اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1738 : STATUS ROTI CANAI DARI TELUR AYAM YANG TIDAK DIBASUH

TELUR AYAM

 

SOALAN.

Assalamualaikum,  Saya agak risau terhadap penebar roti canai yang menguli tepung kemudian menggunakan telur ayam yang tidak dibasuh terlebih dahulu, sudah pasti najis pada kulit telur tersebar kepada semua roti canai yang ditebarnya. Persoalannya, apakah status makanan yang telah terkena najis? Mohon pencerahan S.S Mufti,Terima kasih

RINGKASAN JAWAPAN :

 

Roti canai daripada telur ayam yang tidak dibasuh adalah halal dimakan selagi mana tidak terdapat najis yang dilihat pada kulit telur tersebut yang dipindahkan kepada tepung yang diuli. Sekiranya jelas terdapat najis pada kulit telur ayam, dan dipindahkan kepada tepung yang diuli maka hukumnya adalah najis dan haram dimakan. Hal ini kerana makanan tersebut kotor dan tidak menepati konsep halalan tayyiban. Oleh itu, umat Islam dilarang  memakan segala jenis  makanan yang telah terjejas najis.

Huraian Jawapan :

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pada asasnya, roti canai daripada telur yang tidak dibasuh adalah halal dimakan walaupun penebar roti canai ada menyentuh kulit telur tersebut kemudian mengulinya. Hal demikian selagi mana tidak terdapat najis pada kulit telur tersebut yang dipindahkan kepada tepung yang diuli. Perkara tersebut telah kami bahaskan pada ruangan artikel berikut:

Namun, timbul isu terhadap kebersihan roti canai sekiranya tangan penebar  roti canai terkena tahi yang  masih melekat pada telur ayam, lalu menebar roti canai tanpa membasuh tangan. Sudah pasti makanan tersebut telah tercemar najis. Justeru, pada ruangan artikel kali ini, fokus kami terhadap isu  status makanan yang terkena najis seperti roti canai dan makanan lain. 

Kami mulakan dengan mengatakan status tahi haiwan  adalah najis sama ada haiwan yang boleh dimakan atau tidak boleh dimakan menurut mazhab Syafie. Hal ini berdasarkan keumuman hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَجَرَيْنِ وَرَوْثَةٍ فَأَخَذَ الْحَجَرَيْنِ وَأَلْقَى الرَّوْثَةَ وَقَالَ إنَّهَا رِكْسٌ

Maksudnya: “Rasulullah  S.A.W apabila dibawa dua biji batu dan najis binatang (yang telah keras) untuk beristinjak maka baginda telah mengambil batu dan membuang najis binatang tersebut, lalu berkata “Ini adalah kotoran”.

Riwayat al-Bukhari (156) dan Ahmad (3685)

أَنَّ مَذْهَبَنَا أَنَّ جميع الارواث والدرق وَالْبَوْلِ نَجِسَةٌ مِنْ كُلِّ الْحَيَوَانِ سَوَاءٌ الْمَأْكُولُ وَغَيْرُهُ

Berkata Imam al-Nawawi: “Bahawasanya  dalam mazhab kami (Syafi’ie)  semua tahi haiwan, tahi burung dan air kencing adalah najis sama ada berasal dari haiwan yang boleh dimakan atau tidak boleh dimakan. (Rujuk: al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 2/550).

Seterusnya, makanan yang halal mestilah suci.  Ini berpandukan   ungkapan halalan  yang disusuli perkataan  ṭayyiban  dalam   firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

Surah al-Baqarah  (168)

Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya ketika mensyarahkan ayat diatas memberi makna al-tayyib:

“Al-tayyib  dari segi bahasa ialah suci dan halal disifatkan dengan segala yang baik. Ini kerana perkara yang haram disifatkan dengan segala kekotoran. Makna  al-thayyib pada  asalnya ialah apa yang   disukai  dan  didapati baik oleh citarasa manusia selain disifatkan bersih dan halal  dari segi perumpamaan. Ini kerana najis itu sesuatu yang dibenci oleh jiwa  “(Rujuk:Tafsir ar-Razi Mafatih al-Ghayb, 5/185). Sementara, Imam al-Thabari Rahimahullah   menyatakan definisi thayyiban (baik) dengan katanya:

"طيبًا" فإنه يعني به طاهرًا غير نَجس ولا محرَّم

 ’Iaitu suci dan bersih dari najis dan keharaman’’. (Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir al-Thabari (3/301).Oleh itu, dapat difahami bahawa lafaz al-ṭayyib  iaitu suci sebagai sifat makanan yang halal.

Seterusnya,  Allah mengharamkan segala perkara yang kotor dan jijik,  Ini berdasarkan firman-Nya:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِث

Maksudnya: “Dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

Surah al-A`raf (157)

Imam Fakhruddin al-Razi memberi tafsiran  lafaz  al- khabā’ith pada ayat tersebut ialah

“Segala perkara yang dianggap kotor dan jijik oleh tabiat jiwa manusia yang membawa kepada  kesakitan dan penyeksaan. Asal perkara yang memudaratkan adalah haram. Maka setiap yang dihukumkan jijik oleh  tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum berbeza”. (Rujuk: Tafsir ar-Razi Mafatih al-Ghayb , 15/381).

Berdasarkan nas dan hujahan diatas, dapat disimpulkan bahawa  konsep halal terikat dengan tayyiban iaitu bersih dan suci.  Sementara perkara haram disebabkan kekotoran dan dianggap jijik selain wujudnya dalil pengharamanya.

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkaitan penebar roti canai tidak membasuh telur, lantas terkena najis tahi ayam pada tangan, lalu  tersebar pada roti canai yang ditebarnya. Maka, sudah pasti roti canai tersebut bercampur dengan najis tahi ayam. Justeru, kami berpandangan makanan tersebut menjadi  kotor. Maka, makanan tersebut tidak halal dimakan kerana tidak suci atau dengan kata lain tidak menepati konsep  halalan tayyiban seperti yang telah dibahaskan.   Bahkan, terdapat dalil  pengharaman terhadap segala benda yang kotor seperti yang telah dikemukakan.

Sehubungan itu, kami menasihatkan kepada   para muslimin dan pengusaha produk makanan  agar menjaga   kebersihan dalam setiap proses  penyediaan makanan, pemyimpanan, pemprosesan, pembungkusan dan sebagainya. Umat Islam perlu cakna untuk memilih makanan yang halal lagi baik agar dapat memberi ketenteraman  jiwa  dan memberi kesan dalam ibadah.  Akhir kalam, semoga kita terhindar daripada perkara yang haram mahupun syubhah. Ameen