اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1759 : HUKUM MEMBACA QUNUT NAZILAH DALAM SOLAT SUNAT HARI RAYA

IF

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz dalam keadaan sihat sejahtera. Saya ada satu persoalan. Bolehkah kalau kita mahu melakukan qunut nazilah dalam solat sunat hari raya?. Apakah hukumnya ustaz? Terima kasih atas perhatiannya ustaz.

Jawapan ringkas :

Qunut Nazilah hanya dibaca dalam solat fardhu.Iaitu disunatkan untuk membaca qunut setelah bangun daripada rukuk pada rakaat yang terakhir. Selain daripada itu maka ianya tidak disunatkan. Termasuklah solat Sunat Hari raya.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam agama-Nya. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Qunut pada asasnya adalah doa.Bacaan qunut terbahagi kepada dua. Qunut ratibah. Iaitu qunut yang disunatkan untuk membacanya pada dua tempat :

  • Pada Iktidal di dalam rakaat yang kedua solat Subuh
  • Pada Iktidal yang terakhir dalam solat sunat Witir bermula pertengahan bulan Ramadhan.[1]

Qunut Nazilah pula adalah doa yang disunatkan untuk dibaca di dalam solat ketika berlaku sesuatu musibah atau bencana khususnya ketika ianya melibatkan orang muslim. Ini berdasarkan kepada satu peristiwa yang pernah berlaku pada sahabat 70 orang sahabat Nabi SAW yang dibunuh di telaga Ma’unah. ketika mereka diutuskan oleh Baginda untuk menyampaikan dakwah. Lalu Nabi membaca qunut dalam solat Subuh selama 30 hari iaitu sebulan. Peristiwa ini direkodkan oleh Anas Bin Malik R.A. Beliau berkata :

أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ‏.‏

Maksudnya : “Kabilah Ri’lin, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan meminta bantuan Rasulullah SAW untuk menentang musuh. Lalu Baginda memberikan bantuan dengan mengutuskan 70 orang sahabat dari kalangan Ansar. Kami menamakan mereka sebagai Qurra’ (para qari) di zaman mereka. Mereka mengutip kayu api pada waktu siang hari dan sentiasa menunaikan solat pada waktu malam. Sehinggalah mereka tiba di telaga Ma’unah, kabilah-kabilah tersebut membunuh dan melakukan pengkhianatan terhadap mereka. Berita tersebut sampai kepada Nabi SAW. Lantas Nabi SAW melakukan qunut (doa) selama sebulan di mana Baginda berdoa kehancuran ke atas sebahagian kabilah arab di dalam solat subuh. Mereka itu ialah Ri’lin, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan.”

Riwayat Al-Bukhari (4090)

Berdasarkan hadith inilah para ulama menyatakan bahawa qunut nazilah itu disunatkan untuk dibaca di dalam solat khususnya ketika berlaku sesuatu peristiwa yang menimpa umat islam.

Qunut nazilah disunatkan untuk dibaca secara jelas (Jahar)dan disunatkan untuk mengangkat tangan yang mana ianya dibaca pada rakaat terakhir setelah bangun daripada rukuk. Qunut nazilah hanya dibaca pada di dalam solat fardhu.

Imam Al-Nawawi berkata :

وَأَمَّا غَيْرُ الصُّبْحِ مِنْ الْفَرَائِضِ فَلَا يُقْنَتُ فيه من غير حاجة فان نزلت بالمسملين نَازِلَةٌ قَنَتُوا فِي جَمِيعِ الْفَرَائِضِ

Maksudnya : “Adapun (Qunut) selain solat Subuh iaitu solat fardhu yang lain, tidak boleh untuk melakukan qunut tanpa ada sebarang hajat.Apabila umat Islam ditimpa satu musibah, maka boleh melakukan qunut dalam semua solat fardhu.”[2]

Sheikh Al-Bujairimi menyebut :

وَالْأَمَاكِنُ الَّتِي يَجْهَرُ فِيهَا الْمَأْمُومُ خَلْفَ إمَامِهِ خَمْسَةٌ : تَأْمِينُهُ مَعَ إمَامِهِ ، وَفِي قُنُوتِ الصُّبْحِ ، وَفِي قُنُوتِ الْوِتْرِ فِي النِّصْفِ الْأَخِيرِ مِنْ رَمَضَانَ ، وَفِي قُنُوتِ النَّازِلَةِ فِي الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ

Maksudnya : “Tempat di dalam solat yang mana makmum dibenarkan untuk menyaringkan suara di belakang imam ada lima : Ketika mengaminkan bacaan Al-Fatihah bersama imam, dalam qunut Subuh, dalam qunut ketika solat sunat Witir bermula pada pertengahan bulan Ramadhan dan dalam Qunut Nazilah dalam solat lima waktu.”[3]

Al-Khatib Al-Syarbini :

فإن نزل بالمسلمين نازلة - لا نزلت - استحب في سائر الصلوات

Maksudnya : “Jika ada musibah yang menimpa umat Islam maka disunatkan untuk membacanya (qunut) pada keseluruhan solat (fardhu).”[4]

Berdasarkan apa yang disebutkan ini maka dapat disimpulkan bahawa qunut nazilah hanya dibaca di dalam solat fardhu bukannya di dalam sunat. Hanya dalam solat sunat Witir disunatkan untuk membaca Qunut. Adapun selain daripada itu, tidak disunatkan membaca Qunut.

Kesimpulannya, qunut nazilah hanya disunatkan dalam solat fardhu. Selain daripada itu tidak disunatkan termasuklah solat sunat hari Raya.

 

[1] Sheikh Hasan Bin Ahmad Bin Muhammad Al-Kaff, Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah Qisam Al-‘Ibadat, hlm 244

[2] Imam Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (3/493)

[3] Al-Bujairimi, Sulaiman Bin Muhammad Bin Umar, Tuhfah Al-Habib ‘Ala Syarh Al-Khatib Al-Ma’ruf Bi Al-‘iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’(4/369)

[4] Al-Khatib Al-Syarbini, Al-‘Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’ (1/130)