اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1520 : ADAKAH MEMBASUH TANGAN SEBELUM MAKAN DAN SELEPASNYA SUNNAH?

al Kafi 1520

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ada satu persoalan. Adakah membasuh tangan sebelum makan dan selepasnya adalah sunnah?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

(Surah al-Ahzab : 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu semua (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripadaNya, serta bersyukur kepadaNya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Basuh tangan selepas makan

Para ulama telah bersepakat bahawa hukum membasuh kedua-dua tangan selepas makan adalah sunat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270) Ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW :

من أحبَّ أن يُكثِّرَ اللهُ خيرَ بيتِه فليتوضَّأْ إذا حضر غداؤُه وإذا رُفِع

Maksudnya : “Sesiapa yang ingin Allah memperbanyak kebaikkan di dalam rumahnya, hendaklah dia berwuduk sekiranya makanannya telah dihidangkan (sebelum makan) dan selepas diangkat (selesai makan)” [HR Ibn Majah (3260)]

Al-Sindi ketika mensyarahkan lafaz ‘berwuduk’ menyatakan bahawa maknanya adalah membasuh kedua-dua tangannya. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 2/301)

Begitu juga, sabda Nabi SAW :

من بات وفي يدِه ريحُ غِمرٍ فأصابه شيءٌ فلا يلومنَّ إلا نفسَه

Maksudnya : “Sesiapa yang tidur (bermalam) dan di tangannya masih terdapat bau lemak daging, lalu dia ditimpa sesuatu. Maka, janganlah dia mencela sesiapa pun melainkan dirinya sendiri.” [HR al-Tirmizi (1859)]

Basuh tangan sebelum makan

Para ulama telah berselisih berkenaan hukum membasuh tangan sebelum makan. Mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali menyatakan bahawa membasuh tangan sebelum makan hukumnya adalah sunat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270) Membasuh kedua-dua tangan sebelum makan dan selepasnya juga adalah termasuk di dalam adab-adab makan. (Lihat al-Najmu al-Wahhab fi Syarh al-Minhaj 7/389, dan al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 16/405)   Mereka berhujah dengan hadis nabi SAW :

فليتوضَّأْ إذا حضر غداؤُه

Maksudnya : “hendaklah dia berwuduk sekiranya makanannya telah dihidangkan (sebelum makan).” [HR Ibn Majah (3260)]

Juga sabda Nabi SAW :

بَرَكةُ الطَّعامِ الوُضوءُ قَبلَه، والوُضوءُ بَعدَه

Maksudnya : “Keberkatan makan itu ialah dengan berwuduk sebelumnya dan berwuduk selepasnya.” [HR Abu Daud (3761)]

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa berwuduk pada hadis tersebut bermaksud membasuh tangan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/405)

Manakala mazhab Maliki menyatakan bahawa membasuh tangan sebelum makan hukumnya bukanlah sunat melainkan terdapat kotoran padanya. Sekiranya kotoran tersebut adalah najis, maka dia wajib membasuhnya. Akan tetapi sekiranya kotoran tersebut bukan najis, sunat untuk dia membasuhnya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/270)

Ibn Qudamah menyatakan bahawa :

فِي آدَابِ الطَّعَامِ يُسْتَحَبُّ غَسْلُ الْيَدَيْنِ قَبْلَ الطَّعَامِ وَبَعْدَهُ، وَإِنْ كَانَ عَلَى وُضُوءٍ، قَالَ الْمَرُّوذِيُّ : رَأَيْت أَبَا عَبْدِ اللَّهِ يَغْسِلُ يَدَيْهِ قَبْلَ الطَّعَامِ وَبَعْدَهُ، وَإِنْ كَانَ عَلَى وُضُوءٍ.

Maksudnya : “Antara adab-adab makan ialah disunatkan untuk membasuh kedua-dua tangan sebelum makan dan selepasnya, sekalipun dia sudah (berada dalam keadaan) berwuduk. Al-Marruzi berkata : Aku melihat Abu Abdillah membasuh kedua tangannya sebelum makan dan selepasnya, sekalipun dia sudah berwuduk.” (Lihat al-Mughni, 7/289)

Begitu juga, al-Mawardi ada menyebutkan bahawa :

إِذَا أَكَلَ أَنْ يَسْتَعْمِلَ آدَابَ أَكْلِهِ الْمَسْنُونَةَ. فَمِنْهَا غَسْلُ يَدَيْهِ قَبْلَ الطَّعَامِ وَبَعْدَهُ وَلَوْ تَوَضَّأَ فِي الْحَالَيْنِ كَانَ أَفْضَلَ

