اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1515: HUKUM IMAM MEMANJANGKAN SUJUD DAN BACAAN YANG BOLEH DIBACA KETIKANYA

ak1515.png

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya pernah mendirikan solat Zohor secara berjemaah di sebuah masjid yang mana imamnya apabila sujud, dia akan sujud pada kadar yang agak lama. Saya sendiri sudah selesai bacaan sujud sebanyak tiga kali, tetapi imam masih belum mengangkat kepalanya dan saya terpaksa menunggu.

Soalan saya, bolehkah imam melakukan hal demikian? Dan jika sekiranya ia berlaku, apakah zikir dan doa yang boleh saya baca ketika sujud yang panjang tersebut?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Rasulullah SAW mengajarkan umatnya supaya mendirikan solat sepertimana mereka melihat Baginda SAW mendirikan solat. Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku mendirikan solat.

Hadith riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Antara rukun-rukun solat ialah sujud dan toma’ninah padanya. Toma’ninah seperti yang disebutkan di dalam Syeikh al-Nawawi al-Jawi adalah bermaksud:

الطمأنينة هي سكون بعد حركة بحيث يستقرّ كلّ عضوٍ محلّه بقدر "سبحان الله" أي بقدر التلفظ بذلك

Maksudnya: Toma’ninah ialah diam (berhenti sekejap) setelah bergerak, iaitu dengan tetapnya anggota-anggota sujud pada tempatnya dengan kadar ‘Subhana Allah’, iaitu pada kadar menyebutnya. (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinat al-Naja: 71)

Justeru itu, diwajibkan untuk berhenti seketika ketika sujud dengan meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujud, iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki, kesemuanya di atas tempat sujud dalam satu waktu yang sama. Jika sekiranya seseorang itu meletakkan sebahagian anggota dan mengangkat anggota yang lain, maka ia tidak memadai.

و يشترط أيضًا أن يضع الأعْضاء السبعة في وقت واحد فلو وضع بعضها ثم رفعه و وضع الأخر لا يكف

Maksudnya: Dan disyaratkan juga untuk meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujud dalam pada waktu yang sama. Jika sekiranya seseorang itu meletakkan sebahagian anggota dan mengangkatnya, kemudian meletakkan anggota yang lain, maka hal itu tidak memadai. (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja: 64)

Oleh itu, dapatlah difahami bahawa wajib dan menjadi rukun di dalam solat untuk berhenti seketika (toma’ninah) ketika sujud sekurang-kurangnya pada kadar menyebut zikir ‘Subhana Allah’. Tambahan pula, Rasulullah SAW menganjurkan supaya umatnya memperbanyakkan zikir dan doa ketika sujud. Rasulullah SAW bersabda:

أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ

Maksudnya: Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud.

Hadith riwayat Muslim: (482)

Rasulullah SAW telah mengajarkan zikir ketika rukuk dan sujud. Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah Ibn ‘Aamir RA, bahawa beliau berkata:

لما نزلت (فسبح بًاسم ربك العظيم) قال رسول اللهِ ﷺ اجعلوها في ركوعكم فلما نزلت (سبح اسم ربك الأعلى) قال اجعلوها في سجودكم

Maksudnya: Apabila telah turunnya ayat (فسبح بًاسم ربك العظيم), maka Rasulullah SAW bersabda, “Jadikanlah ia bacaan dalam rukuk kalian.” Kemudian, apabila turunnya ayat (سبح اسم ربك الأعلى), maka Rasulullah SAW bersabda, “Jadikanlah ia bacaan dalam sujud kalian.”

Hadith riwayat Abu Daud: 869

Sunat hukumnya untuk membaca zikir tersebut ketika rukuk dan sujud. Terhasil pahala sunat tersebut hanya dengan membaca satu kali sahaja. Kadar yang sempurna ialah membaca sebanyak tiga kali, kemudian disunatkan untuk menambahnya dengan kadar lima, tujuh, sembilan dan sebelas kali. (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja: 56)

Dalam hal ini, jika seseorang itu sujud dalam solat secara persendirian atau menjadi imam pada jemaah yang sedikit, maka dia boleh memanjangkan sujudnya mengikut kehendaknya. Walau bagaimanapun, jika dia seorang imam bagi jemaah yang ramai, maka hendaklah dia tidak menambah bacaannya lebih daripada tiga kali. Syaikh al-Nawawi al-Jawi menyebutkan di dalam kitabnya:

