SOALAN
Assalamualaikum WBT. Saya ingin bertanya, adakah wang yang kita laburkan ke dalam pelaburan digital menggunakan robo-advisor dikategorikan sebagai wang simpanan yang diwajibkan untuk dikeluarkan zakat simpanan?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Wajib untuk dikeluarkan zakat simpanan bagi pelaburan digital yang menggunakan robo-advisor, jika sekiranya mencapai nisabnya iaitu nilai 85 gram emas dan tempoh simpanan tersebut mencukupi haul (genap setahun). Hal ini kerana ia merupakan wang simpanan dan pelaburan yang berkembang, maka ia menjadi sumber untuk dikeluarkan zakat.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertamanya, harus difahami bahawa matawang mempunyai nilai tukaran dan kuasa membeli yang setaraf dengan emas dan perak. Jika dilihat, nilai pelaburan di platform pelaburan digital yang disebutkan adalah ditunjukan bentuk tunai dan ia boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, maka ia dikategorikan sebagai wang simpanan.
Justeru, nisab bagi wang simpanan ini adalah mengikut kepada nisab emas dan perak iaitu nilai 85 gram emas atau 595 gram perak. Jika sekiranya cukup nisab ini dan tempoh simpanan mencukupi haul (genap setahun), maka wajib dikeluarkan zakat simpanan sebanyak 2.5% daripada jumlah wang simpanan tersebut. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا ، فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ
Maksudnya: Apabila kamu memiliki 200 dirham dan telah cukup haul, maka diwajibkan zakat sebanyak lima dirham. Dan tidak diwajibkan ke atas mu iaitu mengelurkan zakat emas, kecuali jika kamu memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar dan telah cukup haul, maka diwajibkan zakat setengah dinar. Demikian pada setiap pertambahan, maka perkiraannya seperti berikut.
Hadith riwayat Abu Daud: (1572)
Selain itu, simpanan untuk pelaburan seperti yang ditanya adalah termasuk di dalam harta simpanan yang berkembang, maka ia menjadi sumber untuk dibayarkan zakat. Hal ini berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:
كل مال نام فهو وعاء للزكاة
Maksudnya: Setiap harta yang berkembang adalah menjadi sumber untuk zakat.
Manakala bagi kaedah pengiraan yang lebih tepat dan cara pembayarannya, ia hendaklah dirujuk kepada Pusat Pengurusan Zakat di negeri masing-masing.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa wang simpanan yang dilaburkan di dalam pelaburan digital yang menggunakan robo-advisor adalah wajib untuk dikeluarkan zakat, jika sekiranya mencapai nisabnya dan tempoh simpanan tersebut mencukupi haul (genap setahun).
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.
WaAllahu a’lam.