sahwi.

Semoga Allah ﷻ memberikan kita hidayah dan taufiq untuk memperbaiki amalan kita.