و لا يزيد أحد على ذلك سوى المنفرد و إمام قوم محصورين راضين بالتطويل

Maksudnya: Dan seseorang yang solat hendaklah tidak menambah bilangan bacaan tersebut, kecuali seorang yang mendirikan solat secara bersendirian dan imam kepada sekelompok jemaah yang terhad yang redha untuk memanjang sujud. (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja: 56)

Justeru itu, jika sekiranya seseorang ingin atau berada di dalam sujud yang panjang, dia boleh untuk menambah zikir dan doa yang ma’thur seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya:

اللهم لك سجدت و بك آمنت و لك أسلمْت سجد وجهي للذي خلقه و صوّره و شّق سمعه و بصره تبارك الله أحسن الخالقين

Maksudnya: Ya Allah, hanya kepada Engkau aku bersujud, hanya kepada Engkau aku beriman dan hanya kepada Engkau aku menyerah diri. Telah sujud wajahku kepada Yang Menciptanya, Yang Membentuknya dan Yang memberikannya pendengaran dan penglihatan. Maha Suci Allah yang merupakan sebaik-baik pencipta.

Begitu juga, boleh ditambah doa yang dibaca oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa beliau berkata:

أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ كانَ يقولُ في سُجُودِهِ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي كُلَّهُ دِقَّهُ، وجِلَّهُ، وأَوَّلَهُ وآخِرَهُ وعَلانِيَتَهُ وسِرَّهُ

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berdoa ketika sujudnya, “Wahai Tuhan-ku, ampunkanlah dosaku kesemuanya sama ada yang kecil atau besar, yang di awal dan juga di akhir, serta yang jelas dan yang tersembunyi.”

Hadith riwayat Muslim: 483

Selain itu, terdapat pertanyaan berkaitan adakah dibolehkan berdoa dalam Bahasa Melayu? Jawapannya ialah tidak boleh melafazkannya dengan lidah, namun boleh untuk disebutkan di dalam hati sahaja. Untuk perbahasan yang lebih lanjut, sila rujuk artikel kami yang bertajuk Al-Kafi Li Al-Fatawi : Membaca Zikir dan Doa Selain Bahasa Arab di dalam Sujud.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa sujud memerlukan toma’ninah namun bukan dalam tempoh yang lama. Jika sekiranya seseorang menjadi imam, maka hendaklah dia memerhatikan kepada keadaan jemaahnya. Tidak boleh untuk untuk dia memanjangkan dan melebihkan bacaan dalam sujud sesuka hatinya. Apatahlagi waktu Zohor yang kebanyakan adalah waktu rehat sebentar bagi orang yang berkerja, maka imam wajib mengambil berat dalam situasi jemaah tersebut. Hal ini sama seperti keadaan Saidina Mu’az Ibn Jabal yang ditegur oleh Rasulullah SAW kerana memanjangkan solatnya dengan membaca surah al-Baqarah yang menyebabkan ada jemaah yang keluar dan solat secara bersendirian. Rasulullah SAW menegurnya dengan bersabda:

أفتّانٌ أنتَ أفتّانٌ أنتَ لا تطوِّلْ بِهمُ اقرأ: سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلى، والشَّمْسِ وَضُحاها ونحوَها

Maksudnya: (Wahai Mu’az) Adakah kamu ingin menimbulkan fitnah? Adakah kamu ingin menimbulkan fitnah? Janganlah kamu sengaja memanjangkan solat (ketika kamu menjadi imam), bacakanlah surah-surah yang ringkas seperti surah al-‘Ala, al-Syams, al-Dhuha atau yang seumpamanya.

Hadith riwayat Ibn Hibban (2400)

Walau bagaimanapun jika sekiranya seseorang itu solat secara bersendirian atau menjadi imam kepada jemaah yang sedikit yang redha imam memanjangkan solatnya, maka ia diharuskan malah digalakkan. Disamping itu, jika sekiranya seseorang ingin atau berada di dalam sujud panjang, maka ia disunatkan untuk menambah zikir dan doa-doa yang ma’thur yang telah disebutkan di atas.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.