اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1688 : MUSAFIR SELEPAS MASUK WAKTU SOLAT: ADAKAH BOLEH JAMAK QASAR?

af1688 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Bolehkah saya solat musafir, yakni solat jamak dan qasar, selepas masuk waktu solat di rumah kemudian baru saya keluar bermusafir? Contohnya, saya tinggal di Seri Kembangan. Selepas masuk waktu Zohor, saya bermusafir ke Melaka. Ketika sampai di RnR Seremban, saya solat jamak taqdim dan qasar. Jika dibenarkan, adakah dibenarkan jua kalau saya jamak ta`khir?

 

Jawapan:

Waalakumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Perkara ini terjadi khilaf dalam kalangan ulama. Namun, pendapat yang muktamad bahawa rukhsah tersebut dibenarkan dalam semua keadaan di atas. Dalil mereka ialah firman Allah ﷻ:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang…”

(Surah al-Nisa’ : 101)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

“Maka ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu bandar maka dia boleh qasar apabila dia berpisah dari bangunan yang dinisbah kepada bandar tersebut. Jika pagar kebun-kebun bersambung dengan pagar bandar maka dengan berpisah dari bangunan bandar sudah mengharuskan qasar, kerana kebun-kebun itu bukan daripada bandar, dan jika ada dua kampung bersebelahan maka seseorang yang keluar dari kampungnya (masuk ke kampung sebelah) sudah boleh qasar.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/346)

Contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

صَلَّيْتُ الظُّهْرَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا، وَبِذِي الحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Aku solat Zohor bersama Nabi di Madinah empat rakaat, tetapi di Dzul Hulaifah dua rakaat.”

Riwayat al-Bukhari (1089)

Sebagai catatan, jarak antara Masjid Nabi ﷺ dengan Dzul Hulaifah adalah kira-kira 7 kilometer.

Oleh sebab itu, para ulama fiqh mensyaratkan solat qasar hanya boleh dilakukan apabila sudah tahqiq (dipastikan) musafir dengan keluar dari kawasan bermukim. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/470) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili.

Apabila syarat qasar solat itu ialah keluar daripada kawasan permukiman, maka berlakulah hukum hakam permusafiran. Berdasarkan fakta ini maka boleh digambarkan bahawa seseorang yang keluar bermusafir setelah masuknya waktu solat dibenarkan untuk mengqasarkan solat.

Disebut dalam al-Mu`tamad:

“Adapun jika masuk waktu solat sebelum seseorang itu musafir, dan dia boleh sahaja menunaikannya ketika itu jua, tetapi dia keluar musafir, dia dibenarkan untuk mengqasarkan solat. Ini kerana hukum diambil berdasarkan sifat solat semasa keadaannya semasa ditunaikan, bukan keadaan semasa diwajibkan. Justeru, orang yang menunaikan solat sebagai musafir dibenarkan untuk qasar solat. Permusafiran itu hanya memberi kesan pada bilangan rakaat, bukan pada gugurnya kewajiban solat. Inilah perbezaan dengan hukum datang haid setelah masuk waktu.”

Pendapat ini tidak dipersetujui oleh sebahagian ulama. Pengarang al-Bayan menyebut seperti berikut:

“Apabila masuk waktu solat semasa hadar (tidar musafir), dan boleh untuk melaksanakannya secara tunai, kemudian seseorang itu bermusafir, maka dibenarkan dia untuk qasar. Berkata al-Muzani: Dia tidak boleh qasar. Berkata al-Syeikh Abu Ishak: Hal ini dipersetujui oleh Abu al-Abbas ibn Suraij, kerana kalau seseorang wanita mendapati masuk waktu solat semasa hadar (tidak bermusafir), dan dia boleh untuk menunaikannya, kemudian dia berhaid sebelum solat, maka solat itu tidak gugur (hendak diganti).”

Rujuk al-Bayan fi Madzhab Imam al-Syafie (2/483) oleh Imam Abu al-Hussein al-Imrani

Isu yang kedua; sekiranya solat qasar boleh dilaksanakan seperti gambaran di atas, maka adakah ini termasuk solat jamak; sama ada jamak taqdim atau ta’khir?

Jawapannya, betul kerana salah satu syarat sah solat jamak ialah musafir dan tiada penghalang untuk mengatakan sebaliknya. Syeikh Hasan al-Kaf menyebut fakta ini di dalam al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm.321):

“Apabila seseorang itu mendapati waktu solat pertama telah masuk tetapi dia tidak menunaikannya, kemudian dia bermusafir pada waktu pertama itu, maka dibenarkan baginya untuk jamak ta`khir dengan syarat dia berniat jamak selepas dia keluar berpisah daripada umran (bandar/kampung/kawasan permukiman), dan tidak wajib ke atasnya untuk menunaikan solat pertama pada waktunya.”

Ini menunjukkan bahawa boleh baginya untuk jamak taqdim mahupun jamak ta’khir.

Berdasarkan fakta dan keterangan diataskan, kami cenderung kepada pendapat muktamad mazhab al-Syafie bahawa diharuskan bagi seseorang yang bermusafir selepas masuk waktu solat pertama, bagi solat-solat yang boleh dijamakkan, untuk mengambil rukhsah solat jamak dan qasar, kerana hukum rukhsah itu diambilkira apabila berlakunya permusafiran dan menqasarkan solat atau menjamakkannya bukanlah menggugurkan kewajiban solat itu. Namun begitu, mengambil langkah keluar daripada khilaf ulama itu adalah jalan terbaik jika tiada keperluan. Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan penyelesaian kepada penanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ menerima ibadah kita yang dibuat dengan ikhlas dan sesuai dengan Sunnah Rasulullah ﷺ. Amin.