اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1472: HUKUM MENGGUNAKAN WANG PUSAKA BAGI MEMBIAYAI KOS PENGURUSAN HARTA PUSAKA

alkafi1472

 

Soalan

Assalamualaikum W.B.T

Kos menguruskan pusaka seperti kos untuk mendapatkan laporan doktor dan sebagainya. Adakah boleh diambil dari harta pusaka? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah S.W.T atas segala nikmat yang telah dicurahkan kepada kita. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Kiamat.

Pada dasarnya, pengurusan harta pusaka termasuk dalam empat kewajipan yang perlu ditunaikan sementelah seseorang itu meninggal dunia. Pengurusan harta pusaka ini merupakan pengurusan lebihan harta yang ditinggalkan oleh si mati setelah dibiayai kos pengurusan jenazahnya terlebih dahulu, kemudian dilangsaikan hutang-hutangnya dan seterusnya dipenuhi wasiatnya jika ada. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 16/49-53].

Ibnu Mulaqqin juga berkata:

يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه إن لم يتعلق بعينها حق، ثم بدين الله، ثم بدين الآدمي، ثم بالوصايا من ثلث الباقي، ثم يقسم الباقي بين الورثة.

Maksudnya: “Urusan peninggalan si mati dimulakan dengan pembiayaan pengurusan jenazahnya, kemudian hutangnya dengan Allah S.W.T (nazar, kafarah, dll) kemudian hutangnya terhadap manusia, kemudian ditunaikan wasiatnya 1/3 dan akhirnya dibahagikan baki harta tersebut dalam kalangan ahli waris yang layak”. [Lihat: al-Tazkirah fi al-Fiqh al-Syafi’I; m/s 86].

Pengurusan harta pusaka bukanlah suatu hal yang tidak perlu diambil peduli bahkan ia perlu dilaksanakan dengan sesegera mungkin bagi mengelakkan dari terjadinya hal-hal yang lebih rumit seperti bilangan waris bertambah disebabkan ada kematian yang berlapis, harta tidak terurus dan terbiar, juga kehilangan dokumen-dokumen penting antaranya sijil kematian, surat perjanjian, dokumen hak milik, perjanjian jual beli dan sebagainya.

Maka, dalam hal menguruskan harta pusaka si mati, banyak kos dan juga perbelanjaan yang perlu dikeluarkan demi mendapatkan bahagian dari harta pusaka tersebut. Akan tetapi, isu timbul apabila tiada wang yang diperuntukkan atau disediakan oleh ahli waris untuk membayar kos pengurusan harta pusaka ini. Seperti contoh, Amanah Raya Berhad mengenakan fi sebanyak 5% bagi RM25,000 yang pertama untuk kerja-kerja yang dijalankan oleh Amanah Raya sebagai pentadbir kepada harta pusaka simati yang melibatkan tugas-tugas pendaftaran aset dan waris-waris, penyiasatan aset dan waris, pengesahan aset dan liabiliti dan pembahagian harta pusaka kepada waris-waris. Contoh kedua, pihak hospital mengenakan cas sebanyak RM40 bagi satu laporan perubatan bagi si mati. Dan juga contoh-contoh lain yang terikat bersama pengurusan harta pusaka. Kesemua perkara ini mestilah dijelaskan terlebih dahulu sebelum dibahagikan harta pusaka tersebut kepada ahli waris yang berhak. Jika harta pusaka ini tidak diagihkan juga, maka hilanglah hak-hak waris yang lain terhadap harta tersebut khususnya bagi anak-anak dan isteri si mati di samping harta tersebut akan disalurkan ke baitulmal ataupun Akta Wang Tak Dituntut. Dan yang lebih utama, kewajipan yang terakhir bagi pengurusan harta pusaka tidak terlaksana. Justeru itu, waris-waris si mati perlulah bersepakat mengambil harta pusaka bagi membiayai kos pengurusan harta pusaka si mati dan juga bagi melaksanakan kewajipan yang terakhir ini.

