Soalan
Assalamualaikum Ustaz. Apakah hukum menggunakan barangan yang di beli dengan unsur riba? Seperti pinjaman konvensional kereta ataupun ansuran kad kredit yang ada interest. Adakah barangan tersebut haram digunakan? Saya sangat ingin mengetahuinya. Terima kasih.
Jawapan
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Asas yang perlu dipegang dengan erat ialah riba seperti yang disebut oleh Imam Zahabi Rhm. (wafat 748H) termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Allah memberikan ancaman kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung selain daripada menghilangkan berkat dan limpahan rahmat terhadap suatu transaksi riba yang dijalankan.
(Lihat: al-Kabair, 1/63)
Paling menggerunkan apabila Allah mengisytiharkan perang terhadap mereka yang berseronok dengan urus niaga yang mempunyai unsur riba, tatkala Allah berfirman,
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah menjauhi riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah modal asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
al-Baqarah (279)
Nabi Muhammad SAW juga menyatakan dengan tegas tentang amaran Allah mengenai mereka yang terlibat dalam kancah riba. Abdullah Ibn Masʿud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
لعَن اللهُ آكلَ الرِّبا ومُوكِلَهُ وشاهدَهُ وكاتبَهُ
Maksudnya: Allah melaknat pemakan riba, wakilnya, saksinya, dan penulisnya.
Riwayat Ahmad (5/274)
Persoalan seterusnya berkaitan harta yang terlibat dalam suatu transaksi riba, telah dijawab oleh ulama Usul Fiqh secara tidak langsung. Apabila kita membelek kitab usul fiqh, ulama menyebut bahawa sesuatu pengharaman itu terbahagi kepada dua jenis;
1) Pengharaman disebabkan zat (Haram Lizatihi)
Sesuatu perkara yang secara asalnya memang haram disebabkan dasarnya sendiri memang mempunyai keburukan, kejelikan yang tidak boleh terpisah.
Contohnya; kekufuran, membunuh, minum arak, berzina dan lain-lain.
Kesannya, jika berlaku jual beli arak antara pembeli dan penjual, maka jual beli itu dianggap tidak sah dan batal.
2) Pengharaman disebabkan perkara lain (Haram Lighairihi)
Sesuatu perkara yang asalnya harus namun disebabkan faktor luaran ia menjadi haram.
Contohnya; Jual beli ketika azan kedua solat jumaat. Huraiannya, jual beli secara asalnya adalah harus. Namun, disebabkan penjualan tersebut berlaku ketika azan kedua, maka jual beli ketika itu dihukumkan sebagai haram. Kategori pengharaman ialah Haram Lighairihi.
Kesannya, jika berlaku jual beli contohnya air kelapa ketika azan kedua solat jumaat, maka pembeli dan penjualnya berdosa namun air kelapa tersebut tetap berpindah milik dan halal diminum oleh pembelinya.
Perbezaan kedua-dua kategori Haram di atas memberi implikasi yang besar dalam kebanyakan isu fiqh yang berlaku. Ini kerana jenis yang pertama menafikan dan membatalkan sebarang jual beli yang berlaku manakala jenis yang kedua, jual beli tetap dihalalkan. Walaupun begitu, pihak yang terlibat tetap mendapat dosa. Meminjam kata-kata ulama usul fiqh berkaitan kesan transaksi daripada Haram Lighairihi ini, “Sah tetapi berdosa”.
(Lihat: Muʿjam Usūl al-Fiqh, m/s 105)
Sehubungan dengan itu, melihat kepada pembahagian di atas, kami mengatakan perbuatan membuat pinjaman konvensional yang mempunyai unsur riba adalah haram. Walaupun begitu, dosa pengharaman di atas berkait dengan “pinjaman duit riba yang dibuat” manakala barang yang dibeli menggunakan duit riba boleh digunakan dan menjadi hak milik peminjam. Pandangan ini juga dipegang oleh Majlis Fatwa Palestin, kerjasama bersama Kuliah Syariah, Universiti Kebangsaan Najah[1]
Dalam masa yang sama, pelakunya wajib bertaubat kepada Allah SWT di atas keterlanjuran yang dilakukan dengan perbanyakkan istighfar, amal soleh, dan paling utama berazam untuk tidak mengulanginya kembali. Sebagai syor dan saranan, peminjam perlu sedaya upaya menyelesaikannya secepat mungkin hutang sedia ada jika berkemampuan agar mendapat rebat daripada pihak bank lantas dapat mengurangkan saham riba. Kesemuanya dilakukan bagi menunjukkan bukti kesungguhan melepaskan diri daripada kancah riba.
Wallahuaʿlam.
[1] Rujuk lamanweb https://fatwa.najah.edu/question/ref-297331/