اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1516 : MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM SERTA BERJABAT TANGAN SEMASA KHUTBAH

AK1516

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, kadangkala apabila saya sedang mendengar khutbah ada jemaah di sebelah yang baru selesai solat tahiyatul masjid memberikan salam kepada saya serta menghulurkan tangan untuk bersalaman. Soalan saya, adakah boleh untuk saya menjawab serta menyambut salam darinya semasa khutbah sedang berlangsung ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, terdapat beberapa hadis yang menunjukkan larangan terhadap perkataan dan perbuatan yang menyebabkan hilangnya fokus dalam mendengar khutbah Jumaat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: Apabila kamu mengucapkan; ‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha.

Riwayat Al-Bukhari (934)

Sekiranya kita meneliti hadis di atas, kita akan mendapati bahawa menegur orang yang bising ketika khatib sedang berkhutbah itupun menjadikan seseorang itu lagha. Sedangkan menegur kesilapan dan kesalahan di depan mata adalah termasuk dalam bab mencegah kemungkaran.

Inilah yang disebut sebagai mafhum al-muwafaqah dari lafaz hadis. Iaitu, sekiranya mencegah kemungkaran dengan menyebut: ‘’Diamlah kamu’’ semasa khutbah pun menjadikan seseorang itu lagha, maka sudah pastilah ucapan-ucapan dan bualan-bualan kosong semasa khutbah Jumaat itu menjadi lebih lagha lagi.

Memberi dan menjawab salam merupakan sebahagian dari syiar agama Islam serta tanda baiknya keislaman seseorang. Terdapat begitu banyak nas syarak yang menganjurkan kepada perbuatan ini. Antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.A beliau berkata bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah S.A.W : ‘’Islam apakah yang terbaik ?’’ Maka baginda S.A.W bersabda :

تُطْعِمُ الطَّعَامَ، وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ

Maksudnya : Kamu memberi makan, serta kamu memberikan salam kepada mereka yang kamu kenali dan juga mereka yang kamu tidak kenali.

Riwayat Al-Bukhari (28)

Selain itu, dengan memberikan salam sesama muslim ini dapat menghasilkan perasaan kecintaan serta mencambahkan keimanan di dalam diri seseorang. Perkara ini seperti yang disifatkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

لاَ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا ‏.‏ أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَىْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ 

Maksudnya : Kamu tidak akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman. Kamu tidak dapat beriman sehingga kamu berkasih sayang. Tidak patutkah aku menunjukkan kamu tentang satu perbuatan yang mana apabila kamu melakukannya, kamu akan saling berkasih sayang ? Hendaklah kamu menyebarkan salam sesama kamu.

Riwayat Muslim (54)

Manakala perbuatan bersalaman tangan antara dua orang Islam juga merupakan suatu yang dituntut di dalam agama. Ini seperti yang ditunjukkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bara’ bin ‘Azib R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

Maksudnya : Tidaklah dua orang islam yang bertemu lalu mereka berjabat tangan bersalaman melainkan akan diampunkan dosa mereka berdua sebelum mereka berpisah.

Riwayat Abu Daud (5212)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berkenaan dengan memberi ucapan salam semasa khutbah, berikut kami kongsikan pendapat Imam Ibn Hajar Al-Haitami berkata:

وكره سلام الداخل على الحاضرين كما في المجموع وغيره لأنهم مشغولون بما هو أهم منه لكن تجب إجابته لأن عدم مشروعيته لعارض لا لذاته

Maksudnya : Dan dimakruhkan bagi orang yang masuk ke dalam masjid (semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung) untuk memberi salam kepada para hadirin seperti yang disebutkan di dalam (kitab) Al-Majmu’ dan selainnya. Ini kerana mereka (para jemaah) berada dalam keadaan yang sibuk dengan sesuatu yang lebih penting darinya. Akan tetapi wajib menjawab salam tersebut. Ini kerana, tidak disyariatkan (memberi salam ketika khutbah) itu disebabkan satu ‘aridh (penghalang) dan bukannya tidak disyariatkan secara zat. Rujuk Al-Minhaj Al-Qawim, Ibn Hajar Al-Haitami (Hlm. 313).

Imam Al-Nawawi Rahimahullah dalam mengulas isu ini beliau menyebutkan :

يُكْرَهُ لِلدَّاخِلِ فِي حَالِ الْخُطْبَةِ أَنْ يُسَلِّمَ عَلَى الْحَاضِرِينَ سَوَاءٌ قُلْنَا الْإِنْصَاتُ وَاجِبٌ أَمْ لَا

Maksudnya : Dimakruhkan bagi seseorang yang masuk (ke dalam masjid) semasa khutbah untuk memberi salam kepada para hadirin, sama ada kita berpegang kepada pendapat yang mengatakan diam (ketika khutbah) itu wajib atau tidak. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/524).

 

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum memberikan salam sama ada kepada jemaah atau khatib semasa khutbah sedang berlangsung adalah makruh. Namun, menjawab salam tersebut tetap merupakan suatu kewajipan. Manakala memulakan bersalaman turut dimakruhkan semasa khutbah. Ini kerana, ia mengganggu tumpuan dan fokus para jemaah untuk mendengar khutbah yang amat dituntut di sisi syarak. Namun tidak ada masalah untuk seseorang itu menyambut tangan yang dihulurkan kepadanya untuk bersalaman tanpa menafikan tumpuan dan fokus dalam mendengar khutbah. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.