اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1657: HUKUM SOLAT JUMAAT DALAM SUASANA COVID-19

 solat jumaat covid 19

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum hadiri solat Jumaat dalam keadaan wabak COVID-19 sedang merebak?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji (1/198)

Solat Jumaat juga merupakan ibadat yang sangat agung dan mempunyai fadhilat yang banyak. Antaranya ialah sebagai penghapus dosa dalam setiap minggu. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya: “Solat Fardhu lima waktu, (Sembahyang) Jumaat hingga ke Jumaat (seterusnya), Ramadahan hingga Ramadhan seterusnya adalah semuanya ini penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar.” 

Riwayat Muslim (209)

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki
  • Sihat tubuh badan.
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201 dan Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), 1/159)

Dalam isu di atas, kami nyatakan di sini pandangan daripada beberapa Badan Fatwa Berautoriti, antaranya:

  • Majlis Fatwa Syar’i UAE: “Haram hukumnya bagi sesiapa yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti virus tersebut untuk berada di tempat yang umum atau pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, berjemaah mahupun solat hari raya. Wajib juga untuk mengambil segala langkah pencegahan.”
  • Majlis Fatwa Wilayah Kurdistan: “Solat Jumaat tidak boleh dibatalkan, melainkan di tempat-tempat di mana virus tersebut telah menjadi satu epidemik yang tersebar secara meluas.” Pendapat yang sama dikemukakan oleh Fatwa Committee of the Assembly of Muslim Jurists of America (AMJA).

Kami nukilkan juga di sini pendapat Syeikh Ali al-Qaradaghi yang menyebut: Harus untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam keadaan virus yang sedang tersebar disebabkan oleh takut dijangkiti virus tersebut. Beliau menyebut keharusan tersebut perlulah disyaratkan bahawa ketakutan penyebaran itu benar-benar yakin berlaku dan bukanlah pada sangkaan semata-mata.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW :

مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ قَالُوا: وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar orang yang melaungkan azan maka tidaklah yang keuzuran menghalangnya dari mengikutinya (hadir solat berjamaah)”. Para sahabat bertanya : “Apa maksud uzur ?”. Jawab Rasulullah SAW: “Ketakutan atau sakit.”

Riwayat Abu Daud (551) dan al-Daraqutni (1/420)

Dan ketakutan itu ada tiga jenis. Iaitu takut ke atas diri sendiri, takut ke atas harta benda, dan juga takut ke atas ahli keluarga. Justeru, berdasarkan apa yang telah disebutkan maka dibolehkan untuk meninggalkan solat Jumaat dan juga solat berjamaah ketika tersebarnya wabak (seperti Covid 19) kerana ia merupakan suatu yang menakutkan.

Akan tetapi ia dengan syarat ketakutan itu hendaklah suatu yang telah ditahqiqkan bukan semata-mata berdasarkan waham (sangkaan). Ini kerana meninggalkan yang wajib tidak dibenarkan kecuali setelah ghalabah zhan (sangkaan yang kuat). Ataupun disebabkan arahan dari ulil amri (pemerintah) dan juga ahli ikhtisas (golongan yang pakar).[1]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili juga menyebut, “Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/497)

 

Kesimpulan

Berdasarkan kepada nas dan pandangan ulama’, kami bahagikan isu ini kepada dua keadaan:

Pertama: Dalam keadaan wabak COVID-19 masih terkawal menurut Kementerian Kesihatan Malaysia

Dalam keadaan ini, solat Jumaat hendaklah diteruskan dengan beberapa syarat seperti:

  • Khutbah dipendekkan
  • Orang ramai berwuduk di rumah
  • Mereka yang ada simptom COVID-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit
  • Pihak masjid atau jemaah juga wajib menyediakan hand sanitizer dan penutup mulut sebagai langkah pencegahan dan keselamatan

Kedua: Dalam keadaan wabak COVID-19 merebak tanpa terkawal (menurut KKM)

Dalam keadaan ini, solat Jumaat boleh untuk tidak dilakukan, tetapi wajib diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing. Dalam hal ini, terdapat beberapa dawabit:

  • Larangan tersebut dengan nasihat pihak yang berautoriti seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  • Larangan tersebut adalah termasuk juga sebarang bentuk acara dan perhimpunan sama ada rasmi atau tidak.
  • Wabak sudah menunjukkan kesannya dan ramai individu telah disahkan positif COVID-19 di tempat tersebut.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

 ____________________________

Nota Hujung:

[1] Lihat laman web Al-Ittihad al-'Alami Li 'Ulama al-Muslimin, “فتوى مفصلة حول الأحكام المتعلقة بانتشار المرض الوبائي فايروس كورونا المستجد (كوفيد-19)” [http://iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=11019]