اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1467 : HUKUM MELAKUKAN UPACARA TOLAK HUJAN

AK1467

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya ingin bertanya berkenaan hukum melakukan upacara tolak hujan yang ada dijalankan di beberapa tempat. Adakah ini dibolehkan di sisi syarak ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pertama sekali, kita perlu jelaskan terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan upacara tolak hujan tersebut. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur disebutkan :

الحُكْمُ عَلَى الشَّيء فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya : Menjatuhkan hukum ke atas sesuatu merupakan suatu cabang dari mendapatkan gambaran menyeluruh tentangnya (perkara tersebut).

Hujan merupakan sebahagian dari rahmat Allah S.W.T yang diturunkan kepada para hamba-Nya. Terdapat beberapa petunjuk dari Rasulullah S.A.W yang diajarkan kepada umat baginda apabila turunnya hujan. Antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Umm Al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W apabila hujan turun baginda membaca :

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَيِّبًا نَافِعًا

Maksudnya : Ya Allah, jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat.

Riwayat Al-Nasa’ie (1523)

Manakala apabila hujan telah selesai turun, kita disunatkan untuk membaca :

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ

Maksudnya : Kami telah diturunkan hujan dengan kelebihan dan rahmat dari Allah.

Riwayat Muslim (71)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, sekiranya yang dimaksudkan dengan hal tersebut adalah doa yang dibacakan dengan tujuan untuk meredakan hujan lebat yang turun secara berterusan, maka perbuatan sebegini ada perbahasannya di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata :

بَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَسْقِيَنَا‏.‏ فَتَغَيَّمَتِ السَّمَاءُ وَمُطِرْنَا، حَتَّى مَا كَادَ الرَّجُلُ يَصِلُ إِلَى مَنْزِلِهِ، فَلَمْ تَزَلْ تُمْطَرُ إِلَى الْجُمُعَةِ الْمُقْبِلَةِ، فَقَامَ ذَلِكَ الرَّجُلُ أَوْ غَيْرُهُ فَقَالَ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَصْرِفَهُ عَنَّا، فَقَدْ غَرِقْنَا‏.‏ فَقَالَ ‏اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا فَجَعَلَ السَّحَابُ يَتَقَطَّعُ حَوْلَ الْمَدِينَةِ، وَلاَ يُمْطِرُ أَهْلَ الْمَدِينَةِ

Maksudnya : Ketika Nabi S.A.W sedang menyampaikan khutbah pada hari Jumaat maka berdirilah seorang lelaki lalu berkata : Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami. (Maka Rasulullah pun berdoa kepada Allah). Kemudian langit pun menjadi gelap gelita dan hujan turun. Sehinggalah apabila lelaki tersebut sampai ke rumahnya, maka hujan tetap turun secara berterusan sehinggalah pada hari Jumaat yang berikutnya. Maka lelaki tersebut atau selainnya sekali lagi bangun lalu berkata : (Wahai Rasulullah) berdoalah kepada Allah agar Dia mengalihkan hujan dari kamu kerana sesungguhnya kami telah tenggelam (disebabkan hujan lebat yang berterusan). Lalu kata Nabi S.A.W : Ya Allah, turunkan lah ke kawasan sekitar kami dan janganlah Kau turunkan ia ke atas kami. Maka awan pun berpecah-pecah di kawasan sekitar Madinah, dan tidak diturunkan hujan kepada penduduk Madinah.

Riwayat Al-Bukhari (6432)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa sekiranya yang dimaksudkan dengan menolak hujan itu adalah dengan cara berdoa maka hukum membaca doa untuk mengalihkan hujan seperti ini adalah dibolehkan. Ini mengambil kira sekiranya hujan tersebut turun dalam keadaan lebat serta berterusan dalam tempoh masa yang panjang. Yang membawa kepada implikasi rosaknya tumbuh-tumbuhan dan tanaman, jalanan menjadi banjir, serta membawa kesulitan atau kemudharatan kepada orang ramai.

Meskipun begitu, sekiranya yang dimaksudkan dengan upacara tolak hujan tersebut adalah dengan cara melakukan ritual tertentu seperti yang dilakukan oleh masyarakat dan adat tertentu dengan cara memacakkan penyapu dan menghalakan ia ke langit, atau mencampakkan pakaian pengantin ke atas atap, dan selainnya, maka kesemuanya ini adalah amalan khurafat yang HARAM hukumnya lagi bercanggahan dengan ajaran Islam. Justeru, kami menasihati kepada seluruh umat Islam agar menjauhi perkara-perkara seperti ini dan beramallah dengan amalan yang bertepatan dengan petunjuk Islam yang suci lagi murni.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar pencerahan ini memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.