اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1488: HUKUM MENJUAL CECAIR (E-LIQUID ) ROKOK ELEKTRONIK

latest

 

Soalan :

Saya bercadang nak berniaga dan menjual cecair atau ejuice untuk vape/rokok elektronik. Tetapi, saya ada terbaca tentang fatwa yang mengatakan penggunaan vape/rokok elektronik adalah haram. Jika saya tetap menjual cecair/ejuice untuk vape/rokok elektronik ini, adakah sumber dan hasil keuntungan yang saya dapat ini adalah dikira haram? Adakah rezeki dari perniagaan tersebut tidak berkat untuk diri saya dan keluarga saya? Harap membantu menjawab persoalan saya ini. Terima Kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri Baginda, keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umum mengetahui penggunaan rokok elektronik telah difatwakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada tanggal 21 Disember 2015. Selain itu, kami telah membahaskan secara panjang lebar hujah pengharaman penggunaan rokok elektronik serta pandangan pakar kesihatan pada ruangan artikel Irsyard Fatwa ke 63: Hukum penggunaan rokok elekronik   di pautan  http://bit.ly/2PcM8TR. Secara ringkasnya, hujah pengharaman vape mahupun rokok elektronik disebabkan kandungan bahan-bahannya yang mendatangkan kemudaratan tubuh serta memberi kesan bahaya kepada kesihatan. Pada ruangan artikel kali ini, kami fokuskan perbincangan hukum menjual cecair (e-liquid) rokok elektronik.

Cecair (e-liquid) atau dikenali sebagai e-juice mempunyai pelbagai perisa “ flavour” yang boleh disimpan dan diisi semula didalam tangki rokok elektronik. E-liquid tersebut boleh menghasilkan wap apabila disedut dan dihembus oleh pengguna rokok elektronik. Terdapat beberapa hasil kajian sains membuktikan e-liquid atau e-juice mengundang bahaya kepada kesihatan, antaranya ialah:

  • E-liquid rokok elektronik mengandungi pelbagai bahan perisa “flavour” yang mampu membunuh sel lapisan kulit dan sel otak.
  • Kebiasaannya e-liquid dicampur dengan racun nikotin yang menyebabkan ketagih. Hal ini berdasarkan analisis sampel e-liquid rokok elektronik secara rawak oleh Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara[1]
  • Kajian Harvard mendedahkan dua e-liquid perisa “popcorn” dan “caramel” lebih terdedah kepada penyakit paru-paru seperti penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) dan asma.[2]

E-liquid atau e-juice rokok elektronik penyebab penyakit yang telah terbukti secara saintifik. Pasaran e-liquid semestinya ditujukan kepada pengguna rokok elektronik. Hal tersebut telah menggalakkan pengguna mencuba pelbagai perisa yang jelas mengundang bahaya. Oleh itu, peniagaan tersebut telah membuka jalan kearah kemudaratan manusia sejagat. Islam melarang perbuatan yang boleh mendatangkan mudarat serta kebinasaan. Hal ini bersesuaian dengan dalil berikut:

Sabda Baginda SAW

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan orang lain

Sunan Ibn Majah (2340)

Selain itu, e-liquid pelbagai perisa merupakan barang jualan (ma’qud ‘alaih) yang tidak mendatangkan sebarang manfaat. Hal ini bertentangan dengan syarat barangan jualan yang mesti memiliki manfaat menurut syari’at. Ini bererti, menjual barangan yang tiada nilai manfaat adalah tidak sah. Allah ﷻ melarang menjual barangan haram yang jelas tidak memberi sebarang manfaat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah. Beliau mendengar Rasulullah  SAW bersabda pada hari pembukaan kota Mekah. Nabi  SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ

Maksudnya :” Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai ,khinzir dan berhala

Riwayat al-Bukhari ( 2236) & Muslim ( 4132)

Selain itu, fatwa pengharaman penggunaan rokok elektronik berdasarkan hujah bahannya yang berbahaya. Maka segala transaksi serta hasil keuntungan barang haram seperti bahan e-liquid adalah tidak dibenarkan. Hal ini berdasarkan sabda Baginda SAW:

إنَّ اللَّهَ تَعَالَى إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya jika Allah mengharamkan sesuatu, Dia haramkan juga harganya. 

Riwayat al-Daruquthni (2815)

Seterusnya, matlamat penjualan e-liquid untuk pengguna rokok elektronik. Maka, segala wasilah serta usaha yang mendorong ke arah penggunaan rokok elektronik yang jelas telah diharamkan adalah haram. Hal ini berdasarkan kaedah yang masyhur iaitu:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksud : Apa yang membawa kepada haram maka ianya haram.

الإعانة على المحرم محرمة

Maksud: Kerjasama dalam perkara haram, hukumnya haram

Begitu juga, setiap perkara yang membawa kepada hukum haram maka matlamat yang hendak dicapai itu juga haram. Hal ini berdasarkan kaedah feqah yang menyebut:

الوسائل لها أحكام المقاصد

Maksudnya: Kesemua wasilah (cara) baginya adalah berdasarkan hukum yang hendak dicapai

Justeru, berdasarkan dalil serta hujah yang telah dikemukakan, kami berpendapat bahawa perniagaan menjual e-liquid pelbagai perisa rokok elektronik adalah ditegah disebabkan barang jualan (e-liquid) tidak memberi sebarang manfaat bahkan mengundang bahaya. Oleh itu, kami menegaskan agar pihak Tuan membatalkan hasrat untuk membuka perniagaan menjual e-liquid rokok elektronik.

Penutup

Secara tuntasnya, kami simpulkan perbahasan di atas dengan menyatakan beberapa pesanan berikut :

  1. Umat Islam perlu patuhi fatwa pengharaman penggunaan rokok elektronik.  
  2. Perniagaan produk rokok elektronik seperti e-liquid pelbagai perisa tidak lagi dijual di mana mana premis perniagaan seperti kedai-kedai runcit serta pasar malam di seluruh negara kita.
  3. Usahawan yang telah terlibat dengan penjualan produk rokok elektronik perlu berusaha sedaya mungkin untuk mencari pekerjaan lain yang halal.

Mencari sumber rezeki yang halal lagi berkat demi menyara keluarga merupakan satu kewajipan bagi umat Islam. Sesungguhnya, Allah ﷻ menjamin rezeki hamba-hambaNya dengan memperluaskan perkara-perkara yang halal berdasarkan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya.

(Surah al-Jathiah 45:13)

Ayat tersebut menunjukkan keluasan perkara halal serta seluruh penciptaanNya untuk dimanfaatkan oleh manusia sejagat. Selain itu, Allah menjanjikan kemudahan serta rezeki yang tidak disangka-sangka bagi mereka yang mencari jalan taqwa sebagaimana firmanNya:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: ...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Surah al-Thalaq (2-3)

Akhir kalam, yakinlah dengan rezeki Allah ﷻ yang amat luas. Semoga kita membina kehidupan berpandukan syari’at Islam serta diberikan taufiq dan hidayah dalam mencari keredhaanNya.

 

[1] Jawatankuasa Kerja Kajian Saintifik WHO FCTC, Unit Kawalan Tembakau dan Urusetia FCTC, Kementerian Kesihatan Malaysia.

[2] https://www.dailymail.co.uk/health/article-6657903/Two-e-cigarette-flavors-destroy-lung-function-Harvard-study-warns.html