Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Maaf mengganggu Dato’ Mufti. Saya ada satu kemusykilan. Adakah keberkatan serta kelebihan air zamzam hanya khusus apabila berada dalam kawasan tanah haram Makkah dan Madinah sahaja atau umum semua tempat? Dan apakah hukum membawa keluar air zamzam keluar daripada dua tanah haram tersebut? Harap Dato’ dapat berikan pencerahan.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
Maksudnya : (Nabi Ibrahim berkata) : “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”
(Surah Ibrahim : 37)
Air zamzam adalah merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah merupakan nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjid Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim 'Alaihimas Solatu wassalam, apabila Allah taala telah sediakan air daripada telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan juga ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.
Keberkatan dan kelebihan air zamzam kekal sekalipun bukan di Tanah Haram
Di antara keistimewaan air zamzam ialah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya sebagaimana hadis daripada Abu Zar R.Anhu bahawasanya Nabi SAW telah bersabda :
إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ
Maksudnya : "Sesungguhnya ia (air zamzam) air yang penuh dengan keberkatan dan ianya mengandungi makanan yang mengenyangkan". [HR Muslim (2473)]
Selain daripada itu, air zamzam adalah sebaik-baik air di atas muka bumi dan penawar daripada penyakit. Nabi SAW telah bersabda :
خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ
Maksudnya : "Sebaik-baik air di atas muka bumi adalah air zamzam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit". [Lihat : Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid (3/286) dan Silsilah al-Ahadis al-Sahihah (3/44-45) : Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Kabir, perawi-perawinya adalah tsiqah dan telah disahihkan oleh Ibnu Hibban]
Al-Munawi juga ada menyatakan mengenai air zamzam :
هو سيد المياه وأشرفها وأجلها قدرا وأحبها إلى النفوس وهمزة جبرائيل وسقيا إسماعيل
Maksudnya : “Air zamzam adalah merupakan penghulu bagi segala air, merupakan air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril dan diberi minum kepada Nabi Ismail A.S.” [Lihat : Fayd al-Qadir Syarh al-Jami` al-Saghir (5/404)]
Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa air zamzam mempunyai kelebihan dan fadilat tertentu seperti mengenyangkan dan penawar bagi segala penyakit. Selain itu, ia adalah merupakan sebaik-baik air di atas muka bumi dan air yang diberkati.
Secara zahirnya, hadis-hadis mengenai kelebihan air zamzam bersifat umum dan tidak terikat dengan kemuliaan Tanah Haram. Oleh itu, di mana sahaja air zamzam dibawa, keberkatan dan fadilatnya kekal sebagaimana yang asalnya, selagi mana tiada nas atau dalil yang menunjukkan bahawa keberkatannya terikat dengan kemuliaan Tanah Haram.
Begitu juga, Syeikh al-Uthaimin ketika ditanya adakah disyaratkan (bagi mendapatkan kelebihan air zamzam), mesti meminumnya di Makkah? Beliau menjawab : Tidak disyaratkan…dan Nabi SAW tidak mengikatnya (kelebihan tersebut) hanya khusus di Makkah. [Lihat : Fatawa Nur ‘ala al-Darb (6/2)]
Syeikh al-Syibramalisi ketika mensyarahkan hadis berkaitan air zamzam menyebut bahawa kelebihan tersebut merangkumi bagi mereka yang meminumnya sekalipun bukan pada tempatnya (Makkah). [Lihat : Hasyiah Nihayah al-Muhtaj (3/318)]
Imam al-Sakhāwi menyatakan bahawa :
يذكر على بعض الألسنة أن فضيلته ما دام في محله ، فإذا نقل يتغير . وهو شيء لا أصل له... وسئل عطاء عن حمله فقال : قد حمله النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ والحسن والحسين رضي اللَّه عنهما...
Maksudnya : “Sebahagian orang menyebut kelebihan air zamzam kekal selagi mana masih di tempatnya (Makkah). Apabila dipindahkan (air zamzam tersebut), maka ia berubah (kelebihannya hilang). Pendapat ini tiada asal (tidak berasas)… Dan Atho’ pernah ditanya berkenaan hukum membawanya (keluar daripada Makkah). Beliau menjawab : Sesungguhnya Nabi SAW, Hasan dan Husain R.Anhuma pernah membawa air zamzam (keluar daripada Makkah)…” [Lihat : al-Maqasid al-Hasanah, hal. 569 dan al-Tabarruk (Cet. Maktabah al-Rusyd), hal. 293-294]
Selain itu, para ulama juga telah sepakat akan keharusan membawa air zamzam ke seluruh negeri bagi tujuan bertabarruk (mengambil berkat) dengannya yang akan kita bahaskan selepas ini.
