Soalan :
Assalamu’alaikum tuan Mufti, perlukah saya mengangkat tangan semasa membaca doa sebelum tidur ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Berdoa kepada Allah S.W.T merupakan satu ibadah yang dituntut. Para ulama telah menyebutkan beberapa sebab-sebab yang menguatkan kemustajaban doa seseorang. Antara sebab tersebut adalah mengangkat tangan semasa berdoa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu sekiranya seorang lelaki itu mengangkat tangan ke arah-Nya (dalam berdoa), lalu Dia membiarkan kedua tangan tersebut kosong dan tertolak.
Riwayat Al-Tirmizi (3556)
Syeikh ‘Ubaidullah al-Mubarakfuri dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : Pada hadis ini terdapatnya anjuran untuk mengangkat kedua tangan semasa berdoa dan kedua tangan tersebut dirapatkan. Rujuk Mir’aat al-Mafatih Syarah Misykat al-Masabih (7/363).
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa secara umumnya perbuatan mengangkat tangan semasa berdoa itu terbahagi kepada tiga kategori seperti berikut :
Pertama : Doa Yang Dituntut Mengangkat Tangan Padanya
Dalam beberapa nas syarak menjelaskan beberapa kategori doa yang dituntut bagi seseorang itu untuk mengangkat tangan padanya. Antaranya adalah doa istisqa’ (memohon kepada Allah S.W.T agar diturunkan hujan). Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata :
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ لاَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَىْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلاَّ فِي الاِسْتِسْقَاءِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ
Maksudnya : Sesungguhnya Nabi S.A.W tidak mengangkat tangan baginda pada doa-doa baginda melainkan pada istisqa’, sehingga jelas kelihatan putihnya dua ketiak baginda S.A.W.
Riwayat Muslim (895)
Imam Ibn Battal ketika mensyarahkan hadis di atas beliau menukilkan pendapat yang menyebut : Mengangkat kedua tangan semasa doa istisqa’ dan selainnya adalah mustahab (dituntut). Ini kerana ia zahir sikap rendah diri dan kehinaan serta menunduk diri kepada Allah S.W.T. Rujuk Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Battal (3/21).
Manakala berkenaan kenyataan Nabi S.A.W tidak mengangkat kedua tangan baginda ketika berdoa kecuali semasa istisqa’, Imam al-Nawawi menyatakan : ‘’Keadaan sebenarnya tidaklah sedemikian. Kerana banyak riwayat yang sabit bahawa baginda S.A.W mengangkat kedua tangan dalam berdoa selain dari doa istisqa’. Maka ditakwilkan hadis ini kepada maksud Nabi S.A.W tidak mengangkat kedua tangan dengan begitu tinggi sehingga kelihatan putihnya ketiak baginda seperti mana yang baginda lakukan pada doa istisqa’’’. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/190).
Kedua : Doa Yang Tidak Dituntut Mengangkat Tangan Padanya
Manakala ada juga beberapa jenis doa yang tidak dituntut untuk seseorang itu mengangkat tangan padanya. Antaranya adalah doa istiftah atau iftitah yang dibaca oleh seseorang itu pada awal solat. Demikian juga doa yang terdapat di dalam bacaan surah al-Fatihah pada ayat yang keenam. Demikian juga doa-doa yang dibaca ketika sujud. Kesemuanya ini tidak dianjurkan untuk seseorang yang berdoa itu mengangkat tangan padanya.
Ketiga : Doa Yang Tidak Terdapat Anjuran Mengangkat Tangan dan Tidak Pula Dilarang
Dalam kategori ini, ia merujuk kepada majoriti doa-doa yang lain dari sudut hanya dianjurkan berdoa namun tidak disebutkan sama ada baginda mengangkat tangan atau tidak mengangkat tangan. Termasuk dalam kategori ini adalah doa sebelum tidur. Berdoa sebelum tidur adalah dituntut di sisi syarak dan sabit dari perbuatan baginda S.A.W. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A beliau berkata : Nabi S.A.W apabila menuju ke katil (untuk tidur) baginda membaca :
اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ
Maksudnya : Ya Allah dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.
Riwayat Al-Bukhari (7394)
Meskipun begitu, kesemua kategori doa ini secara asasnya digalakkan untuk seseorang yang membacanya untuk mengangkat tangan. Ini kerana mengangkat tangan adalah zahir kerendahan diri dan jiwa seorang hamba kepada Allah S.W.T. Demikian juga ia termasuk antara sebab kemustajaban doa seseorang.
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas kami menyatakan bahawa disunatkan bagi seseorang itu untuk mengangkat tangannya semasa membaca doa sebelum tidur. Ini mengambil asas dalam berdoa adalah menzahirkan kerendahan jiwa serta menimbulkan rasa hina diri di hadapan Allah S.W.T. Meskipun begitu, sekiranya seseorang itu semata membaca doa sebelum tidur tanpa mengangkat kedua tangannya, maka hal ini adalah dibolehkan dan tiada masalah padanya kerana dalam isu ini terdapat padanya keluasan.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.