اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1643: HUKUM BERNIAGA DI TEMPAT LARANGAN ATAU TANPA PERMIT

 niaga permit

Soalan:

Apakah hukumnya jika saya membuka warung perniagaan di tempat yang tidak dibenarkan untuk berniaga oleh pihak berkuasa tempatan? Atau jika saya berniaga di tempat yang sah, tapi tidak memohon lesen? Adakah pendapatan saya dikira halal, atau haram?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Hukum asal perniagaan kembali kepada hukum asal dalam muamalat iaitu perhubungan sesama manusia, iaitu harus sehingga adanya dalil yang melarang.

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأَرْضَ ذَلُولا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya: Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.

Surah Al-Mulk (15)

Qaedah fiqh menyebut:

الأصل في المعاملات الإباحة حتى يرد الدليل على خلافه

Maksudnya: Asal segala sesuatu dalam bidang muamalat ialah harus, sehingga adanya dalil yang menyanggahi dan mengharamkannya.

Adapun hadith Sa’id bin Zaid R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيْتَةً فَهِيَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka dia berhak ke atas tanah tersebut.

Sunan Abi Dawud (3073) dan Muwatto (1430)

Hadith ini tidak bermaksud seseorang itu bebas untuk menjalankan perniagaan di mana-mana lokasi yang difikirkan sesuai. Syeikh Khalil al-Saharanfuri sewaktu menjelaskan hadith ini menyatakan bahawa ‘tanah yang mati’ dalam hadith di atas difahami oleh para fuqaha’ sebagai tanah yang tidak bertuan yang berada di luar kawasan suatu negeri, atau tanah yang tidak mempunyai sebarang maslahah untuk negeri atau kampung tersebut. Tanah yang diusahakan itu juga mestilah mendapat keizinan pemerintah terlebih dahulu, dan inilah pandangan yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah, Qadhi Abu Yusuf, Imam Malik sebagaiman dinukilkan oleh Imam al-Syaukani dan Imam Mulla Ali al-Qari. (Rujuk Bazl al-Majhud fi Halli Alfaz Abi Dawud 10/318, Nail al-Autor 6/45 dan Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masobih 6/133)

 

Konteks kenegaraan zaman moden

Dalam konteks kenegaraan pada zaman sekarang, terdapat syarat-syarat tertentu yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap peniaga dan penjaja, antaranya ialah:

  • Tidak dibenarkan penjaja menjalankan perniagaan dalam lingkungan jarak tertentu dari simpang jalan
  • Larangan menjalankan perniagaan di atas tangga kaki lima atau siar kaki awam
  • Tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di mana-mana kawasan yang difikir boleh menimbulkan masalah gangguan kepada lalu lintas dan pejalan kaki.

Larangan-larangan ini sebenarnya telahpun termasuk di bawah hadith Rasulullah SAW yang melarang secara umum segala jenis bentuk kerosakan dan mudarat:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh berbuat kerosakan dan membalas kerosakan orang lain.

Sunan Ibn Majah (2341) dan Al-Muwatto’ (1435)

Satu qaedah fiqh juga menyebut:

الضرر يزال بقدر الإمكان

Maksudnya: Suatu kesusahan atau kemudaratan itu hendaklah di hilangkan semampu yang mungkin.

Selain itu, konsep taqyid al-mubah juga digunapakai, di mana pemerintah berhak mengehadkan perkara-perkara yang pada asalnya adalah harus, namun ia dilarang atas dasar maslahah. Kaedah fiqh menetapkan:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: Polisi dan tindakan pemerintah terhadap rakyat itu hendaklah berdasarkan kepada pertimbangan maslahah (dan mafsadah).

Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami al-Syafi’e: Adalah tidak wajib untuk menuruti arahan pemimpin (al-hakim) yang tidak membawa kepada maslahah ‘ammah. Maka difahami scara mafhum mukhalafah, menurut arahan pemimpin yang mempunyai maslahah ‘ammah ialah wajib. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 3/71)

Maka kami tegaskan, hasil pendapatan daripada perniagaan tanpa lesen, atau yang dijalankan di lokasi yang dilarang oleh pihak berkuasa adalah tetap halal selagi barangan yang dijual adalah halal, akad yang sahih dan tidak melibatkan penipuan atau kezaliman ke atas pembeli.

Namun mentaati arahan pemerintah adalah wajib jika arahan tersebut mempunyai maslahah, dimana larangan berniaga mungkin atas faktor keselamatan, begitu juga peraturan duniawi yang lain.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa tidak mentaati arahan kerajaan dari sudut permohonan lesen atau berniaga di lokasi terlarang tidak menjejaskan status halal pendapatan, tapi ia boleh membawa kepada dosa dari sudut yang lain, seperti ancaman keselamatan, ketidakadilan kepada peniaga lain yang memohon lesan dan sebagainya.

Wallahu a’lam.