اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL- KAFI #1693 : HUKUM MELAKUKAN SOLAT JENAZAH SECARA BERSENDIRIAN

AK1693

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, apakah hukumnya seseorang itu menunaikan solat jenazah secara bersendirian ? Adakah sah solat tersebut ? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat jenazah merupakan salah satu fardhu kifayah ke atas diri seorang muslim terhadap saudaranya yang telah meninggal dunia. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan solat jenazah. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

 مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Maksudnya : Tidak ada seorang lelaki muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut).

Riwayat Muslim (948)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami nukilkan pendapat Imam Al-Nawawi yang menyebut :

تَجُوزُ صَلَاةُ الْجِنَازَةِ فُرَادَى بِلَا خِلَافٍ وَالسُّنَّةُ أَنْ يُصَلَّى جَمَاعَةً

Maksudnya : Harus solat jenazah secara seorang diri tanpa khilaf (dalam kalangan para ulama) dan yang sunnahnya adalah ia didirikan secara berjamaah.

Rujuk Al Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/214)

Antara dalil yang menunjukkan bahawa solat jenazah dituntut untuk dilakukan secara berjemaah adalah hadis riwayat Ibn Abbas di atas. Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Hubayrah beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيُصَلِّي عَلَيْهِ ثَلاَثَةُ صُفُوفٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ إِلاَّ أَوْجَبَ

Maksudnya : Tidaklah seorang muslim yang meninggal dunia lalu disolatkan ke atas jenazahnya itu tiga saf dari kalangan umat Islam melainkan wajib baginya (masuk ke dalam syurga).

Riwayat Abu Daud (3166)

Begitu juga terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

 مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيهِ 

Maksudnya : Tidaklah seorang mayat yang disolatkan ke atas jenazahnya umat Islam yang mencecah seratus orang yang mana kesemuanya memberi syafaat kepada mereka, melainkan akan diberikan syafaat mereka kepadanya (jenazah).

Riwayat Muslim (947)

Berdasarkan beberapa hadis di atas, jelas kepada kita bahawa lebih ramai manusia yang mendirikan solat jenazah maka itu adalah lebih baik dan bermanfaat buat jenazah. Meskipun begitu, para fuqaha’ menyatakan bahawa berjemaah bagi solat jenazah ini hukumnya adalah sunat sahaja. Demikian juga mereka tidak memasukkan berjemaah itu sebagai syarat sah solat jenazah. Oleh yang demikian, adalah dibolehkan untuk seseorang itu melakukan solat jenazah secara bersendirian. 

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum mendirikan solat jenazah secara seorang diri adalah harus dan sah. Meskipun begitu, yang lebih afdhal menepati sunnah adalah solat jenazah itu dilakukan secara berjemaah berdasarkan beberapa hadis yang telah kami kongsikan di atas.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.