اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1725: HUKUM BERTARANNUM KETIKA SOLAT

ak1725

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan tarannum ketika solat. Ada orang kata tidak digalakkan membaca surah dengan bertarannum ketika solat kerana takut ada kesalahan panjang pendek dalam bacaannya atau kesalahan tajwid. Jadi bolehkah mufti jelaskan tentang perkara ini.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tarannum merupakan seni bacaan atau kaedah suara yang dipelbagaikan iramanya mengikut proses nada dan lontaran rentak suara yang tertentu bertujuan untuk mencantikkan seni bunyi khususnya dalam bacaan al-Quran. Ianya merangkumi dua bahagian iaitu Hijaz dan Misri. Kesemua ini merupakan seni suara yang bertujuan untuk memperelokkan seni suara. (Rujuk artikel AL-KAFI #721: HUKUM BERTARANNUM SELAIN DARIPADA AL-QURAN)

Imam Ibnu Hajar menaqalkan pandangan al-Tobari menyebut bahawa Tarannum tidak akan terjadi melainkan pada suara, apabila sedap bacaan seseorang qari maka asyik apabila mendengarnya. (Lihat Fath al-Bari li Ibnu Hajar,9/71)

Membaca al-Quran merupakan perkara yang sangat dituntut di dalam agama dan digalakkan membacanya dengan baik dan sempurna. Jelas bahawa adab membaca al-Quran adalah dengan baik bacaannya dan ia dibaca secara jelas dan tartil iaitu memperelokkan sebutan huruf, wakaf ibtida’ dan sebagainya. Ini sepertimana Firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Maksudnya: dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil"

(Surah al-Muzammil, 4)

Imam Qurtubi mentafsirkan ayat di atas menyatakan, yang dimaksudkan janganlah membaca al-Quran bahkan dengan bacaan secara teratur, jelas serta mendalami maknanya. Imam Qurtubi menaqalkan pandangan al-Dhahhak dengan menyatakan, baca secara huruf ke huruf. Mujahid menyebut (الترتيل) mengatur dan memperbaikkan susunan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 19/38)

Syeikh al-Maraghi menyebut (الترتيل) iaitu membaca dengan bacaan yang tertatur dan secara perlahan. Ini kerana akan membantunya untuk memahami dan mentadabburkan al-Quran. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 29/111)

Hal ini disebabkan Allah SWT memerintahkan kepada sesiapa yang membaca al-Quran seharusnya membaca dengan sebaik-baik bacaan tanpa mengubah maksud ayat al-Quran. Selain itu saranan Baginda Nabi SAW supaya memperindahkan bacaannya dengan suara dan lagu yang sedap untuk didengari. Ini sepertimana hadis yang dirirwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ ‏"‏‏.‏ وَزَادَ غَيْرُهُ ‏"‏ يَجْهَرُ بِهِ

Maksudnya: Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak memperindahkan bacaan al-Quran. “Sebahagian yang lain menyebut” menyaringkannya

Riwayat al-Bukhari (7527)

Begitu juga, di dalam hadis yang lain, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

مَا أَذِنَ اللَّهُ لِشَيْءٍ مَا أَذِنَ لِلنَّبِيِّ أَنْ يَتَغَنَّى بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: Tidaklah Allah mengizinkan bagi sesuatu apa yang Allah izinkan bagi Nabi iaitu supaya memperlagukan (memperelokkan bacaan) al-Quran.

Riwayat al-Bukhari (5024)

Imam al-Nawawi menyebut para ulama dari kalangan Salaf dan khalaf bersepakat bahawa disunatkan untuk memperelokkan suara apabila membaca al-Quran dengan suara dan perilaku mereka. Imam al-Nawawi menyebut lagi, Maksud (لَمْ يَتَغَنَّ) iaitu tidak memperelokkan suaranya. Para ulama menyebut disunatkan membaca dengan suara yang elok dengan bacaan mengikut susunannya tanpa keluar daripada had yang ditetapkan dalam bacaan al-Quran seperti panjangnya sehingga berlaku penambahan huruf atau pengurangan huruf maka perbuatan itu adalah haram.  (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, 1/109-110)

Dalam menggariskan syarat sah bacaan ketika solat Dr. Muhammad Zuhaili menyatakan di antaranya adalah bacaan yang sahih. Dan mesti memastikan I’rabnya tidak menghilang dan menukar makna ayat. Selain itu mestilah menghindari daripada kesalahan tatabahasa yang menukarkan maksudnya seperti menukar baris daripada fathah kepada dhommah atau kasrah. Sekiranya ia melakukan dan mengetahui akan kesalahan itu, maka batal solatnya. Dan sekiranya ia terlupa maka wajib mengulanginya. Dan sekiranya kesalahan tatabahasa atau lagu itu tidak memberi kesan kepada makna ayat maka tidak batal solatnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/255)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan perbahasan yang diberikan dapat disimpulkan bahawa membaca al-Quran dengan bertarannum dan melagukan bacaan al-Quran adalah digalakkan mengikut saranan hadis Nabi SAW supaya memperindahkan bacaan seperti yang disebutkan di atas.

Namun Imam harus berhati-hati dari sudut sebutan huruf, panjang pendek serta tajwid dalam bacaannya supaya tidak mengubah maksud serta makna ayat al-Quran itu sendiri. Begitu juga, sebaiknya imam bertarannum dan melagukan bacaan secara tartil dan mengikut kesesuaian keadaan dan para makmumnya sehingga tidak memberi kekeliruan pada orang awam dalam bacaannya. Begitu juga, bacaannya tidak terlalu panjang di dalam solatnya sehingga menyusahkan para makmum.

Ini seperti yang disebut oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya: Perkara bid’ah yang mungkar dalam membaca al-Quran di antaranya adalah mengelirukan para makmum dengan bacaannya dan menjadikan sembahyang itu terlalu panjang dan menyusahkan para makmum serta terlalu laju dalam bacaan al-Quran. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, 1/118)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan