اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1556 : ADAKAH RUJU’ BOLEH BERLAKU MELALUI PERSENTUHAN KULIT ?

AK1556

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, jika pasangan suami isteri itu bercerai talak 1, kemudian suami itu menyentuh isterinya tersebut dengan syahwat, adakah perbuatan tersebut dikira sebagai ruju’ ? Terima kasih.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Islam amat menggalakkan supaya dikekalkan hubungan perkahwinan di antara suami isteri. Meskipun begitu, kadangkala boleh berlaku perselisihan dan salah faham sesama pasangan dalam bentuk yang sukar untuk dipertahankan ikatan perkahwinan. Maka Islam memberikan jalan keluar untuk sekalian umatnya menerusi pensyariatan talak (cerai). Dalam masa yang sama, syariat Islam menjadikan asal bagi talak adalah merupakan talak raj’ie (yang boleh dirujuk semula) yang tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh. Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh iddah.

Iddah bagi wanita yang diceraikan adalah selama tempoh tiga kali suci. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya : Dan wanita-wanita yang diceraikan itu maka mereka ‘mengurung’ diri mereka selama tiga kali suci.

Surah Al-Baqarah (228)

Justeru, dalam tempoh tiga kali suci tersebut seorang suami itu boleh untuk merujuk semula kepada isterinya yang telah diceraikan.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, suka kami menjelaskan beberapa nas yang menunjukkan kepada pensyariatan ruju’. Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا

Maksudnya : Dan suami-suami mereka (orang perempuan) berhak meruju’ semula dengannya dalam tempoh masa (iddah) tersebut, sekiranya mereka (para suami) berkehendakkan kepada kebaikan.

Surah Al-Baqarah (228)

Imam Al-Syafie dalam mengulas ayat di atas beliau berkata : Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan ruju’.

Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (5/260)

Manakala nas daripada sunnah adalah berdasarkan perbuatan Nabi S.A.W yang meruju’ semula kepada isterinya Ummu al-Mu’minin Hafsah. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar Ibn al-Khattab R.A beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم طَلَّقَ حَفْصَةَ ثُمَّ رَاجَعَهَا

Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah menceraikan Hafsah kemudian baginda meruju’ semula.

Riwayat Abu Daud (2283)

Persoalan yang utama dalam isu ini adalah, apakah kayu ukur yang diambil kira untuk seseorang suami itu merujuk semula kepada isterinya, maka kami menyatakan bahawa para ulama berbeza kepada beberapa pendapat yang utama dalam isu ini.

Para ulama al-Syafi’eyyah berpendapat bahawa tidak sah perbuatan ruju’ serang lelaki melainkan hanya dengan perkataan. Sekiranya dengan perbuatan seperti seorang suami itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah, maka ia tidak dikira sebagai ruju’. Maka tidak sah meruju’ menerusi perbuatan yang melibatkan berpelukan, menyentuh, dan sebagainya selama mana seseorang itu mampu untuk mengucapkan lafaz rujuk.

Kata Imam Al-Nawawi : Tidak sah meruju’ melainkan dengan ucapan. Sekiranya seseorang itu menyetubuhinya maka hal tersebut tidak dianggap sebagai ruju’. Maka tidak sah (ruju’) dengan perbuatan sekiranya seseorang mampu untuk mengucapkan (lafaz ruju’). Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (7/266).

Kemudian beliau berkata lagi :

فأما إذا وطئها أو قبلها أو لمسها فلا يكون ذلك رجعة، سواء نوى به الرجعة أو لم ينو

Maksudnya : Sekiranya seseorang lelaki itu menyetubuhi isterinya (dalam tempoh iddah raj’ie), menciumnya, atau menyentuhnya, maka yang demikian itu tidak berlaku padanya ruju’. Sama ada dia melakukannya dengan niat ruju’ atau pun tidak. Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (7/266).

Manakala di sisi mazhab Hanbali, ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama, ruju’ tidak berlaku melainkan dengan ucapan sahaja. Manakala pendapat yang kedua menyebutkan bahawa ruju’ itu terhasil dengan persetubuhan, sama ada dengan niat ruju’ atau pun tanpa niat. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/523).

Imam Ibn Qudamah menambah lagi : Sekiranya seorang lelaki itu mencium isterinya (dalam tempoh iddah), menyentuhnya dengan syahwat, menyelak kemaluan lalu melihatnya, maka pendapat yang dinaskan daripada Imam Ahmad adalah kesemuanya itu tidak dianggap sebagai ruju’. Manakala menurut Ibn Hamid : Ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama : Ia dianggap sebagai ruju’, kerana perbuatan ini dianggap sebagai berseronok-seronok yang hanya diharuskan menerusi perkahwinan. Maka terhasil ruju’ dari perbuatan tersebut sama seperti persetubuhan. Manakala pendapat yang kedua menyatakan bahawa ia tidak dianggap sebagai ruju’. Ini kerana ia (perbuatan-perbuatan tersebut) adalah perkara yang tidak ada kaitan dengan ijab iddah dan juga mahar. Maka tidak terhasil ruju’ dari perbuatan tersebut. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/53).

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili menyatakan : ‘’(Ruju’) adalah lafaz yang ringkas maka tidak sah ruju’ melainkan dengan perkataan. Hendaklah ia merupakan lafaz yang sarih dan ia tidak memerlukan kepada niat. Seperti ucapan ‘aku ruju’ kamu’, dan lain-lain’’.

Begitu juga beliau berkata : ‘’Dan haram istimta’ (bermesraan) dengan wanita yang ditalakkan dengan talak raj’ie menerusi persetubuhan, bersentuhan, dan melihat ke arahnya meskipun tanpa syahwat, ini kerana dia telah berpisah dengan suaminya..’’. Rujuk Al-Mu’tamad, Al-Zuhaili (4/185 - 190).

 

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa kami cenderung kepada pendapat mazhab Al-Syafi’e dalam isu ini. Dari sudut ruju’ antara pasangan yang bercerai tidak boleh berlaku dengan perbuatan semata-mata sekiranya seorang lelaki itu mampu untuk melafazkan ruju’. Bahkan ia hanya sah dengan ucapan ruju’ dari pihak suami sahaja. Kami juga menyatakan, dalam kes-kes sebegini hendaklah pasangan tersebut mendaftarkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Kemudian setelah mendapat perintah mahkamah, proses ruju’ boleh diteruskan selama masih dalam tempoh iddah. Proses-proses ini boleh dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan atau Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.