Maksudnya : “Sekiranya seseorang mahu makan hendaklah dia mengamalkan adab-adab makan yang telah disunatkan (hukumnya). Antaranya ialah membasuh kedua tangan sebelum makan dan selepasnya. Dan kalaulah dia (dapat) berwuduk bagi kedua-dua keadaan tersebut adalah lebih baik lagi.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/561)

Manakala Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berpendapat bahawa membasuh tangan sebelum makan tidak disunatkan. Perkara ini sebagaimana yang telah beliau nyatakan di dalam syarah sunan Abi Daud :

في هذه المسألة قولان لأهل العلم أحدهما: يستحب غسل اليدين قبل الطعام, والثاني: لا يستحب, وهما في مذهب أحمد وغيره, والصحيح أنه لا يستحب, وقال النسائي في كتابه الكبير: باب ترك غسل اليدين قبل الطعام, ثم ذكر من حديث ابن جريج عن سعيد بن الحويرث عن ابن عباس "أن رسول الله صلى الله عليه وسلم تبرز ثم خرج, فطعم ولم يمس ماء" وإسناده صحيح.

Maksudnya : “Mengenai permasalahan ini, terdapat dua pendapat para ulama. Pendapat yang pertama : Disunatkan membasuh kedua tangan sebelum makan. Manakala pendapat yang kedua : Tidak disunatkan. Dan kedua-dua pendapat ini adalah merupakan pendapat mazhab Imam Ahmad dan selainnya. Pendapat yang sahih adalah ia tidak disunatkan. Imam al-Nasaie telah menyebutkan di dalam kitabnya al-Kabir : Bab meninggalkan membasuh tangan sebelum makan. Kemudian, beliau telah menyebutkan hadis Ibn Juraij, daripada Sa’id bin al-Huwairith, daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menunaikan hajat (buang air), kemudian baginda keluar (daripada situ setelah selesai). Baginda telah makan tanpa menyentuh air (tidak membasuh tangan sebelum makan). Sanad-sanad hadis ini adalah sahih.” (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 10/232-233)

Tidak mengapa jika tidak membasuh tangan sebelum makan

Sekalipun begitu, tidak mengapa meninggalkannya (membasuh tangan sebelum makan). Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa :

أَنَّهُ خَرَجَ مِنَ الْغَائِطِ، فَأُتِيَ بِطَعَامٍ، فَقَالَ رَجُلٌ : يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلَا آتِيكَ بِوَضُوءٍ قَالَ : أَأُرِيدُ الصَّلَاةَ؟

Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi SAW baru sahaja selesai membuang air besar. Kemudian baginda dihidangkan dengan makanan. Lalu ada seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, mahukah aku sediakan air untuk kamu berwuduk? Baginda menjawab : Adakah aku hendak solat?” [HR Ibn Majah (3261)]

Di dalam riwayat Jabir bin Abdullah ada menyatakan bahawa Nabi SAW pernah datang dari jalan sebuah bukit. Dan baginda baru sahaja selesai menunaikan hajatnya (buang air). Sementara antara kami terdapatnya kurma (yang diletakkan) di atas perisai. Kemudian, kami mengundang baginda untuk makan bersama, lalu baginda makan tanpa menyentuh air (membasuh tangan sebelum makan). [HR Abu Daud (3762)]

Begitu juga, Imam al-Bukhari ada merekodkan satu riwayat daripada ‘Amru bin Umayyah bahawa dia telah melihat Nabi SAW melapah (memotong) bahu kambing yang ada di tangannya. Kemudian, masuk waktu solat. Baginda meletakkan pisau yang digunakan untuk melapah bahu kambing tadi dan mendirikan solat tanpa (perlu) berwuduk lagi. [HR al-Bukhari (5462)]

Justeru, kita ketahui sekalipun membasuh tangan sebelum makan adalah digalakkan (sunat), akan tetapi tidaklah sehingga berdosa bagi seseorang yang meninggalkannya (tidak membasuh tangan).

Kesimpulannya

Setelah kami melihat kepada pendapat-pendapat ulama serta dalil-dalil mereka, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Membasuh tangan sebelum makan dan selepas makan adalah termasuk di dalam antara adab-adab makan.
  • Disunatkan untuk membasuh tangan selepas makan sebagaimana yang telah dipersetujui oleh para ulama.
  • Manakala membasuh tangan sebelum makan, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat dan digalakkan. Hal ini kerana sebagaimana kata Imam al-Ghazali bahawa tangan kita tidak dapat lari daripada tercemar atau kotor disebabkan oleh aktiviti (seharian kita), maka membasuhnya adalah (merupakan perbuatan) yang lebih dekat (terjamin) kepada kebersihan dan kesucian. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Deen, 2/3)

 

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya serta mengamalkan syariahNya dengan sebaik mungkin.