Hukum membawa keluar air zamzam
Dr. Nasir bin Abdur Rahman telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa para ulama telah sepakat mengenai keharusan membawa air zamzam ke seluruh negeri bagi tujuan bertabarruk (mengambil berkat) dengannya. [Lihat : al-Tabarruk (Cet. Maktabah al-Rusyd), hal. 293]
Ini adalah berdasarkan hadis daripada Aisyah R.Anha bahawa beliau pernah membawa air zamzam (daripada Makkah) dan menceritakan :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَحْمِلُهُ
Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW juga pernah membawa air zamzam (ketika bermusafir)” [HR al-Tirmizi (963)]
Abu al-‘Abbas al-Sowi al-Maliki menyebut di dalam hasyiahnya :
وَنُدِبَ نَقْلُهُ وَخَاصِّيَّتُهُ بَاقِيَةٌ خِلَافًا لِمَنْ يَزْعُمُ زَوَالَ خَاصِّيَّتِهِ
Maksudnya : “Disunatkan memindahkan air zamzam (membawanya keluar) dan kelebihannya tetap ada (kekal) berbeza dengan mereka yang mendakwa bahawa kelebihannya hilang (apabila dibawa keluar daripada Makkah)” [Lihat : Hasyiah al-Sowi ‘ala al-Syarh al-Soghir (2/44)]
Manakala Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pula menyatakan bahawa hukum membawanya adalah harus sebagaimana katanya :
وَمَنْ حَمَلَ شَيْئًا مِنْ مَاءِ زَمْزَمَ جَاز فَقَدْ كَانَ السَّلَفُ يَحْمِلُونَهُ
Maksudnya : “Dan sesiapa yang membawa air zamzam bersama (ketika bermusafir) hukumnya adalah harus, kerana sesungguhnya ulama-ulama terdahulu (salaf) membawanya bersama” [Lihat : Majmu’ al-Fatawa (26/154)]
Ibnu Hajar al-Haitami juga ada menyatakan bahawa :
وَأَنْ يَنْقُلَهُ إلَى وَطَنِهِ اسْتِشْفَاءً وَتَبَرُّكًا لَهُ وَلِغَيْرِهِ
Maksudnya : “Boleh membawa air zamzam ke negaranya (lain) bagi tujuan berubat dan mengambil berkat (dengan air zamzam) buat dirinya atau orang lain.” [Lihat : Tuhfah al-Muhtaj (4/144)]
Kesimpulannya
Setelah kami melihat kepada pendapat-pendapat ulama serta dalil-dalil mereka, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :
- Kelebihan air zamzam bersifat umum dan tidak terikat dengan kemuliaan Tanah Haram sama ada Makkah atau Madinah. Oleh itu, di mana sahaja air zamzam dibawa, keberkatan dan fadilatnya kekal sebagaimana yang asalnya. Dakwaaan bahawa kelebihannya hilang apabila dibawa keluar atau dipindahkan adalah tidak berasas dan tiada asalnya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Sakhāwi.
- Para ulama juga telah sepakat mengenai keharusan membawa keluar air zamzam daripada Makkah ke tempat-tempat lain bagi tujuan berubat, mengambil berkat dan lain-lain perkara yang dibenarkan selagimana tidak bercanggah dengan syarak serta merendahkan kedudukan air zamzam. Malah, sebahagian para ulama menukilkan bahawa hukumnya adalah sunat dan digalakkan.
- Bagi mendapatkan perbahasan lanjut mengenai air zamzam, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam :
- Irsyad al-Hadith Siri ke-125 : Air Zamzam (ماء زمزم).
- Al-Kafi li al-Fatawi (1456) : Bolehkah Memberi Air Zamzam Kepada Orang Bukan Islam?
- Al-Kafi li al-Fatawi (1487) : Hukum Mandi Dengan Menggunakan Air Zamzam.
Kami akhiri dengan kata-kata Ibnu Qayyim al-Jauziyyah sebagai renungan bersama, berkenaan pengalamannya dengan air zamzam :
“Sesungguhnya aku dan selain daripadaku telah mengalami (ada pengalaman) perkara yang ajaib ketika berubat dengan menggunakan air zamzam. Aku telah sembuh daripada beberapa penyakit yang menimpaku dengan izin Allah. Selain itu, aku juga telah menyaksikan seseorang yang telah menjadikan air zamzam sebagai makanannya selama beberapa hari, sekitar setengah bulan atau lebih dan dia tidak berasa lapar. Dalam masa yang sama, dia melaksanakan tawaf sebagaimana manusia yang lain. Dan dia telah memberitahuku bahawa kadang-kadang dia seperti itu selama empat puluh hari dan dia juga mempunyai kekuatan untuk bersama isterinya (berjima’), berpuasa dan melaksanakan tawaf berkali-kali”. [Lihat : Zad al-Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad (361/4)]