Ini bertepatan dengan kaedah Usul Fiqh:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya: Sesuatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, maka ia wajib. / Sesuatu perkara akan menjadi wajib apabila melalui wasilahnya sahaja objektif hukum (wajib) boleh tercapai.

Kaedah ini merupakan salah satu kaedah Usuliyyah. Ulama’-ulama’ Usul menyatakannya sebagai ‘muqaddimah’ wajib atau permulaan kepada wajib. [Lihat: Ma’lamah Zayid; 27/429-431]. Maka, di sini, pengagihan harta pusaka adalah perkara yang wajib, ia tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan adanya urusan pengagihan yang dijalankan atau diuruskan oleh badan-badan atau seseorang seperti Mahkamah Tinggi atau Amanah Raya dan sebagainya, kemudian urusan ini memerlukan kepada kos dan juga perbelanjaan. Justeru itu, membiayai kos pengurusan harta pusaka adalah wajib bagi melicinkan urusan pengagihan harta pusaka kepada waris-waris yang berhak. Oleh kerana itu, harta pusaka boleh digunakan untuk membiayainya dengan persetujuan para waris.

Sebagai contoh dalam kehidupan realiti, sepertimana prosedur yang dijalankan dalam badan Amanah Raya Berhad (ARB), mereka mengenakan caj fi bagi pengurusan harta pusaka si mati, dan harta peninggalan tersebut akan ditangguhkan atau ditunda pengurusannya jika tidak diselesaikan caj fi yang dikenakan. Maka, secara tidak langsung ia memberi kesan kepada para waris untuk menggunakan harta peninggalan si mati (yang telah beku dalam simpanan) untuk kegunaan mereka dalam kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi, kepada isteri dan juga anak-anak si mati yang lebih memerlukan harta tersebut bagi menampung perbelanjaan harian mereka. Justeru itu, waris-waris perlulah saling membantu membiayainya, dan jika tidak mampu, waris boleh meminta agar pihak Amanah Raya menolak caj perkhidmatan dari harta pusaka tersebut. Penggunaan harta pusaka bagi tujuan pengurusan harta tersebut (dicairkan, difailkan, diagihkan dan sebagainya) amatlah perlu dan wajib waris-warisnya bersetuju terhadapnya jika waris-waris tidak mampu membiayainya.

Sehubungan dengan itu, kami menasihati pihak-pihak yang terlibat sebagai orang tengah atau wakil yang menguruskan harta pusaka seseorang agar tidak meletakkan caj perkhidmatan yang terlalu tinggi dan berpatutan supaya para waris si mati mampu membayarnya. Ini kerana, berlakunya banyak tinggalan-tinggalan harta yang tidak dituntut berpunca dari kos pengurusan yang terlalu tinggi. Selain itu, kami menasihati juga para waris agar dapat bersama menyelesaikan kesemua kewajipan terhadap si mati termasuklah dalam urusan pengagihan harta pusaka.

Penutup

Kesimpulannya, pengagihan harta pusaka salah satu kewajipan terhadap si mati, begitu juga pengurusan harta tersebut. Oleh itu, berdasarkan penjelasan yang telah diberikan, kami simpulkan bahawa penggunaan harta pusaka bagi tujuan membiayai caj dan kos pengurusan harta dan segala yang berkaitan dengannya seperti bayaran laporan perubatan, upah peguam dan sebagainya adalah dibolehkan. Akhir kata, kami mendoakan agar segala urusan kita dipermudahkan oleh Allah S.W.T, baik urusan di dunia mahupun di Akhirat. Semoga Allah S.W.T memberkati segala usaha dan amal ibadah kita dan mengganjarinya dengan sebaik-baik ganjaran. Seterusnya, moga Allah S.W.T memberikan kepada kita kefahaman dalam agama dan juga keikhlasan dalam beribadah.

Wallahua’lam.