اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1625: ADAKAH KURMA TAHNIK MENJADIKAN AIR KENCING BAYI LELAKI NAJIS MUTAWASSITAH?

شن1625.png

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ingin bertanya, adakah jika mentahnik bayi lelaki berumur bawah dua tahun dan hanya menyusu dengan susu ibu sahaja menukarkan air kencingnya sebagai najis mukhaffafah kepada najis mutawassitah? Adakah kita perlu membasuhnya atau cukup sekadar merenjisnya dengan air?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sepertimana yang kita sedia maklum, najis mukhaffah merupakan najis ringan yang boleh disucikan dengan hanya merenjis-renjiskan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Ia dinamakan dengan nama sedemikian kerana Allah SWT meringankan pada hukumnya dan cara menyucikannya.

Manakala najis mutawassitah pula merupakan najis yang perlu dibasuh dengan sehingga hilang warna, bau dan rasanya. Ia termasuk segala jenis najis-najis yang ada, selain daripada najis mukhaffafah yang akan disebutkan nanti. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 134-135)

Terdapat empat syarat najis mukhaffah, iaitu:

  • Hendaklah ia merupakan air kencing, bukan najis tinja.
  • Hendaklah daripada bayi lelaki, bukan bayi perempuan.
  • Hendaklah bayi tersebut belum mencapai usia dua tahun.
  • Hendaklah bayi tersebut tidak makan dan minum kecuali susu ibu sahaja.

Jika sekiranya tidak cukup salah satu syarat daripada syarat-syarat di atas, maka najis tersebut akan menjadi najis mutawassitah dan perlu dibasuh untuk menyucikannya.

Cara untuk menyucikan najis mukhaffafah ialah dengan merenjis-renjiskan air ke atas tempat yang terkena najis secara gholabah (iaitu memastikan air yang direnjis lebih banyak berbanding air kencing tersebut, tanpa disyaratkan untuk mengalirkannya). Begitu juga, hendaklah disucikan sehingga hilang ‘ain dan sifat najis tersebut. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 134)

Berbalik kepada soalan yang ditanya, ia timbul disebabkan kemusykilan terhadap salah satu syaratnya iaitu hendaklah bayi tersebut tidak makan dan minum kecuali susu ibu sahaja. Maka, persoalannya, adakah kurma yang ditahnikkan ke dalam mulut bayi menjadikan air kencingnya tersebut najis mutawassitah?

Jawapan berkenaan perkara ini disebutkan oleh Syeikh Hasan al-Kaff yang menyatakan bahawa;

لَا يَضُرُّ تَحْنِيكُهُ بِنَحْوِ تَمْرٍ وَ عَسلٍ وَ كَذَلِكَ الدَّوَاءَ وَ مَا يُوضَعُ لِلإصْلاحِ كَمِلْح وَ سُكَر

Maksudnya: Tidak memberi kesan (perubahan najis mukhaffafah kepada mutawassitah) dengan melakukan tahnik terhadap bayi dengan kurma dan madu, begitu juga ubat-ubatan dan apa yang diberikan untuk merawatnya seperti garam dan gula. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 134)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa kurma tahnik yang diberikan kepada bayi lelaki di bawah usia dua tahun yang hanya makan dan minum susu ibu sahaja, tidak memberi kesan kepada najisnya menjadi najis mutawassitah, bahkan masih kekal sebagai najis mukhaffafah. Ini juga termasuk ubat-ubat, gula atau garam yang diberikan kepada bayi tersebut dengan bertujuan untuk merawat dan memulihkannya. Begitu juga, kurma yang diberikan ketika tahnik adalah dalam kuantiti yang amat sedikit dan bersifat sekali sahaja. Lebih penting dari itu, perbuatan tahnik ini dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW terhadap bayi yang baru lahir.

Oleh itu, jawapan bagi soalan di atas ialah air kencing bayi lelaki yang ditahnikkan masih tetap mengambil hukum najis mukhaffafah. Ia hendaklah disucikan dengan hanya merenjis-renjiskan air pada tempat yang terkena najis tersebut serta menghilangkan ‘ain dan sifatnya seperti yang telah disebutkan di atas. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.