اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1727: BOLEHKAH MEMPAMERKAN TUTORIAL KOSMETIK YANG MELIBATKAN MODEL WAJAH WANITA DI MEDIA SOSIAL ?

solek

 

SOALAN

Saya mempunyai kemusykilan dan tercari-cari jawapan. Saya merupakan perniaga produk kosmetik dan alat kosmetik. Persoalannya, bolehkah saya berniaga  secara  langsung atas talian (online) dengan mempamerkan tutorial penjagaan wajah wanita  mahupun solekan wajah wanita, lebih-lebih lagi perniagaan pada musim wabak Covid-19. Adakah dikira mendedahkan  aurat walaupun muka sahaja dan bertudung. Apakah tatacara yang boleh dicontohi perniaga kosmetik seperti saya ? ataupun lebih baik saya tinggalkan perniagaan tersebut. Diharap Tuan dan ahli pasukan dapat membantu. Terima kasih 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat

Realiti terkini,   peniaga  produk   kosmetik  dan alat solek  menggunakan rangkaian media sosial  sebagai wasilah untuk mempromosikan produk mereka. Peniaga kosmetik mempamerkan video tutorial solekan  mahupun tutorial penjagaan wajah secara  langsung bagi tatapan umum pada ruangan Faceook Live  mahupun Instagram Live dengan tujuan memasarkan produk mereka. Persoalanya, bolehkah mempamerkan model wajah wanita  bagi tatapan umum    walaupun bertudung ?  Pada asasnya wajah wanita  bukan aurat kerana termasuk  anggota zahir yang boleh didedahkan namun solekan pada wajah  wanita  hanya pada kadar yang tidak melampaui batas agar terhindar daripada fitnah.  Hal tersebut berdasarkan dalil yang ditetapkan syarak seperti berikut:

Firman Allah SWT

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

Surah al-Nur: (31)

Ayat tersebut menerangkan kewajipan kaum wanita menyembunyikan perhiasannya  melainkan apa yang zahir. Maksud perhiasan  merujuk kepada dua jenis iaitu pakaian yang menutup tubuh badan dan alat perhiasan. (Lihat: Tafsir al-Kabir (23/363). Sementara, makna ayat “kecuali apa yang zahir” ialah muka dan dua tapak tangan (Lihat: Tafsir al-Quran al-Azim (6/42). Oleh itu,  batasan aurat wanita dihadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua  tapak tangan. Sayyid Qutb dalam mentafsirkan ayat tersebut menyatakan : “Hiasan kecantikan adalah halal bagi wanita kerana menepati  fitrah semulajadi mereka. Islam tidak menentang keinginan fitrah wanita namun perlu  dikawal dengan garis panduan (dawabit) yang  ditetapkan.( Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran (4/2512).

Wanita tidak dibenarkan tabarruj iaitu berlebih-lebihan dalam berhias  untuk   mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

Surah al-Ahzab (33)

Sehubungan itu, cara mempromosikan produk kosmetik dengan mempamerkan  tutorial wanita yang  disolek secara berlebihan adalah bertentangan syarak selain dibimbangi boleh menimbulkan fitnah kerana tertumpu kepada kecantikan wajahnya. Bahkan,   kaum wanita perlu berusaha untuk mengelakkan sebarang fitnah dan menutup pintu  yang membawa kerosakan (sadd al-zara’i).   Ini berdasarkan  kaedah berikut :

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

MaksudnyaBerhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

MaksudnyaBarangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang. 

Syor dan Cadangan

Pelbagai jenis produk kosmetik  yang dijual di pasaran yang merangkumi produk penjagaan kulit “skincare “ mahupun produk kosmetik untuk solekan wajah.  Penggunaan produk kosmetik bagi menzahirkan impresi lebih sihat selain bertujuan melengkapkan penampilan zahir  yang boleh diklasifikasikan sebagai  tahsiniyyah (pelengkap). Namun pengggunaan produk kosmetik tidak boleh keterlaluan sehingga boleh menarik perhatian ajnabi.  Lantaran itu,  kami  akan mengesyorkan beberapa tatacara  mempromosikan produk kosmetik seperti berikut:

  1. Kami  mencadangkan agar para peniaga  produk kosmetik solekan wajah “make-up” untuk menyediakan pautan kumpulan telegram  (group telegram) yang khusus disertai oleh kaum wanita sahaja sekaligus mempamerkan tutorial “make-up” wajah  daripada model wanita. Hal ini kerana  produk kosmetik solekan sememangnya khusus digunakan oleh kaum wanita untuk tujuan perhiasan diri. Usaha mempromosikan produk kosmetik dengan mempamerkan tutorial solekan melalui mekanisme yang lebih tertutup adalah  lebih selamat dan terhindar daripada fitnah.
  2. Kami turut mengesyorkan agar para peniaga memberi contoh tutorial solekan sederhana ‘minimalis’ kepada pelanggan seperti pengunaan pemerah bibir (gincu)  pada kadar  yang tidak menyerlah hanya untuk menghilangkan pucat pada bibir. Sementara, tatarias wajah hanya untuk menutupi pucat pada wajah agar kelihatan semulajadi tanpa  mengubah bentuk asalnya. Hal ini kerana wanita hanya berhak berhias secara berlebihan dihadapan suaminya.  Walaubagaimanapun, video tutorial   solekan wanita tidak  boleh  disebarluaskan ke rangkaian media sosial.
  3. Adapun, tutorial penjagaan kulit wajah (skincare) daripada kalangan model lelaki boleh  dipromosikan  secara terbuka pada ruangan  Facebook LiveInstagram Live mahupun rangkaian media sosial yang lain. Hal ini kerana  produk kosmetik penjagaan kulit  (skincare)  seperti  produk krim wajah, pelembab, serum, pembersih muka dan masker boleh digunakan oleh jantina lelaki dan perempuan.
  4. Peniaga  juga boleh   mempromosikan produk penjagaan wajah secara atas talian dengan menerangkan khasiat produk mereka serta bukti testimoni melalui pengakuan pengguna.
  5. Seterusnya, para  peniaga kosmetik juga perlu memastikan produk yang dipasarkan  daripada bahan yang halal dan tidak memudaratkan.

Penutup

Setelah meneliti hujah yang dikemukakan, kami simpulkan bahawa harus  menjual dan mempromosikan produk kosmetik sekiranya  tidak terdapat unsur yang bertentangan dengan syarak  seperti mempamerkan solekan model wanita  secara berlebih-lebihan.  Hal ini kerana keinginan memenuhi  fitrah manusia untuk tampil cantik dan menawan terutamanya golongan wanita  mestilah berpandukan piawaian yang ditetapkan oleh  syarak. Tambahan pula, tujuan penggunaan produk kosmetik  hanya sekadar menutupi pucat pada wajah selain tampil berkeyakinan dan lebih ceria agar disenangi ketika berinteraksi kepada sesiapa sahaja.

Akhir kalam, semoga kita dapat menjalankan kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar. Ameen