اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1710 : HUKUM BERPUASA QADHA’ PADA HARI SYAK

 

AK1710

Soalan :

Salam ustaz, boleh ke seseorang ganti puasa tahun lepas pada hari terakhir Sya'ban (sedangkan hari itu diharamkan puasa sebab Ramadhan adalah keesokan harinya).

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Yang dimaksudkan dengan hari syak adalah hari yang ke- 30 dari bulan Sya’ban sebagaimana yang dinyatakan oleh para fuqaha’. Imam Al-Nawawi berkata :

قَالَ أَصْحَابُنَا يَوْمُ الشَّكِّ هُوَ يَوْمُ الثَّلَاثِينَ مِنْ شَعْبَانَ

Maksudnya : Para ashab kami berkata bahawa hari syak adalah hari ke- 30 dari bulan Sya’ban.

Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (6/401)

Hukum berpuasa pada hari syak secara umumnya adalah haram sekiranya tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh syarak. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Silah beliau berkata :

كُنَّا عِنْدَ عَمَّارٍ فِي الْيَوْمِ الَّذِي يُشَكُّ فِيهِ فَأُتِيَ بِشَاةٍ فَتَنَحَّى بَعْضُ الْقَوْمِ فَقَالَ عَمَّارٌ مَنْ صَامَ هَذَا الْيَوْمَ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya : Kami berada di sisi ‘Ammar (bin Yasir R.A) pada hari syak. Kemudian beliau dihidangkan dengan daging kambing, maka sebahagian orang menjauhkan diri dari memakannya. Lalu ‘Ammar berkata : ‘’Sesiapa yang berpuasa pada hari ini (hari syak) sesungguhnya dia telah menderhakai Abu al-Qasim S.A.W’’.

Riwayat Abu Daud (2334)

Imam Al-Nawawi berkata :

وإن صام فيه عن فرض عليه كره وأجزأه

Maksudnya : Sekiranya seseorang berpuasa padanya (hari syak) yang menjadi kefardhuan ke atas dirinya, maka ia dimakruhkan dan puasa tersebut adalah sah.

Kemudian Imam Al-Nawawi berkata lagi :

لَا يَصِحُّ صَوْمُ يَوْمِ الشَّكِّ عَنْ رَمَضَانَ بِلَا خِلَافٍ لِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ فَإِنْ صَامَهُ عَنْ قَضَاءٍ أَوْ نَذْرٍ أَوْ كفارة أجزأه

Maksudnya : Tidak sah berpuasa pada hari syak (sebagai puasa) Ramadhan tanpa sebarang khilaf (di sisi para ulama) berdasarkan apa yang disebutkan oleh musannif (pengarang kitab). Sekiranya seseorang itu berpuasa qadha’, nazar, atau kaffarah padanya (hari syak) maka puasanya sah.

Kemudian beliau menukilkan dua pendapat antara yang memakruhkan hal tersebut dan juga ulama yang tidak memakruhkannya. Jumhur Al-Syafi’eyyah mengatakan bahawa ia tidak makruh.

Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Al-Nawawi (6/399)

Antara hujah yang menguatkan pendapat di atas adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

لاَ تَقَدَّمُوا صَوْمَ رَمَضَانَ بِيَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ صَوْمًا يَصُومُهُ رَجُلٌ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الصَّوْمَ

Maksudnya : Janganlah kamu mendahulukan puasa Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari (sebelumnya) melainkan seseorang yang berpuasa lalu hari tersebut jatuh pada hari dia berpuasa, maka dia boleh berpuasa pada hari tersebut.

Riwayat Abu Daud (2335)

Justeru, hadis ini secara umumnya melarang seseorang itu untuk berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum masuknya bulan Ramadhan. Namun, diberikan pengecualian bagi seseorang yang sudah melazimi puasa sunat, kemudian hari kebiasaan dia berpuasa jatuh pada hari larangan tersebut. Sebagai contoh, seseorang yang melazimi puasa sunat Nabi Daud iaitu puasa sehari dan tidak berpuasa sehari, maka jika dia berpuasa dan esoknya tidak berpuasa, masuk hari berikutnya yang dia sepatutnya berpuasa merupakan hari syak, maka untuk orang ini tidak ada masalah baginya berpuasa pada hari tersebut meskipun ia merupakan sehari atau dua hari sebelum Ramadhan. Demikian juga bagi mereka yang melazimi puasa pada hari Isnin dan juga Khamis.

Imam Al-Nawawi ketika mengulas isu ini beliau berkata :

لِأَنَّهُ إذَا جَازَ أَنْ يَصُومَ فِيهِ تَطَوُّعًا لَهُ سَبَبٌ فَالْفَرْضُ أَوْلَى

Maksudnya : Ini kerana, apabila dibolehkan untuk seseorang berpuasa sunat yang mempunyai sebab padanya (hari syak), maka puasa fardhu pasti lebih utama.

Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (6/400)

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas, kami menyatakan bahawa hukum berpuasa qadha’ pada hari syak adalah sah dan dibolehkan. Lebih-lebih lagi tempoh masa untuk melakukan qadha’ puasa telah sempit pada waktu tersebut, maka dibolehkan baginya untuk qadha puasa pada hari tersebut.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.