Soalan
Assalamualaikum Dato’ Mufti. Difahamkan bahawa terdapat pantang larang ketika haji dan umrah khususnya keberadaan di Tanah Haram. Cuma persoalan saya, apakah batasan yang disebut sebagai Tanah Haram?
Jawapan
Waalaikumussalam. Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT atas segala nikmat diberikan serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Asasnya, Tanah Haram merupakan tempat yang Allah SWT mengharamkan beberapa perkara sehingga ke hari kiamat bagi memelihara kesuciannya. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda ketika hari penaklukan Kota Mekah,
إنَّ هذا البَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَومَ خَلَقَ السَّمَواتِ والأرْضَ، فَهو حَرامٌ بحُرْمَةِ اللهِ إلى يَومِ القِيامَةِ، وإنَّه لَمْ يَحِلَّ القِتالُ فيه لأَحَدٍ قَبْلِي، وَلَمْ يَحِلَّ لي إلّا ساعَةً مِن نَهارٍ، فَهو حَرامٌ بحُرْمَةِ اللهِ إلى يَومِ القِيامَةِ، لا يُعْضَدُ شَوْكُهُ، وَلا يُنَفَّرُ صَيْدُهُ، وَلا يَلْتَقِطُ إلّا مَن عَرَّفَها، وَلا يُخْتَلى خَلاها، فَقالَ العَبّاسُ: يا رَسولَ اللهِ، إلّا الإذْخِرَ، فإنَّه لِقَيْنِهِمْ وَلِبُيُوتِهِمْ، فَقالَ: إلّا الإذْخِرَ.
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan kota ini (Mekah) semenjak Dia menciptakan langit dan bumi. Pengharaman ini berterusan sehingga ke hari kiamat. Sebelumku, tiada siapa yang dihalalkan berperang di negeri ini. Bahkan aku sendiri juga tidak dihalalkan melakukan hal yang sama kecuali sebentar sahaja di siang hari (ketika ingin menakluk kota Mekah). Pengharaman ini berterusan sehingga ke hari kiamat. Pohon yang berduri tak bisa dicabut, tidak boleh memburu binatang, barang yang tercicir tidak boleh diambil melainkan ingin mengumumkan sahaja, serta tumbuh-tumbuhan tidak boleh dipotong.
Al-Abbas berkata: "Kecualikan al-izkhir (pepohon yang wangi baunya seperti serai) wahai Rasulullah kerana ia bermanfaat untuk dijadikan bahan bakar (ganti kepada kayu bakar) dan keperluan rumah (dijadikan bumbung rumah). Rasulullah SAW menjawab: "Baiklah, kecuali al-izkhir”.
Riwayat al-Bukhari (3189)
Berdasarkan hadis Tanah Haram tersebut, ulama’ membahaskan sempadan Tanah Haram sebagai panduan untuk umat Islam agar menjaga pantang larang sepanjang keberadaan di dalam kawasan Tanah Haram bahkan Imam Nawawi Rhm. dalam kitabnya, Tahzib al-Asma’ Wa al-Lughat (3/28) memberi penekanan untuk umat Islam mengetahuinya kerana berkait dengan hukum-hakam yang pelbagai.
Terdapat dua cara penentuan sempadan Tanah Pertama; pertama melalui jalan lama berdasarkan pandangan-pandangan ulama silam dan kedua mengikut jalan baru melalui lebuh raya.
Perkiraan jarak mengikut jalan lama, ulama berbeza pandangan berkenaan jaraknya. Antaranya, An-Nawawi Rhm. (wafat 676H) menyebut,
فَحَدُّ الْحَرَمِ مِنْ جِهَةِ الْمَدِينَةِ دُونَ النتعيم عند بيوت نِفَارٍ عَلَى ثَلَاثَةِ أَمْيَالٍ مِنْ مَكَّةَ وَمِنْ طريق اليمن طرف أضاة لبن في ثنية لِبْنٍ عَلَى سَبْعَةِ أَمْيَالٍ مِنْ مَكَّةَ وَمِنْ طَرِيقِ الطَّائِفِ عَلَى عَرَفَاتٍ مِنْ بَطْنِ نَمِرَةَ عَلَى سَبْعَةِ أَمْيَالٍ وَمِنْ طَرِيقِ الْعِرَاقِ عَلَى ثَنِيَّةِ جَبَلٍ بِالْمَقْطَعِ عَلَى سَبْعَةِ أَمْيَالٍ وَمِنْ طَرِيقِ الْجِعْرَانَةِ فِي شِعْبِ آلِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ خَالِدٍ عَلَى تِسْعَةِ أَمْيَالٍ وَمِنْ طَرِيقِ جَدَّةَ مُنْقَطِعُ الْأَعْشَاشِ عَلَى عَشَرَةِ أَمْيَالٍ مِنْ مَكَّةَ
Maksudnya: Batas Tanah Haram dari arah Madinah adalah sebelum Tan’im (Tan’im sudah dikira tanah halal) di perkampungan Bani Nifar, tiga batu dari Mekah.
Dari arah laluan Yaman pula terletak di hujung Adhaat (tanah berlumpur) Libn – laluan berbukit Libn, tujuh batu dari Mekah.
Dari arah laluan Taif terletak di Arafah di lembah Namirah, tujuh batu (dari Mekah).
Dari arah laluan Iraq terletak di laluan bukit Maqtha’, tujuh batu.
Dari arah laluan Ji'ranah terletak di perkampungan suku Āli Abdullah bin Khalid, sembilan batu.
Dari arah laluan Jeddah terletak di tasik A'syasy (sebahagian daripadanya Tanah Halal, sebahagian lain Tanah Haram), sepuluh batu dari Mekah.
(Satu batu bersamaan dengan 1.6 meter).
(Lihat: al-Majmu’, 7/463)
Manakala perkiraan jarak mengikut jalan baru menggunakan perisian Sistem Kedudukan Sejagat (GPS),
1- Lebuh Raya Jeddah: (21KM): Bermula dari bahagian barat Masjidil Haram pada pintu Raja Fahd melalui lebuh raya Jeddah sehingga bertemu mercu tanda di sisi lebuh raya.
2- Lebuh Raya Laith: (20KM): Bermula dari bahagian selatan Masjidil Haram melalui lebuh raya al-Laith sehinggalah bertemu mercu tanda di sisi jalan.
3- Lebuh Raya Taif – Hada: (14.6KM): Bermula dari bahagian selatan Masjidil Haram melalui lebuh raya (Thaif – Hada) sehinggalah bertemu mercu tanda di sisi jalan berdekatan dengan Universiti Ummu al-Qura.
4- Lebuh Raya Taif – Sail: (13.7KM): Bermula dari bahagian timur Masjidil Haram melalui lebuh raya Thaif sehinggalah bertemu mercu tanda di sisi jalan.
(Lihat: Ahkam al-Haram al-Makki al-Syar’iyyah, m/s 40)
Maka kawasan yang berada dalam lingkungan tanda tersebut termasuk kategori Tanah Haram Mekah. Di dalamnya segala ketentuan hukum syariat yang disebutkan di dalam hadis di atas mesti diikuti dan dituruti. Manakala kawasan atau daerah yang berada di luar lingkungan disebut sebagai Tanah Halal dan hukum-hakam tadi tidak terpakai di sini.
Zaman kini, batas tanah haram Mekah boleh dikenalpasti secara mudah kerana sudah diletakkan mercu tanda seperti menara dari setiap penjuru dan tertulis padanya tulisan bahasa arab dan bahasa asing menyebut batas tanah haram.
Wallahua’lam.