اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1635: SEDEKAHKAN LEBIHAN MAKANAN KENDURI KEPADA PUSAT TAHFIZ

 

ak1635

SOALAN

Assalamualaikum wbt Ustaz. Saya ada satu pertanyaan. Sekarang ini menjadi budaya masyarakat kita memberi lebihan makanan kenduri kepada pusat-pusat tahfiz. Adakalanya makanan yang diberi telah basi dan busuk, namun tidak mahu membuangnya dan menghantarnya kepada pusat tahfiz. Persoalan saya, adakah dibolehkan perkara tersebut? Mohon penjelasan daripada ustaz. Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Amalan saling memberi adalah satu amalan mulia yang digalakkan oleh agama Islam. Ini jelas berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW berikut:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Bertukar-tukarlah hadiah nescaya kamu akan saling berkasih-sayang.”

Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ secara mursal (2/908)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menghukumkan sanad hadith ini sebagai hasan dalam Kitab Bulugh al-Maram.

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan, kami mulakan di sini dengan satu firman Allah SWT:

وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِآخِذِيهِ إِلَّا أَن تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya.”

(Surah al-Baqarah: 267)

Imam al-Tobari menafsirkan bahawa janganlah kamu dengan sengaja mendermakan sesuatu yang rendah kualiti, buruk atau tidak baik. (Lihat Jami’ al-Bayan fi Takwil al-Quran, 5/560)

Syeikh al-Maraghi meneyebut, jangan kamu mengambil daripada harta kamu yang sudah tidak berguna lagi bahkan kurang elok lalu kamu dermakan. Mengapa kamu memberikan yang buruk untuk didermakan, padahal kamu sendiri tidak suka menerimanya, malahan kamu pasti berasa jijik dan memejamkan mata, agar kamu tidak melihat kejelekan barang itu. Tidak seorang pun suka melihat perbuatan sedemikian, kecuali orang yang dihinggapi perasaan bersalah dan melawan kebenaran. Ketahuilah bahawa barang yang buruk tidak akan diterima oleh Allah SWT. Seseorang itu tidak akan melakukan perbuatan tersebut kecuali kalau perasaannya bebal. Masakan si pemberi tidak tahu keadaan barangnya sekaligus meremehkan pemberiannya, atau pura-pura tidak tahu keadaan barang-barang yang diberikan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/612-613)

Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, yang dimaksudkan dengan al-khabis di sini ialah pertama, sesuatu yang tidak mengandungi manfaat sama sekali. Kedua, sesuatu yang dibenci oleh jiwa manusia. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/87)

Dalam ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.”

(Surah al-Imran: 92)

Kalimah ‘al-birra’ di dalam ayat di atas adalah seperti berikut kepada tiga pandangan. Pandangan pertama mengatakan bahawa ianya adalah syurga. Pandangan kedua pula mengatakan ianya adalah amal soleh. Pandangan yang ketiga pula mengatakan bahawa ianya adalah satu ketaatan dan ini adalah makna yang bersifat umum. (Lihat Tafsir al-Munir, 2/337)

Syeikh al-Maraghi menyebut tanda pengenalan dan ciri-ciri orang yang beriman ialah mereka yang bercita-cita untuk mendermakan harta yang disayangi pada jalan Allah SWT dengan niat tulus ikhlas dan baik. Sebaliknya, ada dalam kalangan kamu yang ingin mendermakan hartanya, tetapi dia mendermakan harta yang paling buruk dan paling dia tidak sukai. Ini kerana, kecintaan dia menyimpan harta melebihi kecintaannya daripada mendapat keredaan serta balasan pahala daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/838)

Menjawab kepada persoalan di atas, hukum asal mendermakan sesuatu barangan adalah sunat dan digalakkan dalam agama. Namun begitu, sekiranya sesuatu barang yang ingin didermakan itu diyakini telah rosak dan boleh mendatang kemudaratan kepada penerima seperti memberi nasi yang telah basi dan seumpamanya, maka hukumnya adalah haram dan dilarang. Ini bertapatan dengan satu hadith yang diriwayatkan Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Nasihat dan cadangan

Amalan bersedekah adalah amalan yang mulia serta digalakkan di dalam Islam. Namun, sebagai seorang muslim, kita perlulah memerhati terlebih dahulu barang yang ingin disedekahkan agar ianya masih elok dan boleh digunakan lagi. Antara cadangan kami ialah:

  • Pihak penderma menukar kaedah pemberian daripada memberi saki baki lebihan makanan kepada menjemput golongan ini ke majlis tersebut. Di samping dapat bersedekah, tuan rumah juga boleh meminta untuk didoakan oleh anak-anak tahfiz.
  • Perhatikan terlebih dahulu makanan atau barangan yang ingin disedekahkan itu dan pastikan ianya masih boleh digunakan dan dalam keadaan yang baik.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan amalan bersedekah adalah satu amalan yang mulia dan disukai oleh agama Islam. Perbuatan sengaja menyedekah barang-barang yang boleh mendatangkan kemudaratan dan bahaya kepada penerima adalah satu perkara yang haram dan dilarang disisi syarat. Ini dilihat kepada satu kaedah fiqh:

الضَّرَرُ يُزَال

Maksudnya: “Kemudharatan itu dielakkan.”

Perlu difahami, pusat-pusat pengajian seperti ini bukanlah satu tempat buangan barang yang tidak lagi dikehendaki. Perkara ini adalah satu perkara yang perlu dikesali apabila ada penderma menjadikan pusat tahfiz sebagai satu pusat pembuangan barang-barang yang tidak digunakan lagi.

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka fikiran kita semua untuk saling tolong menolong dan hormat menghormati sesama masyarakat dalam kehidupan seharian kita. Amin.