اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL- KAFI #1692 : BOLEHKAH ISTERI MELAKUKAN IQAMAH KETIKA SOLAT BERDUA BERSAMA SUAMI ?

AK1692

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, bolehkah seorang isteri melakukan iqamah ketika mendirikan solat berjamaah bersama dengan suami di rumah ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji ada menyebutkan : ‘’Disunatkan bagi orang perempuan untuk iqamah. Ini kerana ia (iqamah) bertujuan untuk  mengajak mereka yang telah hadir (untuk mendirikan solat) serta tidak ada padanya meninggikan suara seperti azan’’. Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji (1/115).

Antara riwayat yang menunjukkan bahawa seorang perempuan itu boleh untuk melakukan iqamah adalah daripada A’isyah R.Anha :

أَنَّهَا كَانَتْ تُؤَذِّنُ، وَتُقِيمُ، وَتَؤُمُّ النِّسَاءَ

Maksudnya : Beliau mengumandangkan azan, iqamah, serta menjadi imam kepada orang perempuan.

Riwayat Al-Hakim, Al-Mustadrak (730)

Berdasarkan riwayat di atas jelas menunjukkan bahawa dibolehkan bagi seorang perempuan itu untuk melaungkan azan, iqamah, dan juga menjadi imam sesama mereka. Meskipun begitu, perlu dijelaskan bahawa keharusan ini hanyalah apabila solat tersebut dilakukan dalam kalangan orang perempuan sahaja atau ketika perempuan tersebut solat secara bersendirian. Adapun ketika solat berjemaah yang melibatkan orang lelaki, maka tidak dibolehkan untuk orang perempuan melakukan perkara-perkara tersebut.

Ini kerana, apabila terdapatnya orang lelaki di dalam jemaah solat yang melibatkan jemaah lelaki dan perempuan, maka yang dituntut untuk melaungkan azan, menjadi imam, serta melaungkan iqamah adalah orang lelaki sendiri. Imam Ibn Hajar Al-Haitami menyebutkan :

فَلَا يَصِحُّ أَذَانُ امْرَأَةٍ وَخُنْثَى لِرِجَالٍ

Maksudnya : Tidak sah azan orang perempuan orang perempuan dan juga khunsa bagi orang lelaki.

Rujuk Tuhfah Al-Muhtaj, Ibn Hajar Al-Haitami (1/472)

Manakala Imam al-Khatib al-Syarbini menambah :

لَا فَرْقَ فِي الرِّجَالِ بَيْنَ الْمَحَارِمِ وَغَيْرِهِمْ

Maksudnya : Tidak ada beza pada orang lelaki itu (yang tidak boleh bagi orang perempuan azan kepadanya) antara mahram dan juga bukan mahram.

Rujuk Mughni al-Muhtaj, Al-Khatib al-Syarbini (1/323)

Oleh yang demikian, mengambil kira bahawa iqamah mengambil hukum azan dalam banyak keadaan maka kami menyatakan bahawa tidak boleh untuk orang perempuan iqamah dengan keberadaan orang lelaki sama ada lelaki tersebut merupakan mahram baginya ataupun bukan.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum seorang isteri melakukan iqamah ketika solat berdua bersama suaminya adalah tidak perlu. Bahkan suami tersebut yang sepatutnya melakukan iqamah bagi mendirikan solat berjemaah. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.