اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1599: ADAKAH DIKENAKAN ZAKAT PADA BARANG PERNIAGAAN YANG TIDAK DINIAGAKAN LAGI?

AK1599.PNG

SOALAN

Assalamualaikum wbt Ustaz. Saya ingin bertanya, dahulu saya ada meniagakan jam tangan secara online. Namun begitu, saya telah lama berhenti berniaga disebabkan kekangan masa yang ada. Stok jam tangan yang tidak terjual ada disimpan di dalam stor rumah saya. Persoalan saya ialah adakah saya dikenakan zakat perniagaan pada stok barangan yang telah terbiar tersebut? Mohon penjelasan. Terima kasih ustaz.

JAWAPAN

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Islam adalah satu agama yang menitikberatkan amalan tolong menolong serta saling melengkapi dan melindungi antara satu sama lain. Ini dapat dibuktikan dengan adanya sistem perekonomian yang ditetapkan syarak kepada seluruh umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Zakat bermaksud kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila telah cukup syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11 dan al-Taqrirat al-Sadidah, Qasm al-Ibadat, hlm. 395)

Antara dalil yang menunjukkan kepada kewajipan zakat perniagaan ialah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”

(Surah al-Baqarah: 267)

Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata daripada Mujahid bahawa yang dimaksudkan pada ayat ini ialah zakat pada harta perniagaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/697) Imam al-Tobari dan Imam al-Mawardi juga menukilkan pendapat yang sama seperti di atas iaitu zakat pada harta yang diniagakan. (Lihat Jami’ al-Bayan fi Takwil al-Quran, 5/558 dan Tafsir al-Mawardi, 1/342)

Syeikh al-Maraghi menyebut, dermakanlah harta kamu yang baik daripada hasil perdagangan dan pertanian kamu, sama ada biji-bijian, buah-buahan mahupun lain-lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/612)

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.A, bahawa:

كانَ رَسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يأمُرُنا أن نُخْرِجَ الزَّكاةَ مِمَّا نعدُّهُ للبَيعِ

Maksudnya: “Nabi SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat barangan yang kami sediakan untuk diniagakan.”

Riwayat Abu Daud (1562)
Ibn ‘Abdul al-Bar menghukumkan sanad hadith ini adalah hasan dalam al-Istizkar.

Kami datangkan juga artikel berkaitan yang pernah dikeluarkan:

Menjawab kepada persoalan ini, zakat perniagaan hanya diwajibkan sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:

i. Pemilikan harta itu hendaklah dengan akad tukar ganti. Contohnya, seperti jual beli, sewa-menyewa, mas kahwin dan sebagainya. Jika pemilikan tersebut kerana warisan, wasiat atau hibah, maka ia tidak dikira sebagai barang perniagaan.

ii. Ketika memiliki harta tersebut, pemiliknya hendaklah berniat meniagakannya, dan niat tersebut hendaklah berterusan. Jika tidak berbuat demikian, harta tersebut tidak dikatakan barang perniagaan walaupun dia berniat selepasnya. Jika dia berniat untuk meniagakan barang tersebut semasa membelinya, kemudian berniat pula menyimpannya tanpa diniagakan, maka barangan itu tidak dikira barang perniagaan dan tidak wajib zakat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/27)

Berdasarkan kepada syarat di atas, barangan yang disimpan sahaja tanpa diurusniagakan tidak wajib dikenakan zakat perniagaan. Hal ini kerana, niat untuk berniaga tanpa disertai dengan perbuatan berniaga bukanlah dikira sebagai hakikat perniagaan yang sebanar. Oleh itu, barangan yang disimpan tersebut tidak mencukupi syarat-syarat wajib zakat perniagaan.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami cenderung mengatakan bahawa barang perniagaan yang tidak diniagakan tidak wajib dikenakan zakat. Ini kerana, syarat wajib zakat perniagaan hendaklah barang tersebut diniagakan dan bukan dibiarkan begitu sahaja. Justeru, status barangan seperti ini bukanlah barang perniagaan namun hanyalah dikira sebagai stok simpanan peribadi.

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan kefahaman kita semua dalam melayari kehidupan dalam ruang lingkup syariat Islam yang sebenar. Amin.